Bab 46

262 19 0
                                    

NAFAS Anan menghela lemah. Sisa bahang masih terasa, raut muka Anan kemerahan habis dipandang Syaf penuh bersalah. Anan menggumam perlahan, hujung mata terpejam rapat tetap galak menitiskan buliran mutiara. Lengan merangkul erat Anan dirungkai perlahan, menjarakkan posisi. Jari Syaf menyentuh kulit pipi sang isteri, dikesat lembut sisa air mata mengucup laman wajah Anan.

"Awan sayang..." serunya meleret. Celah rengkung dihimpit sesak, setiap titisan air mata basah Anan membelai raut polos itu masih jelas terlayar di deria penglihatannya. Sesekali tumpah menitik pada dadanya, tanda kecewa Anan tidak dapat dibendung lagi.

Telapak tangan dilekapkan pada dahi luas Anan. Bawah bibir digigit resah, terpamer riak gelisah di muara wajah Syaf. Kepala Anan diusap, menyisir lembut rambut lebat kesayangan yang melekit dengan peluh. Tubir mata Syaf memberat, dia labuhkan ciuman pada ubun-ubun Anan. Lama.

"Badan kau dedar ni, awan." Syaf memberitahu resah berbaur kerisauan. Renik keringat membasahi sekujur tubuh Anan dibaluti selimut, suhu badan Anan menaik secara mendadak juga. Semuanya kerana silap dia melayan Anan kasar disebabkan amukan emosi memburu ganas dalam jiwa.

Sontak, Syaf tarik hujung selimut Anan ke atas menutupi paras bahunya. Dia bingkas bangun, menonong keluar kamar sebelum masuk semula dengan sebekas air di tangan. Sehelai sapu tangan turut dibawa sama, merendam lama lalu direnyuh sepuasnya.

Sementelah selesai, selimut menutupi Anan dibuka. Syaf mengelap hampir keseluruhan lekuk tubuh wanitanya, penuh hati-hati dan lembut. Anan merengek tidak selesa, namun tidak menolak waima sekali. Jasad menggigil sejuk dengan lurah pipi basah, cukup memadai dan difahami Syaf sendiri.

"Aku minta maaf..." Bebola mata jatuh pada ukiran lama dan tanda baru yang menghuni tubuh Anan. Dia sudah biasa melihat parut tersebut, tapi yang dilakukan jauh lebih teruk daipada itu. Mengapa sakitnya terasa menyengat hingga ke ulu hati? Sungguh, andai Anan katakan dia tidak sempurna bahkan lebih daripada itu, maka dia pula bagaimana?

Jari dibawa elus setiap garis halus penuh kasih, kali ini dia sedar sesuatu. Hampir keseluruhan batang tubuh Anan tidak lepas daripada parut. Jikalau dia katakan, seni terindah itu adalah Anan sendiri adakah dia menerima? Bukan luaran yang menjadi perhatiannya menyebabkan dia jatuh hati pada gadis awan ini, tapi hati yang tulus dan luhur dia ada sangat dicemburui.

"God, I love you so much."

Anan masih menutup mata, walhal dia tahu setiap perbuatan Syaf kepadanya. Jujur, dia tidak berani mahu melakukan pergerakan waima skala kecil sekalipun tika ini. Dia terbayang sentuhan kasar Syaf yang diterima, memikirkan cukup buatkan dirinya menggeligi gentar. Namun bisikan romantis yang beralun lembut di halwa telinga masih terngiang, membujuk pelayaran biarpun disemai benih kebencian atas perilaku Syaf.

"Abang Syaf."

Terhenti. Pupil mata Syaf mengerdip pada Anan yang tetap menutup mata. Membiarkan buliran jernih gugur dalam lenanya. Anan mengepal kuat tangan sendiri, tidak sanggup celikkan mata kerana trauma melanda. Sekiranya ini mimpi, benarkan dia menari dalam dimensi bahari yang mengulit bahagia. Takut untuk hadapi realiti, dia ingin terus nyenyak tanpa menghadapi segalanya lagi.

"Anan nak awak gelarkan diri abang. Anan mohon sangat, teman Anan..." ngomel Anan, perlahan. Seakan merayu dalam bait aksara yang disusun. Permintaan untuk terus menganyam angan-angan indah begitu mustahil, maka berikan detik yang ada untuk dia hargai sebaiknya.

Syaf diam. Tidak membalas tetapi tangan ligat memerah kain sapu tangan. Dilipat separuh sebelum diletakkan cermat pada dahi Anan. Dibelai lembut tempurung Anan dengan perasaan bercampur-baur. Mata tunak dengan tubir bergenang diberikan, menitis merentasi tulang pipi.

"Abang sayangkan Anan."

Air matanya luruh, hati Anan kian goyah dan luluh. Hendak dibalas ungkapan suaminya, namun peti suara seakan lumpuh tidak berguna. Sekadar senandika bagi menjawab semula, kerana sungguh detak jerih menekan setiap penjuru hatinya.

Penawar Kasih Pawana | CWhere stories live. Discover now