31. Simpati

85 9 0
                                    

Darma menghela nafas pendek. Gugusan bintang di langit menyerikan suasana malam. Sesekali bunyi unggas bersahutan berselang dengan bunyi katak.

Wajah manis Mawar menghiasi langit pada malam itu. Entah mengapa hatinya berdegup kencang apabila memikirkan gadis itu. Meskipun dia tahu yang gadis itu merupakan isteri orang.

Wajah muram gadis itu meragut tangkai hatinya. Dia merengus geram apabila mengingatkan kisah derita Mawar. Suami jenis apakah yang sanggup meninggalkan isterinya gantung tidak bertali?

Manusia jenis apakah itu? Bertindak terburu-buru tanpa menyelidiki terlebih dahulu adakah kisah itu benar atau hanya direka semata?

Ingin sahaja dia menarik Mawar ke dalam pelukan saat gadis itu menangis teresak-esak tempoh hari. Namun akalnya menegah kuat.

Gadis itu milik orang.

Darma meraup mukanya perlahan. Wajah seorang lelaki tua menjelma. Wajah itu merenungnya lama bagai ingin mengatakan sesuatu.

"Darma..Maafkan ayah nak. Ayah tersilap menilaimu dulu. Ayah lebih mementingkan harta dan keturunan daripada kebahagiaan anak-anak ayah sendiri. Maafkan ayah."

Sayu kedengaran suara lelaki tua itu. Dia kelihatan gelisah dalam pakaian putihnya. Bagai ada sesuatu mengganggu.

Darma tersenyum pahit. Lelaki tua itulah yang telah menghancurkan hidupnya. Tapi itu semua sudah berlalu. Hatinya juga tidak berdendam.

"Saya sudah memaafkan ayah. Tidak guna jika saya berdendam dengan ayah. Ayah pernah menjadi keluarga saya pada suatu ketika. Tenanglah ayah di sana."

Senyuman yang dilemparkan kali ini ikhlas dari hati. Perkara sudah lepas, biarlah berlalu. Usah diungkit lagi.

Lelaki tua itu tersenyum mendengar ungkapan yang ditunggu sekian lama.

"Terima kasih Darma. Ambillah kembali hakmu yang telah ayah rampas dahulu. Ayah beransur dahulu ya."

"Darma!"

"Oh Darma!"

Lelaki itu tersentak. Matanya terpisat-pisat. Dia tertidur?

"Mengapa kau tidur di sini? " Wira tercegat dihadapannya memandang pelik.
Kamar bukan main luas, tidur di sini pula lelaki ini. Haish.

"Aku tertidur. Kau pula, apa gerangan ke sini?"Dia merenganggkan badan ke kiri dna ke kanan.

Wira mencekak pinggang. Mukanya beriak serius.

"Aku mencari kaulah, wahai putera raja. Ada surat istana yang perlukan pengesahan darimu. Habis satu istana aku tawaf tahu?"

Darma menghamburkan tawa. Dia lansung tidak kasihan melihat pemuda itu tercungap-cungap menahan nafas.

Eh ketawa pula lelaki ini. Nasib dalam istana, jika mereka di luar, sudah diluku kepala manusia ini!

"Alah, kurang sedikit berat badanmu itu, Wira! Sudah mendadak naik kulihat berat badanmu. Apa kata kau praktikkan hari-hari. Nescaya boleh jadi tegap dan kacak sepertiku."

Wira membulatkan mata. Ewah-ewah. Ini sudah melebih. Berat badannya pula menjadi isu.

"Ke sini kau, Darma! Kau kira kau putera raja, senangnya kau mengutukku? Ke sini kau!"

Berdesup Darma menghilang meninggalkan Wira yang sudah membuka pencak silat. Tahu takut?

Taman bunga istana kemudian dihiasi dengan hilaian tawa kedua rakan karib itu. Mujur seisi istana sudah dibuai mimpi. Jika tidak terkejut agaknya mendengar hilaian pontianak berjantina lelaki!

Hikayat Mawar BerduriWhere stories live. Discover now