" Apa yang kau menungkan, Darma?"
Lelaki berambut perang itu kelihatan tersentak sebelum menjuih mulut. Arjuna menekup mulut menahan ketawa dek reaksi lucu sahabatnya itu.
" Lain kali jangan sergah begitu, Juna. Takut nanti aku berada tujuh kaki ke tanah pula."
"Maaflah, Darma. Aku fikir kau sedar keberadaan aku di sini."
Darma masih lagi merenung jauh di horizon laut. Rumah mereka kali ini masih berada berdekatan laut. Malah lagi besar dan lengkap berbanding sebelum ini.
Almaklumlah, rumah tumpangan mereka sebelum ini milik penduduk kampung. Semestinya ada beza bukan?
Namun dia tetap bersyukur sebelum ini walau keadaan rumah kecil itu sudah agak uzur. Orang musafir seperti mereka tidak boleh sebarangan memilih memandangkan masing-masing berada di tempat orang.
"Seronok mandi dalam bilik mandi orang kaya? Sebelum ini mandi dalam telaga saja."
Darma hanya tergelak besar mendengar gurauan sahabatnya itu. Teringat apabila dia merungut air telaga terlalu sejuk, almaklumlah air telaga. Sejuk ketika waktu malam/subuh, suam-suam kuku waktu siangnya.
Menjadikan dia malas dan liat untuk bangun ke ruang telaga mengambil wudhuk kerana cuaca dan juga air terlalu sejuk.
"Terima kasih, juna."
"Aik?"
Kening cantik Arjuna terangkat sebelah.
"Kau telah banyak merubah aku semasa dalam pengembaraan ini. Kau ajar aku solat. Kau ajar aku mengaji. Malu aku dilahirkan muslim tetapi tidak mempraktikkan semua itu."
Darma menghela nafas. Selepas ditabal menjadi raja, dia menjadi semakin sibuk dengan hal kerajaan sementalah ayahandanya ingin berehat dari pucuk pimpinan.
Sehinggalah suatu hari, entah mengapa hatinya dijentik. Dia punya rupa yang kacak, harta yang banyak, kerabat diraja pula. Tetapi hatinya sentiasa gelisah dan tidak tenang.
Sampailah dia tertarik pada salah seorang dayang, bernama Mawar. Orangnya kecil dan cantik rupanya. Sangat lembut ketika berbicara. Namun menyimpan seribu penderitaan dari sinar matanya.
Baginda berjaya mengorek rahsia dan terus tidak teragak untuk menyerang dan memarahi pemuda itu kerana melukakan hati seorang gadis cantik.
Pemuda itu kini telah menjadi sahabatnya sepanjang susah dan senang beberapa purnama ini.
"Maafkan aku, Juna. Bodoh sungguh aku ketika itu datang menyerangmu tanpa usul periksa"
Lelaki berambut ikal itu hanya tersenyum. Pokok kelapa meliuk lentuk ditiup angin pantai. Sesekali kelihatan ketam berkejaran di atas pasir halus.
"Heh, usah dikenang kisah lalu. Aku sudah melupakannya, kawan. Baik kita maju ke hadapan untuk menempuhi pengembaraan seterusnya." Lelaki itu kelihatan mengangkat kedua tangannya menjulang ke atas penuh semangat.
Darma hanya menggeleng.
"Semangat betul kau ya?"
Mereka berdua hanya tergelak kecil sambil menikmati udara sepoi-sepoi dan terkadang kuat di tepi pantai tersebut.
"Assalamualaikum."
Susuk pemuda berbadan tegap berpakaian hitam dan berbandana merah menghampiri.
"Waalaikumsalam, oh hulubalang Ghani."
"Tuanku mengajak kalian berdua ke istana. Sekarang juga."
Mereka berdua berpandangan sebelum mengikut langkah hulubalang tersebut.
YOU ARE READING
Hikayat Mawar Berduri
Historical FictionBerlatarkan suasana kehidupan melayu klasik. Mawar Sutera, anak bendahara diraja, sseorang gadis yang cantik dan lemah lembut. Dia diduga dengan kepergian suami tercinta tanpa sebarang sebab. Arjuna Sakti, seorang lelaki tampan yang selalu tersenyum...