Bab 48

286 19 0
                                    

TERSENGGUK-SENGGUK kepala rakan di sisi, melentok tenang bersebelahan bahunya. Syaf masih berteleku membiarkan, khusyuk memberi tumpuan pada isi penyampaian Tok Lais di hadapan. Mereka semua sama-sama berkumpul di beranda rumah yang luas, menunaikan solat secara berjemaah. Malahan, diselangi tazkirah pendek seusai melaksanakan kewajipan nan satu itu.

"Masa. Pernah dengar pepatah melayu mengatakan masa itu adalah emas?"

Angguk, mengiakan penyataan tersebut. Sedikit teruja timbul di dalam diri, merasa keliru apakah topik yang ingin dibincangkan sebenarnya.

Tok Lais ukir senyum segaris, menyambung bicaranya semula. "Dalam surah al-Asr ada menyebut, 'Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.' Di sini telah pun terbukti betapa masa tersangatlah penting dalam kehidupan kita."

Tekun, yang terjaga cuba fokus dan memasang telinga mendengar bait kata tersebut. Ada seberapa orang telah tumbang ke alam mimpi, ditepuk perlahan agar sedar dan membuka mata. Tidak elok ketiduran semasa majlis ilmu. Syaf juga tidak ketinggalan, mengejut kawan sebelah untuk bersama sertai biarpun terpaksa lawan hawa nafsu yang itu.

"Di sini tok nak tanya kamu semua, sepanjang kamu lalui kehidupan entah berapa tahun mengikut usia kamu, apakah nikmat kesihatan dan pelbagai kelebihan yang Allah beri digunakan dengan sebaiknya? Pernah tak kamu salah gunakan masa untuk sesuatu yang tiada manfaat, lebih banyak berhibur berbanding membuka al-Quran dan berdoa kepada Dia? Sudahkah kamu semua cuba gunakan masa yang ada beribadah pada-Nya dengan penuh keinsafan atau sekadar melepaskan batuk di tangga?"

Terhenyak. Usah dikatakan setiap air muka para perserta seperti ayam berak kapur. Gelisah apabila dihentak kenyataan, Syaf juga tidak terkecuali.

Tok Lais raup muka sekilas, melebarkan senyuman miliknya. Dia tidak mahu menekan emosi peserta, cuma peringatan bersama. "Masa yang dikurniakan pada kita semua, 24 jam sama setiap orang. Yang membezakan kita adalah cara pengurusan masa seharian. Sama ada gunakan ke arah kebaikan, membuka mulut saat perlu, menuntut tabah dengan ujian diberi atau ke arah sebaliknya? Masa itu ibarat bom jangka, tidak diketahu sesuatu yang bakal berlaku di hadapan. Kita bukan ahli nujum, mampu meramal masa depan. Sekadar melalui tanpa ketahui bilakah semua ini akan berakhir?"

Kepala menekur ke lantai. Insaf kala nasihat tersebut terus membedil atma, membuatkan celah rengkung sesak menyedut udara. Peti suara tersekat serta-merta, kering anak tekak untuk telan air liur rasanya.

"Kerana itulah, selagi ada masa inilah kita gunakan dengan berbakti kepada mereka. Yang tersayang, luangkan waktu sebelum tiada. Jangka hayat entah bila, memperbaiki diri dan taubat memohon ampun. Masa tak boleh diundur, penyesalan pula biasa akan hadir setelah ia pergi. Manusia, bukan maksum dan sentiasa cuba bertatih dalam menggapai reda-Nya sehingga akhir usia. Kita akan sentiasa lakukan kesalahan, tapi apa alternatif atau refleksi yang kita dapat daripada kesilapan itu?"

Syaf angguk-angguk memahami. Birai mata memanas. Kilauan ratna terasa berkumpul di lensa mata, gugur setitis dengan bawah bibir digigit resah. Umpama tembakan peluru mengena sasaran, kuat menghentam sanubari tanpa belas ihsan. Dia sudah hilang segalanya, semua yang dicintai di dunia kecuali dua wanita ini. Nek Su dan isterinya, Anan Nurfiza.

Apa khabar mereka di sana? Baru seminggu bergulir waktu, tapi mengapa terasa begitu lama pula? Tanpa khabar berita, dia sekat alat komunikasi dan media luar. Sulit hakikat tersebut, tapi dia gentar untuk terima sesiapa buat kala ini? Walaupun jujurnya perasaan rindu berbaur kasih membalut lena, dia tidak pasti wajarkah andai dia menagih semula cinta dunia dan Dia setelah melakukan semuanya?

Kopiah di atas jemala, dibuka perlahan. Seakan faham, semua para peserta kian kepenatan. Dia akhiri bicara, menutup takzirah malam dengan secoet nasihat dan salam.

Penawar Kasih Pawana | CWhere stories live. Discover now