KAIN PUTIH yang baru dilipat tu dikembalikan ke tempat simpanannya, di celah lipatan-lipatan pashmina dalam laci bawah katil. Dash bangun dari simpuhnya di lantai. Dia menapak ke arah pintu. Memastikan yang tombolnya masih lagi berkunci. Dia menapak semula ke arah katil. Tubuhnya didaratkan dengan belakang disandar ke kepala katil.
Sarung bantal yang isinya bukan hanya sekadar bantal ditarik ke riba. Tangan kanan meraba menggagau ruang sarung bantal merah-hitam tu. Ketiga-tiga buah buku bersaiz kecil tu dibawa keluar. Yang berkulit warna merah hati dan kuning tu diletak di atas bantal lagi satu. Yang berkulit hijau, dia buka pada halaman yang bertanda dengan poskad Taj Mahal.
Nafas ditarik panjang. Mencari kekuatan. Kemudian hujung telunjuk mencari baris ayat di mana bacaannya sebelum ni terhenti. Jumpa. Mata mula berlari meniti patah-patah perkataan yang bersusun tu, membaca.
Syahadah al-Haq atau pengakuan sebenar bahawa tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah adalah suatu seruan....
Dia menelan air liur di bawah sedar. Sekali lagi dia pandang ke arah pintu. Untuk pastikan yang betul-betul pintu tu dah dikunci, untuk menyedapkan hati. Tak dapat nak membayang kalau diceroboh dengan buku ni di tangan.
Dengan memahami hakikat ini mudah-mudahan manusia memahami tanggungjawab berat yang diletakkan di bahu mereka. Justeru terdorong untuk bekerja dengan lebih bersemangat dan produktif. Mudah-mudahan Islam mereka bukan lagi bersifat teori tanpa praktikal.
Bukan lagi teori tanpa praktikal. Dia mengulang dalam hati. Tanggungjawab yang berat. Cebisan daripada ayat pertama tu terasa bergaung dengan amplifier di telinga. Tapi kenapa setengah orang rasa kalau buat benda-benda tu, macam ekstrem? Ekstrem ke? Mungkin. Sebab rasanya kalau mama dengan ayah tau dia baca buku macam ni mungkin dia orang takut dia jadi 'golongan ekstrem'. Di bawah sedar dia menggosok dahi. Tapi aku tak la pulak rasa ni benda yang over melampau. Mata membaca lagi.
Sebenarnya apabila kamu mengakui Allah sebagai Tuhan dan Islam sebagai agama kemudian kamu lafazkan syahadah yang sebenar (Pengakuan Bahawa Tiada Tuhan yang Layak Disembah Selain Allah dan Muhammad Adalah Utusan Allah), kamu sepatutnya merasai tanggungjawab yang perlu kamu laksanakan sebaik sahaja kamu melafazkan syahadah ini.
Terhenti lagi. Dia mengembangkan kelima-lima jemari di tangan kanan. Mengucap... solat... puasa... zakat... haji.... Dia mengira satu demi satu dengan jari.
"And everything in between." Suara Kak Jiji kedengaran terngiang-ngiang di telinga, seolah-olah menyambung kiraannya. "Termasuk la aurat, akhlak, baca Quran, being charitable, the excellence in everything that we do, dan semua benda yang Allah suka la senang nak kata."
Aurat... akhlak... everything in between....
Kamu juga perlu fikirkan apakah yang dapat kamu lakukan untuk menunaikan tugas penting ini. Jika kamu tidak laksanakan kewajipan kamu ini atau kamu tidak berusaha untuk melaksanakannya kamu sebenarnya menempah akibat buruk perbuatan kamu dan kamu akan rugi di dunia dan di akhirat.
Seolah-olah boleh rasa sentuhan tangan Kak Jiji di bahunya. "Dash, it's okay." Suara Kak Jiji terngiang lagi di telinga. Bergaung daripada lontaran ingatan. "It's okay. Satu demi satu. One thing at a time. Yang penting kita usaha."
Melaksanakan kewajipan tu memang penting. Dan berusaha untuk melaksanakan kewajipan itu juga sama pentingnya.
Dan dia terus membaca.
JAM DI DINDING menunjukkan pukul 1.30 pagi. Tapi dari tadi matanya masih hanya terkebil-kebil pandang siling, pandang dinding. Dipejamkan lima saat. Kemudian kembali terkebil-kebil pandang siling, pandang dinding. Lena masih juga tak nampak bayang untuk datang menjemput. Nafas panjang dihela.
![](https://img.wattpad.com/cover/280119136-288-k63659.jpg)
YOU ARE READING
Anthem
General FictionEverybody has a past. Everybody lives a present. And everybody deserves a future. Published April 2013, ISBN 9789670508629 Goodreads : https://www.goodreads.com/en/book/show/17800555-anthem