Bab 11

3.6K 215 51
                                    

HAYKARL pandang jam di kepala katil. Jarum jam tepat menunjukkan pada pukul 6:30 pagi. Dia masih lagi berteleku di atas sejadah, baru selesai menunaikan solat subuh. Dingin subuh masih dapat dirasai oleh kulit tubuhnya. Namun dia masih teguh disitu.

Satu persatu kejadian yang membawa kepada pertemuannya dengan Fatimah menerjah ingatan. Masih terbayang di mata Haykarl wajah sayu Fatimah. Redup matanya sewaktu merayu kepada Haykarl supaya lindungi dia daripada lelaki lelaki durjana. Entah kenapa, kali pertama matanya terpandangkan Fatimah, hatinya sudahpun terpaut suka.

Hangat tubuh Fatimah yang melekat kejap ke tubuhnya membuatkan naluri lelakinya bergetar hebat. Bukannya dia tidak pernah dipeluk sebegitu oleh perempuan lain. Nurul Huda selalu saja memeluknya sebegitu. Tapi getarannya tetap tidak sama.

Perasaan yang aneh itulah membuatkan dia nekad mahu memiliki Fatimah. Pada pertemuan pertama itu juga dia nekad untuk memperisterikan Fatimah. Kerjanya menjadi lebih mudah apabila Pak Mat bersetuju untuk menjual Fatimah kepadanya. Alasan itulah yang Haykarl gunakan untuk terus mengikat Fatimah sehingga ke hari ini.

Kadang kadang Haykarl tertanya tanya juga. Adakah Fatimah jodoh yang telah Allah tetapkan untuknya? Jika benar, mengapa dengan cara sedemikian rupa? Bagaimana pula dengan Nurul Huda? Hati Haykarl juga sudah lama menyayangi Nurul Huda. Untuk melepaskan Nurul Huda pergi begitu saja juga dia tidak sanggup. Adakah dia seorang lelaki yang tamak?

Haykarl masih setia diatas sejadah. Dia terus menerus melayan perasaan sendiri. Dia tahu hati Fatimah sedang dilanda remuk saat ini. Dia boleh nampak kesedihan melalui mata redup Fatimah. Tapi apakan dayanya. Haykarl dapat rasakan perasaan Fatimah terhadapnya. Mungkinkah mereka berkongsi rasa yang sama? Ataupun Haykarl saja yang syok sendiri?

Jika benar mereka berkongsi rasa yang sama, bagaimana pula dengan Zharif Adha? Apa hubungan Zharif Adha dan Nur Fatimah Maisarah sebenarnya? Melihat saja cara Zharif merenung Fatimah, hati lelakinya sudah boleh meneka.

Sakit hati! Itu yang Haykarl rasakan setiap kali mata Zharif merenung isterinya dengan penuh minat.


❤️


PANJANG lamunan Fatimah. Fikirannya kini hanya tumpu kepada Haykarl. Terimbau kembali detik detik pertemuan mereka yang tidak terduga. Siapa sangka dalam sekelip mata dia bergelar isteri kepada seorang lelaki bernama Haykarl Ashraff.

Haykarl Ashraff. Lelaki kacak yang sangat hebat dimata Fatimah. Sikap dinginnya membuatkan hati Fatimah sentiasa dipenuhi debaran. Jelingan mata yang tajam itu selalu membuatkan jantung Fatimah berdegup kencang. Haykarl juga kelihatan begitu sempurna dimata Fatimah.

Walaupun tiada kemesraan dalam layanannya, Fatimah tetap mahu bersama dengan Haykarl. Matanya mula berkaca kaca. Mana mungkin dia dapat melupakan Haykarl begitu saja.

Haykarl Ashraff ialah lelaki pertama yang hadir dalam hidupnya. Lelaki pertama yang mampu membuatkan jantungnya berdegup kencang tatkala memandangnya. Lelaki pertama yang mengajarnya erti derita dan luka. Tidak lupa juga lelaki pertama yang mengajarnya erti sayang dan rindu.

Saat Haykarl mengangkatnya sebagai isteri, Fatimah telah berjanji dengan dirinya. Dia mahu menjadi isteri yang terbaik buat Haykarl. Seorang isteri yang setia dan juga penyabar. Meskipun tiada nilai cinta dalam hati Haykarl buat dirinya, Fatimah tetap bersabar.

Siapa lagi yang dia ada dalam dunia ini selain Haykarl? Mak Yek sama sekali tidak pedulikan dirinya. Sekurang kurangnya apabila bersama dengan Haykarl, membuatkan dia berasa selamat. Adakalanya dia lelah. Tapi dibuang jauh rasa itu demi menyelamatkan sebuah perkahwinan.

Kau Hidupkanlah Rasa Ini [✔️]Where stories live. Discover now