"KAKAK!"
"Ya!" Dash yang tengah sikat rambut depan cermin berpaling ke arah pintu bilik yang tertutup.
"Aunty Teh dengan Uncle Husni datang. Mama suruh turun." Suara Haikal memberitahu di balik pintu.
Dash kembali berpaling ke arah cermin dengan mata bulat. Aunty Teh dengan Uncle Husni???
BILIK TIDUR TU dah tak berapa nak rupa bilik tidur sangat dah. Rupa macam bilik stor kut ada. Bezanya, cuma ada katil untuk baring. Kotak-kotak yang penuh berisi dan siap sealed dah siap disusun di sudut bilik. Dinding-dinding dah kosong daripada tampalan lirik-lirik, musical sheets, poster, poskad dan gambar. Baju-baju dalam almari pula, kalau bukan dalam kotak-kotak, dah bersusun dalam dua bagasi 38 inci yang tersadai terbuka di tepi katil, yang bakal mengikutnya ke Aberdeen nanti.
Dash Johari dah siap untuk Ankara dan Aberdeen.
Ayah dah dapat surat. Tapi proses nak pindah-randah akan ambil masa. Setakat ni tak set tarikh lagi bila semua nak berangkat ke Ankara. Dia dah nak terbang ke Aberdeen minggu depan. Mama dah suruh dia kemas barang yang nanti nak dihantar ke Ankara awal-awal lagi, waktu mula sampai Delhi hari tu dah. Sebab takkan nak harapkan orang lain yang kemaskan barang-barang sendiri. Macam la Haikal tu rajin sangat nak tolong buatkan apabila dia dah tak ada kat sini nanti. Orang lain pun dah banyak barang masing-masing yang nak kena bungkus. Jadi sekurang-kurangnya apabila dah ada tarikh untuk ke Ankara nanti, barang-barang dia dah siap tinggal nak campak masuk kapal aje. Barang-barang yang dah tak pakai, sama ada dah selamat kena buang atau dah dihantar ke Salvation Army untuk didermakan.
Semalam dah buat encore untuk konsert unplugged dengan Haikal, Mukesh Uncle dan Khan Baba – nyanyi Zindagi Ek Safar Hai Suhana sambil kemas stor barang kat belakang rumah. Khan Baba pesan: jangan lupa untuk sentiasa senyum dan gembira untuk gembirakan orang di keliling kita. Mukesh Uncle pula pesan: hidup dengan gembira dan ceria. Zindagi ek safar hai suhana, haan?
Dash sandar belakang badan ke kaki katil. Dia melunjurkan kaki di lantai. Kepala direhatkan ke bucu tilam. Dia capai University of Aberdeen Undergraduate Prospectus yang tersadai di sebelahnya. Buku setebal 200 muka surat tu dibuka terus ke muka surat 130.
Degrees in Engineering tertulis dengan font besar menyapa mata.
"Aunty dah cakap kat Badlee dah. Nanti boleh la dia tengok-tengokkan Dania kat sana." Aunty Teh memberitahu semalam.
Hampir tersedak dengan gulab jamun yang tengah menuruni rengkung. Uish Aunty Teh ni... kut ye pun jangan la buat statementberani mati macam tu. Maunya aku ni karang tersipu-sipu. Haikal di sebelahnya dah tutup mulut dengan tangan nak menahan ketawa. Bertuah punya adik! Laju je tumitnya pijak kaki Haikal di bawah meja makan. Senyap terus Haikal.
Walaupun dah entah berapa buah negara dia jejaki, dan dah entah berapa buah sekolah baharu dia masuk mendaftar, tapi untuk ke Aberdeen masuk universiti ni, cuak tu tetap terasa. Bersyukur ayah dapat pindah ke Ankara. Sebab sekurang-kurangnya Ankara lagi dekat dengan Aberdeen kalau nak banding dengan Delhi.
Mata meniti muka surat yang memberi overview kepada kursus kejuruteraan yang ditawarkan di University of Aberdeen.
In the first year you can study topics such as Engineering Mathematics, Electronics, Engineering Chemistry, Mechanics, Fundamentals of Engineering Materials and Computer Aided Design and Communication.
"Kalau nanti nak mintak Lee tolong ajarkan mana-mana subjek yang susah pun boleh." Suara Aunty Teh dari sembang semalam kembali menerjah telinga. "Dia kata kat sana tak ramai sangat Malaysian yang buat mechanical engineering."
Tiba-tiba terbayang dalam kepala. Kalau la betul aku nak suruh dia mengajar... agak-agak dia akan buat gaya macam masa mengajar violin dan trombon waktu zaman sekolah?
"... salah pengiraan ni! Turun sepuluh!"
"... kenapa pakai konsep dengan formula yang salah? Pergi lari keliling padang tiga kali!"
"... datang lambat! Ketuk ketampi tiga puluh kali!"
Hoi...! Tak sanggup! Dash geleng kepala sendiri. Walaupun Lee di Delhi macam jelmaan spesies lain, tapi mana la tau kut perangai lama dia tu ada je tak berubah. Huh. Harapnya jelmaan Delhi tu kekal selama-lamanya. Kalau dia buat perangai lama, mungkin kena guna senjata rahsia – report kat Aunty Teh dan Uncle Husni di Delhi. Rasanya penangan yang tu lagi kick daripada hantar bom tangan.
Heh.

ANDA SEDANG MEMBACA
Anthem
Narrativa generaleEverybody has a past. Everybody lives a present. And everybody deserves a future. Published April 2013, ISBN 9789670508629 Goodreads : https://www.goodreads.com/en/book/show/17800555-anthem