Bab 2

843 74 31
                                    

PELIPIS yang berdenyut diurut dengan kadar minima. Minyak angin dalam poket dikeluarkan seraya mencalit sedikit pada jari runcingnya. Disapu pada bahagian tersebut sebelum melentokkan kepala di meja kaunter. Sebaik selesai kerja di restoran, Anan bergegas ke 7-eleven untuk pekerjaan seterusnya. Letih tapi itu tanggungjawabnya.

“Fiza, kau okay? Aku tengok kau macam tak sihat aje,” tanya Alia berbaur kerisauan.

Anan sekadar mengangguk kecil tanda mengiakan dirinya baik-baik sahaja. Tipu. Dia sakit fizikal dan mental. Tubuh Anan lemah apabila dipaksa melakukan tugasan tanpa henti. Jadual tidurnya juga berterabur.

“Nak ke tandas dan surau jap. Tolong jagakan kaunter untuk Anan,” pinta Anan. Alia angguk memahami. Hanya Alia sahaja menggelarkan dirinya Fiza dan Anan tak kisah asalkan mereka bahagia. Dia ingat lagi kata-kata Alia tatkala pertama kali bertugas di sini saat perkenalkan diri.

“Nama aku Nurul Alia. Aku nampak kau lagi muda dari aku. Nama siapa dan berapa umur kau?” soal Alia dengan tangan saling bersilang pada dada.

“Anan. Anan Nurfiza. Lapan belas.”

“Hah, seriously? Kau baru habis sekolah eh, Fiza? Okay, kau boleh panggil aku Alia even aku tua sikit dari kau tapi aku tak nak kau gelarkan aku akak. Kita kawan.” Alia menghulurkan tangan untuk berjabat. Anan teragak-agak sama ada mahu menyambut atau mempulaukan sahaja.

“Tapi kak, Anan...” Kaki dikuis pada permukaan lantai. Segan.

“Haip, budak Fiza ni. Suka hatilah, mana yang kau senang nak panggil aku.” Alia mendecit. Tidak semena-mena tubuhnya dibawa tarik ke rangkulan Alia. Anan pegun apabila esakkan Alia mulai kedengaran.

“Aku tak tahu kenapa aku rasa lega bila nampak muka kau, Fiza. Kau mengingatkan aku pada dia,” nada nada suara Alia tergelam dek tangisan.

Sejujurnya, Alia memang brutal pada pandangan Anan tetapi dia pasti hati wanita itu baik. Biarpun kata yang meluncur dari bibir Alia agak kasar tetapi kasih sayang itu terasa.  Melindungi dan cara layanan Alia seperti seorang kakak kepada adik.

Dia mulai berdiri biarpun langkahnya pincang. Kaki dibawa keluar dari kedai dan menuju ke belakang di mana terletak bilik rehat. Daun pintu tandas dibuka lalu ditutup rapat. Anan melorot tubuhnya dan menyandarkan belikat pada pintu.

Mujurlah lantai kering. Tubir mata berkaca-kaca dengan sorotan lemah. Mulut dikatup dengan tapak tangan seraya menghamburkan tangisan. Tiada suara. Hanya lakrimasi di lekuk pipi menjelaskan segalanya. Burn out.

“Kenapa? Aku...” Dadanya ditumbuk menahan pedihnya sukma. Kepalanya berpusing dan pandangan berpinar-pinar. Otaknya serabut. Anan cuba kawal pernafasan yang sesak di rengkun dada. Perit.

“Huh.” Anan melepaskah keluhan berat. Jiwanya sesak membuatkan diri lelah berlari tanpa menemui penghujung. Serta-merta dia bangun lalu mengibas pakaiannya. Dia inginkan ketenangan dan ketika inilah waktu terbaik untuk dia bermunajat pada Ilahi.

Anan menolak permukaan pintu dan dibawa ke bahagian surau. Kasut dibuka seraya dia menoleh ke atas untuk memandang dada langit malam. Kartika bersinar indah di atas sana.

“Bintang-bintang di langit, sudikah engkau menghilangkan rasa sakit bertakhta di hati?” soalnya.

Kepala Anan teleng ke kiri dan ke kanan menafikan. Tidak mungkin berlaku waima sekali. Seandainya benar-benar berlaku, biarlah sesuatu yang mencengkam nurani ghaib dari dunia ini. Jikalau boleh sekadar mimpi ngeri yang tak diingini. Ilusi menyayat sekeping hati kecilnya.

Duhai bintang.

Izinkan tuan hamba turut serta melatari seperti kamu.

Penawar Kasih Pawana | CWhere stories live. Discover now