KALI terakhir, hanya kegelapan menjadi teman setia. Dia sudah lama tenggelam, dibuai hanyut arus ombak yang memukul. Samudera dalam buatkan dia terkapai-kapai, lemas menanti huluran bantuan yang sememangnya tidak akan mengunjung tiba.
Dibawa masuk ke mimpi tanpa sesiapa, mencari sinar harapan sekelumit untuk bertahan dalam dunia penuh durjana. Kadangkala seringkali disoal perkara sama pada diri, apakah silap caranya sehingga terseksa merana menanggung bahana?
Kenapa aku di sini?
Perlahan-lahan, kelopak mata dibuka. Silau saat cahaya terang menerobos masuk ke retina mata. Sejenak, Anan tutup semula bingkai pandangan. Pedih. Berkali-kali dikerjap, anggota badan diampu untuk bangun dari baringnya.
Entah mengapa, kepala terasa disengat tebuan. Sakit, Anan terlantar kembali. Longlai seakan tidak berdaya, berat sekali bagai dihempap batu tan begitu banyaknya. Penat, dia tidak mampu berenang. Dia jatuh dalam gelita, semakin dalam sehingga tiada yang menyedari kehilangannya. Usah segenggam harapan, jauh sekali senyiru bantuan. Semua umpama bayangan mimpi, tempat yang sepatut dia berpaut juga hilang dari pandangan.
Mengapa ia seakan jauh untuk digapai? Apakah yang menanti di hadapan sehinggakan ujian diberi membuatkan dia hampir putus asa? Dia yang menanti kematian, moga hadir dijemput ketenangan.
Kontan, denyutan semakin reda dan berkurangan. Anan cuba untuk kali kedua, tubuh digagahkan jua agar bangkit bersandar di kepala katil. Sedetik, koklea disapa keriuk pintu dari luar. Anan terkebil-kebil, dilemparkan pandangan sekeliling yang asmaradatna. Sejenak, mata bundarnya tertancap pada figura wanita berniqab yang mendukung seorang gadis.
"Mama..." serunya perlahan. Mata kuyu ditumpu pada Anan, bibir comel itu mengukir senyum tipis. Widuri memahami kehendak sang kecil, automatik dia menjuju mampiri lantas melabuhkan punggung di birai katil. Membiarkan Nina meluru dan menyauk fitur kurus Anan, melepaskan kerinduan.
"Anan dah sedar?" Widuri menyoal. Pupil mata dituju pada figura Anan, kasat mata semakin susut semenjak percutian mereka tempoh hari. Sejujurnya, dia tahu Anan enggan mengikuti perancangan untuk melancong bersama. Lebih-lebih lagi setelah ketahui dia mengambil tempat berdekatan persisiran pantai, seboleh-bolehnya gadis ini menolak. Namun dia sengaja menyuntik Anan agar sekali-sekala menghirup udara segar, mencari ketenangan di luar kawasan.
Mungkin, destinasi jerlusan halus dibentangi hamparan nilakandi adalah sesuatu yang indah. Tidak dinafikan apabila turut dilatari kanvas cakralawa, melengkapi lagi mahakarya ciptaan Dia. Mengingatkan itu, gelora jiwa dihambat sendu. Ada sekelumit rasa tatkala menjejaki sana, umpama membawa kembali perkara yang mahu dijauhkan dari benak fikiran.
"Akak jagakan Nina untuk Anan ya?" Widuri angguk. Anan garit senyum getir, belakang tubuh Nina diusap lembut. Ulas bibir melabuhkan kucupan di ubun-ubun permata hati, setitik mutiara jernih jatuh dari pelupuk mata. "Maafkan Anan andai susahkan akak, Anan pun tak jangka macam ni."
Bungkam. Widuri menggeleng kecil, menafi kenyataan Anan.
"Fira tak kisah, Anan. Lagipun memang masa tu, Fira terdetik nak ke rumah Anan semula." Widuri memberitahu jujur.
Sememangnya setelah seharian memandu, dia lelah dan memilih untuk pulang sahaja ke rumah sebaik menghantar dua beranak tersebut. Namun memikirkan perut kosong yang masih belum menjamah apa-apa makanan, dia ambil alternatif untuk singgah ke restoran berdekatan. Alang-alang, dia belikan sekali buat Anan dan Nina. Tidak memerlukan masa yang lama lantas berpatah balik ke rumah mereka.
"Terima kasih kak, Anan banyak susahkan akak kan? Anan tak reti jaga diri sendiri, selalu sangat akak bantu Anan. Anan segan sebenarnya, risau andai Anan termakan budi. Anan tak mampu nak bayar, yang sedia ada pun dah rebeh bahu orang." Anan angkat kepala, birai mata basah memusat pada Widuri. Kelu lidahnya, seakan tersekat di celah kerongkong saat air mata Anan mengalir lesu.
YOU ARE READING
Penawar Kasih Pawana | C
Romance𝐒𝐲𝐚𝐟 𝐈𝐧𝐚𝐬 | 𝐀𝐧𝐚𝐧 𝐍𝐮𝐫𝐟𝐢𝐳𝐚 𝐇𝐚𝐫𝐫𝐢𝐳 𝐔𝐦𝐚𝐢𝐫 | 𝐅𝐢𝐞𝐧𝐚 𝐀𝐫𝐢𝐬𝐲𝐚 Manis bicara sang perjaka. Tutur janji untuk menjaga belahan jiwa. Andai sahaja huluran disambut saujana. Luhur setia pernah ungkapkan tanpa curiga. Maka...