HAYKARL masih ralit merenung bunga bunga yang sedang berkembang mekar di taman bunga itu. Damai dan sungguh menenangkan. Sejak bila Haykarl sukakan bunga, dia sendiri pun tidak tahu. Apa yang dia perasan, sejak dia bernikah dengan Fatimah. Dan sejak wujudnya taman bunga milik Fatimah di rumahnya.
Terus ingatan Haykarl singgah kepada Fatimah. Apa khabar agaknya Fatimah ye? Argh! Haykarl rasa macam nak gila. Senyuman Fatimah. Lirikan mata Fatimah. Lembut tutur Fatimah. Segala galanya dia rindu. Apa yang dah jadi dengan Haykarl ni? Bukankah dia datang ke Cameron Highlands ini untuk menenangkan fikiran? Dia mahu membuang jauh bayangan Fatimah. Dia mahu menenangkan fikiran supaya tidak berasa ragu lagi dengan perkahwinannya yang bakal berlangsung nanti. Wajahnya diraup berkali kali. Harum bunga tidak lagi mampu memberikan dia ketenangan saat ini.
Tiba tiba mata Haykarl tertancap pada seraut wajah yang sejak tadi lagi tidak henti menari rancak dalam ingatannya. Wajah yang sering hadir dalam mimpi malamnya. Mata Haykarl bagaikan terjojol keluar merenung tepat seraut wajah itu.
"Fatimah..?"
Haykarl dan Fatimah saling berpandangan. Sukar untuk mereka percaya dengan pertemuan yang tidak dijangka ini. Masing masing terkaku tanpa suara. Hanya mata mereka yang saling berbicara. Merenung dan terus merenung antara satu sama lain. Debaran di dalam dada yang semakin menggila.
Fatimah merenung Haykarl tanpa kelip. Ya Allah, benarkah itu dia yang sedang berdiri dihadapanku sekarang ataupun aku sedang bermimpi? Fatimah keliru. Matanya digosok berkali kali sehingga matanya terasa pedih.
Jika benar itu dia, ketentuan apakah ini? Fatimah masih lagi tertanya tanya. Matanya tidak lepas daripada merenung Haykarl yang nampak begitu kacak dengan jeans berwarna biru dan Tshirt ungu berjenama Polo. Ada rasa rindu yang terbit di dalam hati. Ada rasa sebak yang menjalar dalam sanubari.
Kenapa seramai manusia yang ada di muka bumi ini, dengan Haykarl juga dia terserempak? Maknanya, mata dia tidak menipu lah pada malam itu. Memang sah itu kelibat Haykarl yang dia nampak di Lobby Hotel pada malam itu. Ada rasa hangat di kelopak matanya.
Duhai mata. Janganlah kau menangis lagi dihadapan lelaki ini. Aku tidak mahu dituduh cuba meraih simpati dengan menggunakan air mata sebagai senjata untuk mempertahankan diri. Fatimah mengeluh di dalam sepi. Dia tidak dapat sembunyikan rasa sedih di wajahnya.
Haykarl juga begitu. Masih setia merenung Fatimah tanpa kelip. Pertemuan yang langsung tidak diduganya itu mengundang rasa sebak di dalam hati. Wajahnya juga kelihatan mendung. Jelas menggambarkan perasaannya sekarang.
Sudah agak lama dia tidak bertemu dengan Fatimah. Kali terakhir mereka bertemu, sebulan yang lalu. Pertemuan terakhir di rumah Fatimah itu telah menyebabkan dia bertekak dengan bakal adik iparnya, Zharif Adha. Tanpa usul periksa dia telah menuduh Fatimah curang kepadanya. Kerana perasaan cemburu yang bersarang di dalam hati, dia telah menghukum Fatimah mengikut kata hatinya. Sesudahnya dia sendiri yang terpaksa menanggung rasa. Sekarang, Fatimah sudah berdiri dihadapannya. Dia tidak tahan lagi untuk terus menanggung rasa ini.
Haykarl meraih tangan Fatimah ke dalam genggamannya. Erat dan mesra. Fatimah yang masih terkejut itu terkaku. Dibiarkan saja Haykarl menggenggam erat tangannya.
"Fatimah, kau.. kau sihat?" Haykarl menyapa lembut dan perlahan. Ada getaran dalam suaranya yang tidak dapat disembunyikan. Tekaknya terasa kering yang amat. Matanya masih lagi rakus merenung Fatimah dari atas sampai ke bawah. Ya Allah! Rindunya!
Dimata Haykarl, Fatimah masih lagi sama. Masih tetap cantik dan juga pemalu. Cuma badan Fatimah saja yang kelihatan semakin susut. Tiba tiba perasaan bersalah mula bertamu di dalam hatinya.
YOU ARE READING
Kau Hidupkanlah Rasa Ini [✔️]
Romance[COMPLETED] Nur Fatimah Maisarah. Pertemuan yang tak terduga dengan Haykarl Ashraff telahpun menjerat dirinya dengan lelaki itu. Disebabkan satu kejadian, dia dipaksa berkahwin dengan lelaki itu biarpun di hati tiada nilai cinta. Hidup bersama denga...