KOSONG. Kalbu didiami dengan lara. Duka hilang permata terutama yang disayangi sepenuh hati dan jiwa.
Sejurus urusan pengebumian Faiz berjalan lancar, Harriz mengeras di hadapan kubur itu. Dia dipusar memori lalu. Tetap memilih untuk kekal membisu walaupun telah diajak pulang sama. Satu per satu, setiap insan melangkah pergi, dia di sini. Cukup dikatakan dia masih tergamam menerima.
Sejujurnya, dia bukan meratapi pemergian Faiz. Sekadar terkilan kerana tidak mampu lakukan yang terbaik buat si kecil. Hanya pinjamkan kasih sayang buat anak itu untuk terus kekal bertarung dalam hidup penuh ranjau. Cacamarba.
Lensa mata dikaburi kesenduan. Langit kebiruan bersama gulungan gemawan indah melayari pandangan. Harriz menala lama ke atas sana, siulan burung sesekali menjamah deria pendengaran.
Permaidani alam terbentang luas, betapa besarnya ciptaan Ilahi yang begitu unik dan damaikan jiwa sedia gundah. Kala dihempap sirna mendukakan, masih ada sinar menerangi laluan.
Cuma, sama ada sedar ataupun tidak. Terus larut dalam lembah kegelapan atau mencari jalan menggapai cahaya idaman.
Hembusan nafas berat dihela lelah. Dia buang pandang ke bawah semula. Asal kejadian seorang manusia, lensa mata menatap niskala tanah yang masih merah itu.
Sebak mendiami sanubari. Harriz menapak perlahan mendekati dan berjongkok di hadapan kuburan sang anak. Tangan yang menggenggam kemas bekas berisi air kian longgar. Mata melirik pada batu nisan kecil itu. Tanpa pamitan, juring yang berat memikul bebanan turut tumpah.
Faiz Uzair bin Abdullah.
Saat itu, alunan rentak kalimah suci meniti dari celahan bibir. Bacaan yang dihurungi dengan balutan emosi. Getaran suara ditahan, tidak mahu tersilap tersilap makhraj.
Seusai selesai, Harriz bentuk senyum tipis. Dia reda dengan pemergian Faiz, dia terima andai itu takdir yang ditetapkan oleh-Nya.
"Rehatlah anak baba." Harriz bangkit dan terus berpaling meninggalkan kawasan perkuburan. Senandika berbicara hiba. Namun dia tahu anak kecil itu masih suci daripada noda.
Pasti ada hikmah mengapa Sang Pencipta mengambil Faiz daripada mereka. Bermainlah Faiz di taman syurga sana. Baba sayang awak.
SEMINGGU berlalu, Anan telah dibenarkan pulang semula ke pangkuan suami. Sepanjang tempoh itu juga, Syaf berulang-alik menjenguk Anan waima seketika. Terlalu banyak yang harus diurus dan diselesaikan terutama pembahagian harta umi abah.
Jujurnya, kedua orang tuanya tiada waris lain selain dirinya. Abah anak tunggal yatim piatu manakala umi pula anak sulung, terdiri daripada dua beradik sahaja. Jikalau ada, Nek Su yang merupakan ibu kepada umi. Satu-satunya keluarga yang masih ada. Itupun nun jauh ke utara.
Tika ini, dia boleh dikatakan agak sibuk. Namun tanggungjawab menjaga kebajikan Anan tetap jadi keutamaan. Dia yang mengambil keputusan 'kipas-berani-mati' mengahwini Anan, maka sudah tentu dia harus galas amanah tersebut sebaiknya. Biarpun kadangkala terasa terlalu banyak kekurangan yang ada, dia akan mencuba yang terbaik. Sampailah tiba masanya.
YOU ARE READING
Penawar Kasih Pawana | C
Romance𝐒𝐲𝐚𝐟 𝐈𝐧𝐚𝐬 | 𝐀𝐧𝐚𝐧 𝐍𝐮𝐫𝐟𝐢𝐳𝐚 𝐇𝐚𝐫𝐫𝐢𝐳 𝐔𝐦𝐚𝐢𝐫 | 𝐅𝐢𝐞𝐧𝐚 𝐀𝐫𝐢𝐬𝐲𝐚 Manis bicara sang perjaka. Tutur janji untuk menjaga belahan jiwa. Andai sahaja huluran disambut saujana. Luhur setia pernah ungkapkan tanpa curiga. Maka...