SEMINGGU berlarutan, kucar-kacir kehidupan. Anan sudah sepenuhnya kacau-bilau, resah melihat kondisi sang kecil semakin parah dimamah detik waktu. Bahang suhu badan mendadak naik, rawan sukma mahu redakan segera.
Dia ketandusan idea, seharusnya dibawa Nina ke klinik untuk mendapatkan rawatan sepatutnya. Namun kala telah melakukan pemeriksaan lanjut, keputusan mengatakan Nina baik-baik sahaja. Risau.
Kerana itu juga, dia memohon cuti dan menagih simpati. Widuri membenarkan biarpun sebenarnya dia hampir segan. Tujuh hari berlalu, dari saat fajar tiba di pundak hingga terbenam semula. Dia gigih menjaga Nina, walaupun sejujurnya seluruh tubuh sudah lasat tak bermaya.
Menyusahkan, dia sedar.
Membebankan, dia tahu.
Memalukan, dia akui.
Siapa dia untuk membangkang kata-kata yang pernah dilontarkan? Lemparan bait aksara menusuk sembilu, memamah sekian lama tetapi tidak pernah mati. Masih bertahan hingga kini, itu sudah cukup perih buat dirinya. Dan sebab itulah Nina sakit, kerana ulahan manusia seperti dia.
Anan labuhkan punggung di birai katil, helaian sapu tangan di jindat kecil kian diambil. Dia pusing tubuh, merendam kain tadi ke dalam sebuah bekas berisi air di meja sisi katil. Seketika, Anan angkat semula sembari merenyuh kuat.
Usai itu, dia bawa ke dahi permatanya semula. Lembut penuh hati-hati, juntaian rambut Nina yang jatuh kian dirapikan. Diselitkan ke celahan telinga, wajah Anan mendekat. Membisik gemeresik seraya satu taupan diberi pada pipi sang cilik.
"Mama sayang Nina. Cepat sembuh ya, sayang?"
Anan jauhkan muka, mata mengerdip rembut nan redup. Fitur Nina lemah berselubung dalam selimut, pucat rautnya ketiduran. Sayu umpama tersiat jiwa Anan, lensa matanya basah. Telapak tangan dibawa mengusap tempurung Nina, menyisir helaian rambut lebat kesayangan.
"Nina sayang..." nada Anan menggeletar. Pilu hati dan rabak nurani keibuan apabila terpaksa menghadap keadaan si cilik tidak bermaya seperti biasa.
"Mama..." serak dan perlahan Nina membalas. Kelopak mata dibuka, kuyu pandangan iris hitam itu memusat pada mamanya. Bibir keringnya merekah dengan senyuman, tipis namun cukup meluluhkan hati.
"Ya, anak mama." Anan membalas jua, sedaya-upaya dia cekalkan atma. Tidak mahu lemah menghadap Nina tatkala ini, bibir dipaksa carik senyum lebar-lebar mengaburi isi batin yang tidak kasat mata.
"Nina haus? Mama ada bawakan air," ujar Anan sembari mencapai gelas air yang turut ada di situ. Nina angguk, mengengsot sedikit dengan jemala diangkat rendah. Anan bantu Nina, menyua bibir gelas pada sang kecil lantas diteguk perlahan.
Usai selesai, Nina baring semula dengan pertolongan Anan. Anan sekadar paparkan ekspresi biasa, tetapi Nina sedar apabila mata bundar mamanya begitu pekat dan sarat dengan rasa. Jeladeri yang membaham murni nurani, resah andai tiba masa ia akan berubah nihil kerana endak mampu menampung lagi.
Kehilangan, menanggung kerinduan.
Penyesalan, menghentam keseksaan.
Kepedihan, menghambat kejerihan.
Tidak sanggup melihat, dia seharusnya memberitahu.
"Stop lying yourself, mama. I know you," bicara Nina lancar, penuh kejujuran. Sekonyong-konyong, Anan bagai ditimpa guruh maha hebat. Bergemulugut susuk tubuh, dia kaku semahu-mahunya. Manik-manik mutiara akhirnya luruh membelai tulang pipi, menggeletar ulas bibir mahu membalas hujah anak perempuan ini. Walang menghimpit, sesak celah rengkung menanggung perih. Seketika, terasa sesuatu menjalar pada epidermis tangannya. Hangat nan nyaman, menggamit longlai jari-jemari kesayangan.
YOU ARE READING
Penawar Kasih Pawana | C
Romance𝐒𝐲𝐚𝐟 𝐈𝐧𝐚𝐬 | 𝐀𝐧𝐚𝐧 𝐍𝐮𝐫𝐟𝐢𝐳𝐚 𝐇𝐚𝐫𝐫𝐢𝐳 𝐔𝐦𝐚𝐢𝐫 | 𝐅𝐢𝐞𝐧𝐚 𝐀𝐫𝐢𝐬𝐲𝐚 Manis bicara sang perjaka. Tutur janji untuk menjaga belahan jiwa. Andai sahaja huluran disambut saujana. Luhur setia pernah ungkapkan tanpa curiga. Maka...