Bab 42

46 3 1
                                        


Syamsul datang untuk menjemput Ijad. Ibu mempelawanya makan malam dahulu kerana lauk-pauk masih banyak berbaki. Itupun sudah ibu bekalkan pada mak ngah dan juga Naemah sekeluarga.

"Syam kenapa tak datang siang tadi? Kan ibu dah jemput Syam awal-awal lagi?"

"Syam sibuk hari ni, kelas tuisyen Syam sampai ke petang. Ada cikgu sambilan tak datang hari ni." Syamsul memberi dalih tanpa memandang wajah ibu.

Aku mula curiga. Minggu lepas dia memberitahuku mahu ke KL ke rumah kakaknya. Nampak sangat ketara yang dia berbohong!

Nasi yang ibu senduk ke dalam pinggan disambut Syamsul. Tanpa kekok dia duduk di meja makan dan membuka tudung saji. Aku yang duduk di tangga dapur hanya memerhatikan dari jauh. Seingat aku sejak dia sampai tadi, tak sekali pun Syamsul menyapaku lagi.

Ibu dengan senang hati bercerita tentang peminangan dari Ady Farhan siang tadi. Syamsul hanya mendengar tanpa sebarang balasan. Nasi di pinggannya lebih menyelerakan dari cerita ibu lagaknya.

"Sebulan lagi majlis tunang Hani. Syam datanglah ya, tolong ibu mana yang patut." Ibu menjemput Syamsul tanpa rasa was-was. Maklumlah, Syamsul masih dianggap menantunya walaupun pada anggapanku, Syamsul tak ada kaitan lagi dengan keluarga kami.

"InsyaALLAH ibu... kalau sempat. Syam sibuk dengan budak-budak nak ambil SPM tak lama lagi."

"Datang sekejap saja pun jadilah. Ibu bukannya ramai saudara-mara kat sini,"

Aku mendengar dan terus mendengar pujukan dari ibu. Kesian pula aku lihat ibu yang dilayan acuh tak acuh sahaja.

"Ibu.... kalau orang dah tak sudi, tak payahlah dipaksa-paksa!" aku meyampuk dari tangga. Bingkas berdiri dan naik ke atas rumah mendapatkan Ijad yang sedang menunggu papanya di hadapan peti TV.

"Hani!" aku dengar ibu melaung namaku. Tentu mahu memarahiku lagi kerana bersikap kasar pada menantu kesayangannya.

"Syam tak penting pun dalam hidup Hani. Buat apa Syam datang masa Hani bertunang? Hanya untuk menyakitkan hati sendiri?" suara Syamsul yang tiba-tiba muncul di belakang sofa.

Aku menoleh dan memberi satu jelingan.

"Kalau jawab macam tu, kan senang? Tak payahlah nak beri alasan bodoh pada ibu," marahku dalam nada geram.

"Hani tau apa dengan hati Syam? Setakat ini, Syam dah cuba sedaya upaya untuk gembirakan hati ibu. Hati Syam? Siapa yang sanggup bahgiakan kalau Hani tak pernah cuba mahu memaafkan Syam?"

"Hani dah cakap, yang dah lepas tolong jangan ungkit lagi. Hani dah lama maafkan Syam. Tapi untuk terima Syam kembali.... seboleh-olehnya Hani cuba elakkan."

"Hani kejam.... materialistik!. Mentang-mentang Ady Farhan anak Tan Sri."

"Kejam tak kejam, materialistik atau tak... Hani punya pasal. Diri Hani... hati Hani. Apa Syam peduli?"

"Memang Syam kena peduli, sebab Syam yang lebih dulu sayangkan Hani. Syam yang cintakan Hani dari Hani remaja lagi. Hanya Syam yang kenal Hani bertahun-tahun lamanya. Hani pasti Ady Farhan boleh bahagiakan Hani? Hani pasti yang Ady Farhan boleh sayangkan Hani lebih dari Syam? Lebih lima tahun, Hani. Lima tahun Syam tunggu Hani, tapi Syam kecewa Hani pilih orang lain."

"Hani hanya berserah pada ALLAH, Syam. Jodoh datangnya dari 'Dia'. Bukan Syam yang boleh menentukan samada Hani akan bahagia atau tak." Aku membidas balik. Syamsul ingat dia apa? Tuhan?

"Hani dah buat pilihan yang salah. Syam tahu, Hani hanya nak lari dari Syam, nak lari dari kenangan kita. Hani sengaja nak sakitkan hati Syam."

"Terpulanglah pada Syam nak menilai. Hani dah tak larat nak terangkan pada orang yang masih tak faham-faham bahasa macam Syam. Antara kita tak mungkin terjalin apa-apa perasaan lagi." Aku beredar dari ruang menonton dan masuk ke bilik. Aku dan Syamsul, sampai bila-bila pun tak mungkin boleh berdamai. Sampai bila-bila pun tiada ruang untuk dia bermukim dalam hatiku.

'Kenapa Kak Hani boleh maafkan Halique sedangkan dengan abang Syamsul Kak Hani masih berdendam?'

Masih terngiang-ngiang soalan Hanim padaku yang aku sendiri tak tahu jawabannya.

BIAR BULAN BERBICARACerita yang buat anda obses. Terokai sekarang