24. Kerinduan

100 11 1
                                    

Pintu gerbang istana direnung lama.
Mengapa dia dipanggil ke sini? Suaminya tidak sihatkah?

"Cik, apa hajat cik ke sini?"

Mawar tersentak.  Matanya bersabung dengan seorang pemuda tinggi kekar. Besar betul tubuhnya.

Kalau kena lempang, rebah ke tanah gamaknya.

"Err, saya Mawar. Boleh saya berjumpa sama suami saya, Arjuna Sakti?"

Dia mengukir senyum kepada lelaki itu. Mungkin pengawal barisan hadapan istana. Sebab itu tubuhnya besar ya amat.

Membuat sesiapa sahaja gerun untuk membuat onar.

"Oh, Arjuna, pengawal kanan Raja Pasha ya? Cik tunggu sebentar ya. Saya panggilkan." Lelaki itu terus menapak ke dalam.

Mawar menyeka peluh dengan lengan baju kurungnya. Boleh tahan juga jauh perjalanannya dari rumah pagi tadi. Tengahari rembang baru sampai ke sini.

Seekor arnab menguis kakinya perlahan. Dia yang terkejut mengelak sedikit.

"Hey, kamu datang dari mana?" Soalnya kepada arnab gebu itu.

Arnab itu sekadar menggerak telinganya dan berlalu perlahan. Kemudian berhenti sejenak dan menoleh ke arahnya.

Macam ingin aku mengikutinya sahaja?

Tanpa sedar kaki Mawar mengikuti langkah arnab kelabu itu.

"Wah.."

Langkah kakinya berhenti di sebuah taman yang sangat luas yang dipenuhi dengan tanaman bunga yang jarang dilihat.

Mungkin tanaman ini diimport dari luar.

"Mawar..."

Dia menoleh dan melompat ke dalam pelukan jejaka itu.

Arjuna sekadar tersengih membalas pelukan tubuh kecil itu. Wajah ayu isterinya ditatap lama.

"Sibuk benar, Juna kan. Mawar rasa putera raja yang baru ditabalkan itu, tidak sesibuk ini. Hingga isteri di rumah tidak dijenguk."

Lelaki itu tersenyum melihat wajah isterinya berubah muram. Kedua tangannya diangkat mencubit pipi Mawar.

Mereka meleraikan pelukan dan duduk di kerusi panjang di tengah taman diraja itu.

"Janganlah merajuk wahai permaisuri beta. Tidakkah dikau tahu, setinggi awan dilangit, tinggi lagi rinduku padamu?"

Mawar mencebik sambil berpeluk tubuh.

"Ceh, tak logik sungguh!"

Arjuna hanya tersenyum melihat rajuk isterinya. Seketika dia mengeluh.

"Maafkan Juna ya. Memang Juna benar-benar sibuk kebelakangan ini. Lagipula, Mawar tahu bukan yang Juna bukan lagi pengawal kanan diraja?"

Mawar membulatkan mata.

"Juna dibuang kerjakah?" Wajah ayu itu berkerut. Susahlah jika begini.

Arjuna tergelak besar. Aduhlah Mawar sayang. Ada sahaja telatah wanita kesayangannya ini.

Terhibur juga hatinya.

"Eh tidak. Juna diberi tugas khas untuk mengawal Putera Darma pula. Setelah ditabalkan, baginda sering ke luar negeri  dan Juna sebagai pengawalnya perlu ikut ke mana sahaja baginda putera berada."

"Jadi Juna akan lebih lama di istana? Tidak akan pulang dalam masa terdekat ini?"

Wajah Mawar berubah mendung. Baru dia berangan mahu pulang ke rumah bersama suami yang sudah tidak ditemuinya dua minggu itu.

Rindu tahu!

Arjuna memaut dagu Mawar perlahan. Membuatkan wanita itu perlahan mengangkat wajahnya.

"Sebab itu Juna panggil Mawar ke mari. Dapur istana memerlukan pekerja baru. Tukang masak istana yang lama jatuh sakit. Jadi..."

Mata cantik Mawar membulat. Dia hampir terlompat mendengar perkabaran itu.

" Juna mahu Mawar bekerja di sini?"

"Ya Mawarku sayang. Mengapa? Mawar keberatankah? Gajinya lumayan tahu?"

Arjuna tersenyum senget. Wajah ceria itu jarang akan menolak rezeki hadapan mata bukan?

Mawar mencebik.

"Mawar tidak kisah tentang wang! Jika Mawar di sini, boleh selalu bersama Juna!"

"Hahaha.. Itulah niat sebenar Juna. Lagipula, Juna khuatir meninggalkanmu keseorangan di rumah. Jika Mawar di sini, bolehlah kita selalu dekat, bukan?" Balas Arjuna sambil memeluk bahu isterinya.

Beberapa ekor rama-rama berterbangan di sekeliling mereka. Sesekali hinggap di bunga-bungaan yang berkembang mekar.

"Mawar terima!"

"Baguslah begitu. Nanti Juna bawa Mawar bertemu ketua tukang masak ya? Kita di sini dahulu makan bekalan Mawar bawa."

Bekas mangkuk tingkat dibuka perlahan. Terdapat nasi putih, tempoyak ikan patin, sayur masak lemak dan ulam-ulaman.

"Juna."

"Ya sayangku?"

"Kalaulah Mawar tidak mahu bekerja di sini, apa reaksi Juna?"

Arjuna meneguk air kopi yang suam. Sedap. Hampir dua minggu dia tidak dapat menjamah air tangan isterinya.

"Oh, tak mengapa. Juna boleh mengajak mana-mana dayang untuk menemani hati yang kesepian ini."

Mawar mengetuk lengan suaminya dengan senduk nasi di tangan.

"Jangan berani ya!"

Mawar menjengilkan biji matanya. Suaminya cuma tergelak bersahaja. Seronok mengusik kesayangannya.

"Kalau nak tahu langit tinggi atau rendah, Juna buatlah hal!"

"Tidaklah sayang. Hanya Mawar di hatiku. Tidak akan ada pengganti."

Mawar mencebik sebelum tersenyum. Iyalah tu!

Hikayat Mawar BerduriWhere stories live. Discover now