"EH awak buat apa dekat rumah saya ni? Siapa yang jaga awak?" Raid tak lupa lagi dengan budak berwajah comel itu. Hannah.
Sampai saja di rumah, mata menangkap susuk tubuh kecil sedang berbaring di tilam bayi. Elok saja budak itu menyusu sambil menonton siaran kartun. Cocomelon. Raid garu tepi kepala yang tidak gatal. Langkah diatur mendekati Hannah.
Duduk di atas karpet, tangan lelaki itu menyentuh tangan Hannah yang gebu. Dipicit-picit tangan itu. Raid geram sebenarnya. Kalau Hannah ni anak sepupu atau anak dia sendiri, mungkin dia dah picit sampai menangis anak kecil itu dibuatnya.
"Haa dah balik pun." tegur Uzzam. Lantas Raid pun menoleh ke belakang. Berbalas pandang dengan ayahnya.
"Mak budak ni tak marah ke ayah bawa dia balik rumah? Kerap sangat ayah culik budak ni." Raid risau dengan pandangan jiran sebelah. Takut mereka digelar penculik kanak-kanak pula.
"Tak marah pun. Puan Dini pun izinkan aje ayah pinjam. Dia faham ayah awak ni sunyi di rumah." kata Uzzam. Lelaki itu mengambil tempat di sebelah Raid. Bibirnya mengoyak senyuman lebar apabila Hannah tersenyum ke arahnya.
"Bila nak balik rumah sendiri? Bibik ada 2 orang. Bolehlah ayah borak-borak dengan diorang." Raid mengerling ke arah Uzzam.
Uzzam ni pun satu, macam dah lupa jalan balik ke rumah sendiri pula. Sibuk nak tinggal rumah dia. Tinggal sehari dua tak apa, ni dah nak masuk sebulan dah.
"Awak halau ayah ke?"
"Saya tak halau. Saya cuma tanya." Sentap pula orang tua ni.
"Tengoklah macam mana. Selagi Raid dengan Safa tak sebulu, selagi tu ayah tak nak balik." jelas Uzzam. Niat dia menetap di rumah anaknya bukan saja-saja. Dia cuma mahu melihat perkembangan pada hubungan Raid dan Safa saja.
"Kami dah okey, ayah. Gaduh sikit-sikit hal biasa. Pasang surut dalam rumah tangga tu tetap ada. Ayah tak payahlah risau." Yelah tu. Pernah ke Raid berbaik dengan Safa?
Kalau sehari tak bertelingkah, tak sah. Sejak kejadiaan malam itu, hubungan dia dengan Safa memang dah tak baik dah. Safa sering mengelak darinya. Terasa Safa semakin jauh darinya. Sikap isterinya turut berubah. Safa semakin dingin. Pandang dia juga seolah tidak sudi.
Berapa lama lagi Safa mahu merajuk dengannya ni?
"Okey apa kalau tidur pun bilik asing-asing? Seorang dekat atas, seorang dekat bawah. Okey ke kalau macam tu? Raid, awak tak payahlah nak bohong. Ayah ni tak bodoh. Tak buta. Ayah masih mampu menilai. Awak dengan Safa tak pernah sehati sampai sekarang, kan?" Mata Uzzam tunak pada wajah tampan si anak.
Raid diam tidak menjawab soalan itu. Mahu menafikan tuduhan itu tapi dia segan jikalau Uzzam tahu bahwa dia sudah jatuh sayang. Walaupun Uzzam tu ayah dia, Raid tetap tak selesa bercerita tentang perasaannya. Malu. Tak biasa. Raid lebih suka pendam sendiri.
"Kalau Raid ni keras hati sangat. Biarlah Safa tu pilih orang lain kan. Tak perlulah dia terseksa nak hadap suami beku macam Raid. Siapa tahu lelaki dekat luar sana lebih pandai menghargai." Niat Uzzam cuma mahu menguji. Mana tahu si anak akan tergugat.
Melihat perubahan pada wajah Raid, dia sudah tahu anaknya tidak suka dengan kata-katanya. Raid... Raid... sampai bila nak sanjung ego tu?
"Safa pun berhak bahagia. Silap ayah sebab satukan korang." Nada sesal.
"Dia dah bahagia pun."
"Sejak bila? Dengan siapa? Raid? Hesy, yakinnya kamu..." Lalu Uzzam tertawa kecil. Kepala digelengkan.
Raid alihkan wajah ke tepi. Bercakap dengan Uzzam buat dia panas saja. Lagi-lagi jika perkara itu melibatkan hubungannya dengan Safa. Tak bolehkah kalau Uzzam tak payah masuk campur dalam urusan mereka?