PAGI. Tugas hakiki sebagai hamba menunaikan sembahyang lima waktu, jiwa yang kacau-bilau seakan terhapus sekelip mata saat ditadahkan doa kepada Yang Maha Esa. Terapi paling indah, pinta dan pohon pada Dia dengan sesungguh hati. Insya-Allah, moga lerai kemelut yang menimpa setelah luahkan pada Dia. Allah sentiasa ada, sudi mendengar rintihan kita walaupun manusia sering melupakan di saat senang dan suka ria.
Syaf menapak keluar dari bilik mandi dan terus menjuju ke almari pakaian. Dia mencapai baju T putih kosong lantas disarung ke tubuh. Tuala yang dililit di leher diperkemaskan bagi mengelap juntaian rambut yang masih basah. Ekor mata menjeling Anan yang larut menyisir rambut hitamnya di hadapan meja solek. Aneh sekali, Anan pilih untuk berdiri sahaja berbanding duduk di kerusi.
Dalam diam, idea nakal timbul di permukaan benak. Derap kaki sengaja diperlahankan seraya membelit batang tubuh Anan dengan lengan kekarnya. Anan mengeras saat ada titisan air mengena kulitnya yang terdedah. Lebih mengharukan, Syaf rehatkan dagu di bahu isteri kesayangan sebelum bibirnya menarikan kuncupan suam sekitar kawasan.
"Sayangku awan, petang ni kita balik ya? Nanti aku bawa singgah jalan sekali," bisik Syaf sembari mengusap perut kempis Anan dari belakang. Menurut doktor, kandungan Anan sudah memasuki fasa lima minggu. Patutlah selera isteri meninggi, mudah letih dan ingin melekat dengannya sepanjang tempoh itu.
"Kenapa? Kita baru tiga hari sini, abang ada rancang sesuatu ke?" Anan menggeliat kegelian saat Syaf menggeselkan kumis nipisnya pada ceruk leher. Sesekali jejaka seorang ini tenggelam dalam aroma lili kesayangan, dia menghadiahkan ciuman di luar kewarasan.
Syaf menggumam kecil. Dia angkat wajah dan menaup pipi Anan sekilas. Direnggangkan pelukan, jasad Anan dipusingkan menghadapnya. Tangan kasar menyentuh kedua-dua bahu Anan. Anan panggung kepala serta-merta dengan riak penuh tanda tanya. Mata hitam itu mengerjap lembut, memberi pandangan rembut dan tunak tika pacaindera penglihatan dipenuhi gadis awannya.
"Maybe? Aku pun tak pasti tapi aku nak bawa kau pergi tempat special." Dilorotkan tangan perlahan menyelusuri lengan Anan sebelum menjeda pada telapak tangan Anan di sisi. Anan kunci suara. Tidak menghalang tindakan Syaf, sekadar mengikut rentak sang suami. Dicapai lembut seraya mempamit erat. Dielus jari manis Anan, cincin kesayangan yang masih tersarung. Bukti perkahwinan mereka, lagi-lagi dengan bintang kecil diusung isteri buat masa ini. Tanda cinta dua insan setelah membina mahligai tiga bulan lamanya.
Cepatnya masa berlalu. Waktu pun semakin suntuk, seakan bekalan kenangan dan memori telah terukir kala kerinduan menyapa sanubari. Di saat pemergian dirinya nanti, ada malaikat kecil kiriman Tuhan ditiup dalam rahim wanita ini.
Bibir mengulumkan senyum sumbing. Dia masih pasakkan pandangan pada Anan yang bereaksi keliru. Juring mata Syaf berkolam, Anan berganda-ganda gusar saat air mata lelaki itu gugur menyembah buana.
"Aku kagum sebenarnya, awan. Allah berikan peluang dan kelebihan bawa zuriat ini sebagai penyambung ummah kepada para wanita. Betapa tinggi darjat dan maruah seorang wanita hinggakan sembilan bulan mengusung amanah daripada-Nya, melahirkan umpama berjihad di medan perang sana malahan mampu menjaga anak yang kadangkala tidak terkira banyaknya."
Lensa mata Anan berembun. Bait bicara Syaf sedikit sebanyak mencuit tangkai hati. Dengan buliran air mata Syaf semakin deras, Anan kelu lantas empangannya pecah dan tumpah meluruh ke lurah pipi.
Hening. Hanya takungan air mengguyur mereka seketika, isyarat telepati melalui pandangan mata. Anan jujut nafas dalam, dia koyak senyum tipis pada Syaf. Dia mahu menambah pernyataan Syaf sebentar tadi.
"Seorang ibu mampu menjaga sepuluh orang anak tetapi seorang anak belum tentu boleh menjaga ibunya. Jujurnya, Anan cemburu bila Allah beri seorang anak menjaga ibunya di hari tua mereka. Berkat kesabaran tanpa mengeluh waima sekali, betapa wanita ini dahulu susah-payah berjuang buat kita. Andai itu seorang ayah pula, lihatlah cara mereka korbankan masa mencari punca rezeki demi keluarga." Anan membalas panjang lebar.
YOU ARE READING
Penawar Kasih Pawana | C
Romance𝐒𝐲𝐚𝐟 𝐈𝐧𝐚𝐬 | 𝐀𝐧𝐚𝐧 𝐍𝐮𝐫𝐟𝐢𝐳𝐚 𝐇𝐚𝐫𝐫𝐢𝐳 𝐔𝐦𝐚𝐢𝐫 | 𝐅𝐢𝐞𝐧𝐚 𝐀𝐫𝐢𝐬𝐲𝐚 Manis bicara sang perjaka. Tutur janji untuk menjaga belahan jiwa. Andai sahaja huluran disambut saujana. Luhur setia pernah ungkapkan tanpa curiga. Maka...