ANAN mencapai begnya daripada bawah. Segala barangan miliknya berterabur di lantai. Pantas dia menggagau mencari ubat sakitnya. Tangan menekan perut manakala sebelah lagi berpaut pada meja solek. Anan berkerut dahi menahan pedih di perutnya yang semakin menyucuk. Keringat merembes di pelipisnya dengan air mata bergenang. Gastrik dia datang lagi.
"Air takde..." Menggeletar seluruh tubuh dipaksa untuk berdiri tetapi berakhir dengan tersungkur semula.
Pintu bilik diketuk dari luar menampan gegendang telinga. Puan Salmah memanggil nama Anan untuk bersarapan bersama. Resah apabila sejak subuh tadi Anan berkurung di dalam bilik malah makanan semalaman yang ditinggalkan buatnya juga tidak tersentuh. "Anan sayang..."
Sepi. Tiada balasan diterima. Tombol dipulas dan Puan Salmah mengintai sedikit mencari kelibat menantunya sehingga anak mata terpandang satu susuk tubuh terduduk lemah sambil memegang perut.
"Allahu, kenapa dengan kamu ni, Anan?" gabra Puan Salmah dan terus meluru ke arah Anan. Anan ukir senyum payah seraya menahan gelodak perut semakin mencengkam.
"Gangstrik... Nak makan ubat tapi air..." rintih Anan perlahan. Itulah dia terlalu melayan perasaan sampai lupa nak makan. Kesihatan diri pun dibiarkan merosot sedangkan bukan niatnya untuk menyeksa diri sendiri.
Mungkin luka yang begitu dalam dan parah sehingga berdarah. Perkataan nista seringkali diterima telah sedikit demi sedikit mencarik jiwa murni. Silapnya membenarkan mereka menyakiti dan memberi kemaafan namun terlupa hatinya juga turut lupa diberi peluang permohonan maaf.
"Biar umi ambilkan air, tunggu ya." Puan Salmah bergegas keluar manakala Anan menyoroti langkah umi dengan lirikan mata yang kuyu. Dia penat dan inginkan rehat.
Tewas. Anan kalah dalam melawan membiarkan jasadnya hanyut dalam peritnya yang ditanggung.
ANAN sekadar menyandarkan belikat di kepala katil. Pandangan dilemparkan ke arah jendela. Langit nilam dihiasi gemawan nirmala menyapa deria penglihatan. Cantik dan menyamankan tetapi tidak mampu mengubati duka betapa di dalam jiwanya. Hanya luaran yang indah sedangkan dia sedang berperang dengan diri.
"Anan sayang, umi suapkan makanan untuk kamu ya?"
Anan menoleh dan memberi ekspresi kosong kepada umi. Mata bundar itu sekadar meneliti seraut tua dimamah usia seperti mencari sesuatu. Benarkah ada kejujuran di sebalik perlakuan umi? Dia rasakan umi cuba sorokkan kebenaran yang dia sendiri tidak pasti hakikat sebenar.
"Boleh ke?" soal Anan. Puan Salmah memberikan senyuman buatnya dan mengangguk kecil. Anan membuka mulut tatkala tangan umi mengaul nasi berlauk sayur lemak ubi disuakan kepadanya. Dia menerima dan mula menguyah perlahan-lahan makanan sehingga lumat sebelum disambung suapan oleh umi.
Air mata mengalir lesu dari hujung mata. Setiap kali suapan umi, Anan pejam mata rapat menikmati. Sungguh, dia telah lama teringin untuk merasakan situasi seperti ini. Ada kehangatan menghiasi segenap ruang hati dengan belaian umi. Ada pedih meliar setiap urat sarafnya mengingatkan kejadian tempoh hari.
YOU ARE READING
Penawar Kasih Pawana | C
Romance𝐒𝐲𝐚𝐟 𝐈𝐧𝐚𝐬 | 𝐀𝐧𝐚𝐧 𝐍𝐮𝐫𝐟𝐢𝐳𝐚 𝐇𝐚𝐫𝐫𝐢𝐳 𝐔𝐦𝐚𝐢𝐫 | 𝐅𝐢𝐞𝐧𝐚 𝐀𝐫𝐢𝐬𝐲𝐚 Manis bicara sang perjaka. Tutur janji untuk menjaga belahan jiwa. Andai sahaja huluran disambut saujana. Luhur setia pernah ungkapkan tanpa curiga. Maka...