28: Sahabat lama ayahanda

92 11 0
                                    

Malam itu tenang seperti malam sudah. Langit gelap pekat disinari dengan gugusan bintang yang sungguh menawan. Bakal memukau siapa sahaja.

"Ini dia bungkusan yang putera minta."

Sebuah bungkusan berbalut cantik dihulur sopan oleh lelaki yang baru tiba itu.

Putera Darma menyambut dengan hati girang. Matanya bercahaya melihat bungkusan tersebut.

"Kamu boleh bantu beta? Berikan bungkusan ini kepada seseorang."

Pembantunya yang hanya mengangguk penuh taat setia. Sedia memenuhi permintaan putera tunggal kerajaan itu.

"Aku sudah jumpa seseorang yang aku rindui selama ini. Akhirnya penantian aku menemui titik noktah. Sakit perih yang kurasa selama ini berbaloi akhirnya."

Putera kacak itu tersenyum senget. Namun dalam matanya ada sendu. Seolah ada sesuatu yang tidak terungkapkan oleh kata.

"Tuanku putera mengembara semata mahu mencari 'seseorang' kah? Akhirnya  pencarian tuanku terjawab juga. Patik ucapkan tahniah!"

Pembantu lelaki itu tersenyum lebar. Dia hanya menumpang rasa gembira putera muda itu.

Sinaran mata Darma hilang serinya tiba-tiba. Baginda mengeluh perlahan sebelum mengelus rambut.

"Tapi dia tidak kenal beta. Mungkin akibat kecelakaan itu."

"Benarkah, tuanku? Kasihannya!"

Darma mengangguk lemah. Bayangan wajah 'seseorang' sering bermain di mindanya. Sesaat pun tidak diupakan.

"Mudah-mudahan bungkusan ini, mengingatkan dia tentang beta. Menyampaikan rasa rindu beta yang terbuku sejak kehilangannya 2 tahun lalu."

Pembantu itu hanya mengangguk perlahan. Rasa kasihan menyelinap di jiwanya. Tidak menyangka putera raja menyimpan kisah silam yang duka sebegitu.

"Mudah-mudahan tuanku."

🌟🌟🌟🌟

"Maaf, Mawar terlambat." Mawar menegur sedikit tercungap-cungap. Bimbang dia kelewatan. Empat pasang mata yang leka berbincang, menoleh serentak.

Dia mencapai gayung, membasuh kaki sebelum naik ke rumah kayu itu dengan sopan.

"Oh, Tidak mengapa, Mawar. Maaf jika kami memanggil secara tiba-tiba." Seorang lelaki separuh abad dengan bandana di kepala membalas ramah.

Mawar menggeleng sambil tersenyum sopan.

"Tidak apa. Lagipula sejak pembesar bertiga bersara, sudah lama kita tidak bersua. Kalian sudah Mawar anggap seperti ayahanda sendiri."

"Ah, kami juga sudah menganggapmu seperti anak kami sendiri semenjak ayahandamu hidup lagi."

Mawar tersenyum mendengarkan itu.

"Ini teh ais untuk kamu. Kegemaran kamu bukan?" Seorang wanita berbadan gempal datang meletakkan segelas teh ais dan sepinggan nasi goreng kampung yang berasap.

Bau harum nasi goreng itu menyeluruhi rumah di hujung kampung itu.

"Terima kasih Mak Pah. Susah-susah saja."

Mak Pah tersenyum.

"Hesy kamu ni! Pak Osman sudah bising sejak kelmarin! Bising menyuruh aku masakkan nasi goreng kegemaran kamu!"

"Kamu tu kerap lupa, Pah oi! Sebab itu aku bising!"

"Hesy, abang ni! Pah tak nyanyuk lagi ya!" Degus wanita itu sebelum menjeling suaminya yang menggulung daun rokok di beranda.

Hikayat Mawar BerduriWhere stories live. Discover now