KEMEJA Syaf yang telah disediakan di tilam katil mula diambil dan dibentangkan pada papan seterika. Anan menanti beberapa ketika lantas seterika yang sudah mengalirkan wap haba dipegang, bersedia untuk menggosok baju sang suami.
Seusai selesai, Anan letakkan seterika ke bahagian bucu papan. Baju kemeja Syaf diangkat tinggi bertentangan wajah bujur sirihnya. Mata ditajamkan pada setiap inci pakaian agar tiada lagi kedutan yang tersisa. Berpuas hati, Anan sungging senyum nipis. Sesaat, senyuman itu pudar mengenang Syaf akan pergi meninggalkan dia sekali lagi.
Sungguh, dia tak kisah namun tidak relevan memberitahu kepadanya pada saat-saat akhir iaitu pagi ini. Mengapa bukan semalam sewaktu meluangkan masa bersama?
Atau lebih tepat semalaman berada dalam rumah kerana dia baru kebah dari demamnya.
Anan geleng kepala. Lantaklah, dia pun bukannya boleh halang. Anan tekap baju Syaf ke dada dengan sebelah tangan. Dia membongkokkan sedikit postur tubuh ke bawah, menutup suis seterika yang digunakan sebentar tadi.
"Kau marah aku ke, awan?" suara garau itu tiba-tiba menghentam koklea. Anan segera berdiri dan berpaling tubuh. Mata bundarnya membulat besar, menggeletar fitur Anan mahu larikan diri.
Sudut bibir Syaf melarik senyum sinis. Sepasang tangan kekar Syaf pantas melekat pada dinding. Bertindak mengunci pergerakan Anan yang kelihatan gugup. Anan berpeluk tubuh, memeluk baju di dada dengan erat.
"Kenapa pula Anan nak marah abang?" soal Anan semula. Bebola mata dijatuhkan ke bawah. Kaki dikuiskan sama sendiri. Nadanya bergetar namun cuba dikawal sehabis baik. Dia tidak mahu Syaf mengorek lebih mendalam isi hatinya.
Syaf masih dengan riak sinisnya. Wajah sengaja didekatkan pada cuping telinga isterinya seraya menghembuskan nafas hangatnya di situ. Sera-merta Anan angkat kepala tegak, bulu roma merinding kala ekor mata sempat menangkap kenakalan terpancar di seraut Syaf. Ekpresi muka Anan pamerkan tidak endah walhal cik jantung sudah berdegup kencang.
"Aku tinggalkan kau sekali lagi," bisik Syaf. Dia jauhkan muka, mata hitamnya terus dipanah pada Anan. Ternyata air muka isterinya berubah sedetik sebelum dijernihkan kembali dengan senyum manis. Hakikat terasa jelik senyum yang ditayang, hanya sekadar meliputi rasa lara bertakhta di jiwa.
Anan geleng kepala laju-laju. Mata bundar itu berkerdip-kerdip mengawal cecair jernih kian bertubir di juring mata apabila direnung tanpa lepas oleh Syaf. Janganlah pandang Anan macam tu, abang.
"Nah, Anan dah gosok baju abang." Tangan menghulurkan pakaian Syaf, menghalang wajahnya ditatap terus tanpa henti. Anan menunduk kepala ke bawah, menekur lantai. Syaf miringkan kepala dengan senyum senget terlorek di ulas bibirnya.
"Aku tak nak baju tu, dah renyuk." Syaf jatuhkan tangan sebelah kanan lantas ditarik bajunya yang dipegang Anan ke bawah. Dia tegakkan kepala semula, mahu melihat wajah Anan. Iris hitam pekatnya tunak menerobos sepasang mata Anan yang sudah menitiskan butiran mutiara.
Figura Anan didakap getaran. Takut Syaf akan memarahi. Dia ingat ibu akan mengamuk sakan saat baju kurung yang diminta gosok untuk disarung pada majlis-majlis tertentu. Namun dia terlupa dek kesibukan mengurus diri sebagai pelajar.
Bawah bibir dikemam rapat. Cuba tidak meletuskan esakan. Baju di dalam pegangan dicengkam dan diramas gemas. Dalam intonasi bergetar dan rendah, Anan tuturkan diksi. "Anan minta maaf, abang. Anan pergi..."
"I want you, my cloud," cantas Syaf, menoktahkan bicara Anan. Syaf memaut pinggang Anan agar merapat sehingga wajah itu tersembab pada dadanya. Desis kecil kedengaran, melangut kepala Anan serta-merta mencari wajah tampan suaminya.
Hembusan nafas hangat menampar kulit wajah Anan yang kian berubah rona. Bibir Syaf merekah dengan senyuman misteri sembari mencium dahi kesayangan penuh kelembutan. Tanpa aba-aba, Syaf mencempung tinggi tubuh isterinya. Anan dirusuh kejutan menyebabkan lengan tangan refleks melingkari leher Syaf.
YOU ARE READING
Penawar Kasih Pawana | C
Romance𝐒𝐲𝐚𝐟 𝐈𝐧𝐚𝐬 | 𝐀𝐧𝐚𝐧 𝐍𝐮𝐫𝐟𝐢𝐳𝐚 𝐇𝐚𝐫𝐫𝐢𝐳 𝐔𝐦𝐚𝐢𝐫 | 𝐅𝐢𝐞𝐧𝐚 𝐀𝐫𝐢𝐬𝐲𝐚 Manis bicara sang perjaka. Tutur janji untuk menjaga belahan jiwa. Andai sahaja huluran disambut saujana. Luhur setia pernah ungkapkan tanpa curiga. Maka...