HIGH-LIGHTHOUSE FAMILY kedengaran sayup-sayup berlagu dari bilik Haikal di sebelah. On replay sejak dari tadi. Bibir mengukir senyum sendiri di bawah sedar apabila dengar suara Haikal yang off tune ikut sama menyanyi dengan penuh perasaan. Tu namanya ada budak yang tengah stres buat kerja sekolah.
Dan ni juga antara lagu yang diulangnya waktu zaman sekolah di Malaysia dulu. Diulang macam mantera untuk memaksa diri agar bertahan. Yang bertanda di atas peti violin sebagai peringatan untuk diri sendiri. Maunya tak. Nak menangis, meraung, merampus nak balik tapi sah tak dapat, itu je la pujukan untuk diri sendiri yang ada. Masa dua tahun yang azab seksa tu akan berakhir juga. Dan lepas habis tempoh waktu tu, boleh tinggalkan 'segalanya' jauh di belakang.
Waktu tu, 'segalanya' tu bawa erti lain.
Sekarang, apabila dengar balik lagu ni, 'segalanya' tu dah bawa erti lain la pulak. Ah, masa. Siapa yang boleh jadi pentaksirnya?
Teringat balik sembangnya dengan Ija masa makan di foodcourt tengah mall waktu outing hujung minggu, ketika zaman silam tak berapa nak dulu tu. Sambil makan, tengok orang.
"Okey. Tu. Dia orang tu."
Ija ikut arah pandangan Dash. Budak-budak perempuan sekolah dia orang yang outing juga. Bandar ni bukannya besar mana. Pusing-pusing nampak muka masing-masing juga. Dan kalau dating waktu outing, akan kantoi depan budak sekolah sendiri juga. Not like they care.
"Dia orang pakai tudung, dia orang aku tengok selalu je pergi surau which means dia orang sembahyang. Maknanya dia orang faham la fasal agama, kan?" Dash bilang satu-satu ayat tu dengan jari. Dah macam orang nak buat hipotesis eksperimen sains aje gayanya.
Ija angguk lambat-lambat.
"Maknanya dia orang tau la dia orang tu Islam kan? Dan apa tanggungjawab jadi orang Islam, kan?" dia memastikan.
Ija angguk lagi. Lambat-lambat jugak.
"Tapi kenapa dia orang pegang tangan lelaki-perempuan? Hari tu aku dengar ustaz cakap benda tu dosa? Tak ke?"
Ija merenungnya. Lama. Dash hanya merenungnya kembali.
"Okey." Ija berhenti sejenak. "Sebelum tu aku ada dua soalan." Ija menegakkan dua jari di tangan kanan.
Dash hanya angkat sebelah bahu tanda menyuruh Ija mengaju apa yang nak ditanya.
"Selama ni kau tak pernah dengar kalau lelaki-perempuan bukan mahram tak boleh pegang-pegang?"
Diam. "What is mahram?"
Suara Haikal makin kuat menerjah dinding. Menariknya semula ke Delhi. Ni dah masuk kali entah ke berapa dah Haikal melalak dengan High tu untuk malam ni.
Dash meraup wajah.
Dulu, 'segalanya' yang mahu ditinggalkan tu ialah dunia canggung yang serba menyesakkan dan melemaskan. Dunia di mana pertembungan kepercayaan, prinsip, budaya, definisi dan erti langsung buat dia rasa dirinya salah sentiasa dan tak ada harga.
Sekarang, 'segalanya' itu masih ada kesan 'segalanya' yang dulu tu juga. Tapi dah bertambah lagi. 'Segalanya' yang bertanda gelap itu kini mahu dia ubahkan warnanya.
Everybody has a past. Everybody lives a present. And everybody deserves a future.
Indeed.

ANDA SEDANG MEMBACA
Anthem
General FictionEverybody has a past. Everybody lives a present. And everybody deserves a future. Published April 2013, ISBN 9789670508629 Goodreads : https://www.goodreads.com/en/book/show/17800555-anthem