Bab 32

290 17 0
                                    

KELUHAN dilepaskan. Harriz picit pelipis meredakan kekusutan membelenggu pemikiran. Sejak kepulangan dua hari lepas, soalan ayah sedikit sebanyak telah mengoyahkan hatinya. Bebola mata dihalakan pada tingkap bilik, rintikan mutiara gugur ke bumi menjadi sapaan. Simfoni semula jadi menampan indra pendengaran.

Sejujurnya, dia ingin pulang semula. Tapi syarat untuk meraih kasih ibu ayah juga tidak senang seperti yang dijangka. Berat. Terlalu berat.

Pilihan yang diberi hanyalah mudah. Tapi, mengenangkan isteri di rumah menanti kepulangan dia adalah salah satu perkara yang tak dimahukan.

Fiena perlukan dia. Dia telah berjanji tidak lama meninggalkan Fiena seorang diri cuma keadaan tidak mengizinkan.

Telefon di genggaman diperhatikan. Buat kesekian kalinya, skrin mesej masih tidak bertanda baca menjadi tatapan. Sungguh, dia mahu menelefon Fiena akibat bahana renjana yang ditanggung namun dia takut tidak mampu mendengarkan suara Fiena. Tangisan sayu kesayangan, mata membengkak ketakutan dan raut dambakan seseorang membantu diri yang lemas dalam memori ngeri begitu menyakitkan. Pasti Fiena anggap dia seorang yang mengingkari janji.

"Isya okey ke di sana?" gumam Harriz.

Kelopak mata ditutup. Dia rebahkan tubuh pada kasur empuk. Sudah dua tahun namun keadaan dan dekorasi biliknya masih sama.

Larut. Situasi tempoh hari masih segar berlegar dalam minda. Sesekali ada beberapa patah bicara menusuk pilu ke dalam kalbu. Dia tak tahan segala kata nista yang dilontarkan oleh darah daging sendiri kepada Fiena. Itu isteri dia, semestinya tepuk peha kanan, peha kiri terasa juga.

Ambien sepi. Mulut dikunci rapat. Masing-masing memaparkan riak tegang. Bunyian kipas berpusing sahaja kedengaran. Harriz gelisah. Resah juga panahan sekeluarga menjurus kepadanya. Faiz yang berada atas riba sudah sembamkan muka pada dada bidangnya. Takut.

"Bila kau nak ceraikan jalang tu?" suara mandatori Tuan Hulaif bergema.

"Ayah!"

Refleks, Harriz bangkit. Tubuh kecil Faiz didukung erat dan kemas. Dada berombak kencang. Nafasnya kasar. Adrenalina darah memuncak naik terus ke kepala. Muara wajah sudah berubah merah padam menahan marah. Faiz memahami amarah bapa yang bergelonjak sudah teresak-esak.

Tuan Hulaif menyungging senyum sinis. Fitur tua yang masih tegap dibawa ke hadapan dengan gaya berteleku. Layar mata juga tajam menikam Harriz yang berani meninggikan suara kepadanya. Sesekali dia kerling Faiz dengan pandangan jelik.

"Kau sayang betul kat isteri kau ya, Harriz Umair?" nadanya mendatar. Dia menyeringai apabila reaksi Harriz berubah keruh. Belakang disandarkan kembali pada sofa sembari berpeluk tubuh. Kaki panjang disilangkan lalu dihayunkan perlahan.

Keluhan berat dihela. Tuan Hulaif berdecit halus. Puan Nora di sisi pula tenangkan sang suami dengan mengusap bahu sasa itu. Najwa yang berada di atas, merehatkan kepala pada palang tangga sekadar mengintai perbualan mereka sudah tersenyum puas hati. Ikutkan dia mahu sertai sekali tetapi dihalau ibu atas alasan tidak perlu masuk campur dalam hal tersebut.

"Gamaknya dia kena guna-guna dengan perempuan tak sedar diri tu," ujar Najwa. Nada sengaja ditinggikan bagi menaikkan amarah mereka. Panas. Bahang. Untung syaitan pun ada geng, ni lah calon yang cuba ambil alih tugas menghasut kepada keburukan. Batu api.

Puan Nora lantas menoleh memadangnya dengan jelingan tajam. Menghantar amaran pertama. Harriz memamah rahang, Tuan Hulaif sudah berubah bengis. Mata tua itu merah terbias kemarahan yang meluap-luap tika disorotkan padangan pada Faiz yang dipangku rapat oleh anaknya. Melindungi. Najwa senyum lebar namun seketika cuma. Dia buat muka, akur juga apabila ruas mata ibu semakin membesar. Tak lama lagi nak terkeluar dari soket pun ada.

Penawar Kasih Pawana | CWhere stories live. Discover now