DINIHARI. Pasangan kekasih bangkit mengabdikan diri sebagai hamba-Nya. Lorekan bibir tuturkan alunan surah, melakukan penuh tatatertib setiap perbuatan.
Kontan selesai solat, Syaf ubah posisi tubuh. Berhadapan susuk Anan berbalut mukenah suci, sinar wajah meskipun sembap sepasang matanya. Redup renungan menerobos iris isteri, dihulurkan kalam Allah agar menyambut segera.
"Awan sayang..."
Lekuk bibir Anan membentuk senyum tipis. Meligih jari-jemari mencapai pemberian Syaf, dia akhirnya membuka lembaran kali terakhir dibaca.
"Awan abang dah sampai surah mana? Kita tasmik bacaan sama-sama ya?" bicara Syaf lembut, menggamit Anan yang leka membelek helaian naskah. Anan panggung kepala, bergetar ulas bibir dengan kilauan jernih terbias di pelupuk mata.
"Surah ar-Rahman, baru masuk..." halus suaranya. Cukup sampai ke gegendang telinga suami, dia angguk kecil. Hujung bibir menggeleweh, diselak hingga surah yang diberitahu sang isteri.
"Surah favourite awan abang kan, sama macam abang juga. Jom, kita tasmik surah ni sama-sama. Nanti kita saling baca tafsir dia gilir-gilir, cerita tentang fadhilat dia semua, okey?" utara Syaf disambut baik.
Anan jatuhkan kepala, diikuti Syaf. Memulakan dengan bacaan istiazah dan basmallah, mereka mulai mengalunkan merdu bacaan surah.
Setitik, butiran mutiara gugur seiring tangisan semesta. Setiap ayat demi ayat, menjentik sanubari. Setiap barisan demi barisan, kalbu disentuh pelan umpama jernihnya jeladeri.
Hanyut dalam bacaan, indah bersimfoni pesanan Dia buat sang hamba.
Momen beribadah bersama, merintih segala perkara.
Bersujud di atas tikar sejadah, memohon rayu kurangkan prahara membadai hamba.
Dan ceritera Dia kepada sang hamba, betapa hidup ini penuh warna andai mempelajari di sisi sebaliknya.
Bianglala menerima setiap satu-satu perkara, tidak cukupkah apa yang ada?
Dan Dia tidak menurunkan ujian sesuatu kepada sang hamba, lebih daripada kemampuan mereka. Benarkah permohonan kita iaitu kehendak, adalah satu keperluan buat kita? Kerana perancangan Dia itu selalunya yang terbaik, dia serahkan semua setelah berusaha.
Maka dengan itu...
Nikmat Tuhan mana yang kau mahu dustakan?
Daun pintu dikuak serta-merta. Gelap tanpa cahaya, seram sejuk membungkus diri. Ummar menoleh sekilas, memohon persetujuan Harriz. Kaki mereka menapak masuk kamar mewah tersebut. Laluan menghubungkan bilik ini, perlu membelok terlebih dahulu bagi mengetahui saujana tempat dihuni.
Sementelah tiba penghujung lorong, Ummar menjengul kepala. Sepi dengan hujan lebat di luar, suhu penghawa dingin yang dibuka benar-benar mencengkam tulang sulbi. Sayup-sayup esakan kedengaran menyapa koklea, ditajamkan deria bagi memastikan di mana pucuk pangkalnya.
YOU ARE READING
Penawar Kasih Pawana | C
Romance𝐒𝐲𝐚𝐟 𝐈𝐧𝐚𝐬 | 𝐀𝐧𝐚𝐧 𝐍𝐮𝐫𝐟𝐢𝐳𝐚 𝐇𝐚𝐫𝐫𝐢𝐳 𝐔𝐦𝐚𝐢𝐫 | 𝐅𝐢𝐞𝐧𝐚 𝐀𝐫𝐢𝐬𝐲𝐚 Manis bicara sang perjaka. Tutur janji untuk menjaga belahan jiwa. Andai sahaja huluran disambut saujana. Luhur setia pernah ungkapkan tanpa curiga. Maka...