KERETA Mini Cooper milik Haykarl meluncur tenang di atas jalan raya yang boleh tahan sibuk itu. Haykarl masih terus memandu dengan tenang sambil sesekali matanya melirik ke arah Fatimah yang sudahpun terlentok di tempat duduk penumpang di sebelahnya.
Sesekali dia menyanyi kecil mengikut rentak lagu yang sedang dimainkan oleh DJ di radio. Hatinya berbunga bunga. Tidak sabar untuk sampai ke kampung. Kepulangan mereka pada kali ini adalah untuk mengadakan kenduri kesyukuran atas kesejahteraan rumah tangga mereka. Mamanya pun telah bersetuju dengan permintaan Fatimah untuk mengadakan majlis itu di kampung secara sederhana. Tambahan pula mamanya sendiri sudah begitu lama tidak pulang ke kampung.
Haykarl menarik nafas lega sebaik saja papan tanda yang tertulis nama Kampung sudah terbentang di hadapan mata. Tanpa membuang masa, dia terus saja membelok ke kanan memasuki simpang ke kampung itu. Tidak sampai beberapa minit, sawah padi yang menghijau sudah kelihatan di kanan dan kiri jalan. Saujana mata memandang. Haykarl tersenyum lagi. Terasa damai di dalam hati apabila melihat pemandangan desa nan permai itu. Lima belas minit kemudian, kereta Mini Cooper miliknya telahpun berhenti di hadapan sebuah rumah banglo satu tingkat kepunyaan keluarganya yang terletak betul betul di atas bukit di hujung kampung itu.
Fatimah masih lagi terlentok di kerusi penumpang. Lena betul dia tidur. Haykarl pula masih duduk di kerusi memandu walaupun enjin kereta telah lama dimatikan. Matanya tidak lepas daripada merenung wajah ayu milik isterinya itu. Fatimah begitu ayu. Penuh dengan kelembutan dan kasih sayang. Dalam diam Haykarl memanjatkan rasa syukur kepada Allah kerana telah menemukan dia dengan seorang perempuan yang terlalu baik dan penyabar. Dia bersyukur kerana Fatimah masih sudi kembali kepadanya walaupun sudah banyak kali dia menghancurkan sekeping hati Fatimah.
Haykarl tahu. Walaupun mulut Fatimah mengatakan maaf namun hati Fatimah masih lagi berbekas dengan segala apa yang terjadi. Buktinya, sehingga kini mereka masih lagi tidur di bilik yang berasingan. Belum bersedia! Itulah alasan yang selalu Fatimah berikan padanya. Namun begitu, Haykarl sedikitpun tidak menyimpan perasaan marah terhadap Fatimah. Dia tahu. Bukan mudah bagi Fatimah untuk melupakan segala kesakitan yang pernah dirasainya. Sama juga seperti dia. Sampai saat ini pun dia masih lagi tidak dapat melupakan segala kecurangan yang telah Nurul Huda lakukan. Walaupun Nurul Huda sudah tiada di dunia ini, mereka perlukan masa untuk melupakan semua itu.
"Hmm.." Satu keluhan kecil terbit dari mulut Haykarl tanpa dia sedar.
Fatimah bergerak sedikit. Kemudian perlahan lahan membuka matanya. Wajah Haykarl yang sedang merenungnya dengan lembut itu terpacul di depan mata.
"Mmm.. dah sampai ke?" Tanya Fatimah terpinga pinga. Tangannya memicit micit pangkal tengkuknya yang terasa lenguh akibat terlalu lama tidur dalam keadaan begitu. Matanya terus meliar ke arah sekeliling. Sebuah rumah banglo satu tingkat sudah tersergam indah di hadapan matanya.
"Ya, tuan puteri. Kita dah sampai. Tuan puteri sudah bangkit dari beradu?" Gurau Haykarl. Saja mahu kenakan isterinya.
"Eee sorrylah! Saya tertidur tadi" Balas Fatimah perlahan sambil tersengih kecil. Pipi kanannya digaru sekali. Rasa bersalah pula membiarkan suaminya itu memandu seorang diri tanpa teman berbual.
"It's okay, sayanggg! Dah sampai pun. Jomlah kita masuk" Haykarl sudah tersenyum manis pada Fatimah sambil menarik tangan Fatimah untuk keluar dari perut kereta.
Fatimah hanya menurut. Sempat lagi matanya mencuri pandang ke arah sekeliling rumah besar itu. Kawasan sekitarnya masih lagi sama. Ada pondok rehat di halaman rumah. Ada pokok mangga di hujung pagar dan pokok pokok bunga penuh menghiasi pasu di sekitar rumah itu. Semuanya nampak terjaga dengan rapi. Keluarga Haykarl memang mengupah orang untuk datang bersihkan kawasan luar dan dalam rumah. Ini adalah kali ketiga Fatimah menjejakkan kakinya ke dalam rumah banglo itu.
YOU ARE READING
Kau Hidupkanlah Rasa Ini [✔️]
Romance[COMPLETED] Nur Fatimah Maisarah. Pertemuan yang tak terduga dengan Haykarl Ashraff telahpun menjerat dirinya dengan lelaki itu. Disebabkan satu kejadian, dia dipaksa berkahwin dengan lelaki itu biarpun di hati tiada nilai cinta. Hidup bersama denga...