Bab 17

414 42 4
                                    

TELEKUNG dilipat elok dan diletakkan pada meja kaca di ruang tamu. Puan Salmah menarik tangan kecil Anan agar bersama dengannya di sofa menonton televisyen sementara menanti waktu Isyak. Siaran dokumentari menjadi pilihan biarpun sekadar mengurangkan rasa janggal antara dua pihak.

"Umi..." seru Anan dan meletakkan kepala pada peha Puan Salmah. Saat ini, dia hanya mahu bermanja dan raih perhatian seorang insan yang bergelar umi.

"Anan nak cerita apa-apa pada umi?" soalnya dengan nada rendah dan mengusap kepala gadis itu lembut. Anan pejamkan kelopak mata menikmati belaian umi. Dia rindukan susuk tubuh wanita yang melahirkannya. Rindu yang tidak berpenghujung kepada yang telah pergi. Moga mama tenang di sana. Mutiara jernih mengalir lesu di tepi mata.

"Rindu. Anan rindukan mama." Anan memberitahu dengan suara seraknya. Peti suara seakan pecah setiap kali kesedihan bertandang di hati. Terlalu banyak untuk diluahkan namun dibiarkan terpantri di dalam sanubari.

Bosan. Pasti bosan umi mendengar luahan yang hampir sama setiap hari hanya kerana merindukan seseorang yang telah pergi. Salah ke untuk dia rasakan perasaan ini?

"Ada lagi cerita tak Anan nak bagitahu umi?" Anan diamkan diri. Meronta-ronta batin ingin mengatakan kenyataan seterusnya tetapi mulutnya terkunci rapat.

Anan rindukan abang Syaf juga. Dia tak telefon untuk tanya khabar Anan pun. Anan sekadar menyambung ayat seterusnya di dalam hati. Umi rasa dia akan sayangkan Anan tak? Macam dia sayangkan umi dan arwah Syifa'. Anan teringin nak rasa disayangi.

"Dah sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah mama, Anan sayang? Umi ada bagitahu Anan kan," soal Puan Salmah dan terus membelai Anan. Bahu Anan ditepuk perlahan seakan mendodoi memberi ketenangan kepada sang gadis. Tubuh kurus yang memikul duka keseorangan dan masih bertahan sehingga kini biarpun berkali-kali hampir tewas.

Setiap perbuatan Puan Salmah ibarat kedinginan mata air memercik dan tempias mengena pada lubuk hatinya yang paling dalam. Serupa dejavu yang mengingatkannya kepada memori lama bersama arwah mamanya. Segala pengalaman pahit manis mulai bergentayangan di pemikiran seperti semilir berlalu.

Seketika namun membawa seribu satu makna dalam kehidupan dan dia bersyukur masih diberi peluang bernafas sehingga saat ini. Diberi kesempatan menghirup oksigen bumi dan tiket untuk berubah sebelum ajal menjemput. Husnul khatimah, kematian yang diindamkan oleh semua.

"Ada. Untuk sesuatu perkara yang baik dan amal soleh aku lakukan, aku sedekahkan pahala yang aku perolehi ini dan berikanlah kepada arwah mamaku."

Senyum mekar melebar di bibir tua Puan Salmah. Tangan berkedut dilanjut usia masih tegar menumpahkan kasih buat menantunya. Rambut lurus dan hitam lebat Anan menyerlah kejelitaan gadis ini.

Lama mereka menjedakan bicara sehingga rancangan televisyen bertukar siaran dan azan mula berkumadang di layar skrin. Anan mengangkat kepalanya lalu terus berdiri. Dia membalikkan tubuh dengan tangan di belakang. Bibirnya mengernyih kecil dan menatap tunak sepasang mata bening Puan Salmah.

"Boleh tak Anan nak sayang umi juga macam Anan sayang mama?" Anan bertanya polos. Pandangan harapan pada mata bundarnya yang mengerdip memohon restu menggeletek sanubari Puan Salmah.

Semakin lebar senyuman di ulas bibir tuanya tanda bersetuju terhadap pertanyaan Anan. Dia mengangguk dan kelopak mata itu bergenang. Terharu. "Boleh aje, Anan sayang. Nak solat berjemaah sekali tak?"

Anan angguk. Dia mengoyakkan senyuman manis buat tatapan umi. Kerinduan bertapa ditolak ke tepi, seruan Ilahi merindukan hamba-Nya bersujud kepada Dia kini mengambil alih. Allah sentiasa nantikan doa kita namun manusia sering alpa bahawa Allah tidak pernah sesekali tinggalkan kita. Tidak kira sama ada kita bahagia mahupun bersedih, Allah selalu ada bersama kita.

Penawar Kasih Pawana | CWhere stories live. Discover now