Bab 16

453 40 0
                                    

SYAF sudah berpesan kepada uminya untuk menjenguk keadaan Anan sepanjang dia tiada. Raut umi berubah penuh kerisauan dan seakan mahu memarahi anak lelakinya tetapi tugasan telah diberi. Ikutkan rasa memang Syaf mahu cuti namun itu bukan syarikat miliknya untuk berbuat sesuka hati.

"Semoga cepat sembuh, awan. Aku pergi dulu," pesan Syaf dan mendaratkan satu ciuman lembut pada dahi Anan. Dia menatap dalam-dalam raut milik isterinya. Muka yang pucat lesi dengan bibir kering merekah memenuhi kornea mata.

Puan Salmah memasuki kamar pasangan pengantin baru itu. Tangan menghulurkan bungkusan cool fever kepada Syaf. Mata tuanya menyorot agar anak lelakinya meletakkan segera kepada susuk tubuh Anan.

Syaf segera mengambil tanpa banyak bicara dan mengeluarkan sepaket. Dia membuka lapisan lut sinar tersebut dan menampal dengan berhati-hati di dahi gadis awannya. Kedinginan terasa membuatkan Anan mengeligih kecil. Diusap bahagian yang ditekap dengan lembut. Elok pun. Senyum tipis terukir di bibir merah delimanya tanda berpuas hati.

"Jagakan isteri Syaf ya, umi? Maaf sebab susahkan umi," pinta Syaf dengan penuh pengharapan.

"Eh kamu ni Syaf. Anan menantu umi kut, kenapa kamu cakap macam tu."

Syaf melakarkan senyuman ikhlas buat uminya. Berat hatinya untuk meninggalkan sang isteri tetapi tuntutan kerja terpaksa merelakan. Apa-apa nanti boleh buat panggilan video melalui telefon kan. Zaman dah cukup canggih dan maju cuma manusia sahaja pemikiran semakin sempit kerana menyalahgunakan teknologi.

"Syaf risaukan Anan." Isi pipi digigit. Syaf larikan anak mata daripada bertentang uminya dan merenung gadis awannya buat kesekian kalinya. Apa masalah kau ni, Syaf Inas? Kan ada umi, abah dan Karin untuk jagakan bini kau. Haa, mana pula Karin ni lagi sekor. Kucing kesayangan yang bakal dia rindui.

"Normal lah tu seorang suami risaukan isteri dia. Kalau rasa rindu nak tahu pasal Anan call ajelah," pujuk Puan Salmah.

Syaf angguk sekali. Dia bersalaman dengan Puan Salmah dan memeluk erat tubuh gempal itu. Sayangnya melimpah kepada wanita yang melahirkan dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang yang tidak berbelah bahagi sehingga dia kini telah memegang gelaran suami kepada gadis awannya. Tak sangka masa berlalu dengan begitu pantas. Jikalau mahu membalas jasa uminya, sememangnya tidak setimpal dengan pengorbanan yang dicurahkan.

"Sayang umi ketat-ketat." Bait bicara Syaf berjaya menerbitkan segaris senyum di bibir tuanya. Dasar mulut manis.

"Bagilah sayang kat isteri kamu tu juga. Abah dan kucing kamu kat bawah. Pergilah tengok cepat sebelum kawan kamu sampai," tegur Puan Salmah dan meleraikan pelukan anak lelakinya. Dia menolak susuk tubuh anaknya sehingga ke luar pintu bilik pasangan tersebut.

"Nanti balik Syaf bagi kat dia ya?" balas Syaf dengan senyum senget seraya melepaskan ketawanya. Bahagia betul gamaknya. Puan Salmah sekadar menggeleng terhadap perilaku Syaf yang aneh itu.

"Bigau agaknya. Orang angau bini sendiri macam ni lah," bebel Puan Salmah.

 Orang angau bini sendiri macam ni lah," bebel Puan Salmah

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Penawar Kasih Pawana | CWhere stories live. Discover now