Bab 52

309 23 1
                                    

ASAR. Anan bangun dari sujud lantas berteleku, tahiyat terakhir. Belahan bibir terkumat-kamit, helaan nafas lelah seiring roman memerah. Salam diberi lalu diraup wajah sekali. Renungan dipusatkan ke tikar sejadah sembari membaca beberapa surah dan zikrullah.

Dalam gelisah jalani kehidupan harian, walang menakluki hati tanpa belas ihsan. Anan cuba kekal melangkah dengan senyuman, jadikan Allah sebagai sandaran dan harapan. Silap terbesar dirinya meletakkan kepercayaan penuh pada manusia, akhirnya terluka tika tidak tercapai. Ragu-ragu diletak tepi, bahkan diserahkan tanpa berfikir sedalamnya dan ketahui niat nurani insan tersebut.

Sesal? Tiada sama sekali, cuma terkilan dalam pelayaran penuh rintangan. Disulami pahit manis endak tara, namun mengapa dia tergores hebat walaupun sepatutnya dapat dijangka. Layanan dan janji, begitu mudah diberi dan ditabur tanpa memahami kesan yang harus dilalui. Mangsa adalah mereka, kerana terlanjur percaya.

"Ya Rabb, Kau berikan aku kekuatan dan kesabaran dalam ujian cinta yang diberi. Tetapkan hati agar tidak beralih andai dia benar jodohku. Jikalau sebaliknya, aku terima juga dengan hati yang reda. Ikhlaskan aku dalam setiap dugaan, aku pohon dalam setiap kebaikan aku lakukan ini dihadiahkan buat arwah mama di sana."

Dalam doa, nama dia tetap diselit indah. Memori manis seketika bersama yang tercinta, terpahat kemas di minda dan menabrak jiwa. Tidak kisah andai nama sendiri dia lupa, malahan belum tentu ada yang ingin mengingati gadis sepertinya. Sulaman rindu merusuh atma, anyaman kasih agar dia senantiasa berbahagia. Biarlah di mana jua dia berada, moga selalu dalam keadaan baik-baik sahaja. Bukan sekadar dia, tapi semua yang pernah hadir dalam hidupnya.

"Ya Rahman, lembutkan hati ibu untuk menerima aku. Sekali, hanya sekali aku pohon agar dia curahkan kasih biarpun sedetik cuma. Ya Khalik, hamba-Mu yang kerdil dan hina ini menadah doa, semoga roh mama, ayah, umi, abah, Kak Fie dan abah..."

Buat mama, insan yang lahirkannya. Buat ayah, sudi mengutip dia yang kehilangan tempat berteduh. Buat ibu, menampung perbelanjaan sepanjang usia dia membesar. Buat umi dan abah, memberi kasih kendatipun sekejap cuma. Ya Rabb, terima kasih masih hulurkan nikmat yang sekelumit ini agar dia utuh berdiri di bumi fana penuh cacamarba.

"Berikan syurga Firdausi kepada mereka. Tempatkan mereka dalam kalangan orang-orang yang beriman. Aku sayang mereka Ya Allah, masukkan mereka ke dalam syurga-Mu tanpa dihisab."

Telapak tangan halus menggeletar, meraup seluruh wajah dibanjiri air mata. Luruh segala rasa, dia lepaskan semuanya. Tiada tempat lain untuk dia mengadu domba, maka dia akan kurangkan beban menghuni jiwa dengan doa kepada-Nya.

"Sayang anak mama," seru Anan penuh kelembutan. Mengusap perut memboyot ke hadapan, tidak sabar untuk lihat anak ini di hadapan mata. Tangan kini beralih ke sisi, diampu kanan kiri, mengah seketika. Kepala menunduk, jatuhkan pandangan pada perut sendiri. Bibir koyak senyuman tanpa sedar sembari gagah bangkit.

Dia menghitung hari, keadaan sudah makin hampiri. Resah memikirkan, rawan jiwa andai tidak diberi kesempatan. Jujurnya, dia ingin Syaf di sisi saat-saat genting hadapi suasana. Malangnya, sejak malam itu, tiada lagi khabar berita dan kelibat suaminya. Anan pernah berura-ura menyoal Ummar, di mana Syaf membawa diri?

Hampa. Dada sebu menahan rasa, anyaman duka membelit sukma. Seakan mengelak, dia reda jikalau dirahsiakan. Kerana dia sendiri belum tentu mampu menerima Syaf, ego sebenarnya sedangkan hati meronta rindu bertimpa-timpa. Ibarat direjam lembing lihai ke celah rengkung, lukanya mengalir dengan tusukan maha dahsyat sakitnya.

"Huh..." Anan keluh-kesah disulami rengsa pedih. Sesekali ditampung tubuh yang menjalar sakit persis dicucuk beribu-ribu peniti lihai. Jindat disaluti bunga kerutan, renik peluh mengurai saat dirasakan tidak selesa.

Penawar Kasih Pawana | CWhere stories live. Discover now