ANAK mata zulmat Hasya liarkan sekeliling ambien sekitar rumah. Kaki kecilnya menggeluyur tuju ke halaman, sekejap-sekejap bebola mata Hasya bergerak kiri kanan memastikan tiada sesiapa mengekorinya. Tika dia benar-benar puas hati, Hasya labuhkan duduk di buaian.
Hening.
Ayunan buai sepoi-sepoi bahasa, berpuput lembu semilir membelai rambut toncang dua dia. Hasya sekadar menerawang fikiran jauh ke fatamorgana, kenangkan bait-bait arwah nenek dahulu. Naskah buku yang dibawa sama Hasya peluk kemas, katakan sahaja dia sedang dakap mama dan papa kerana semua tentang mereka ada dalam ini.
"Asya rindu mama papa..." bisiknya lirih, menghangat tubir mata tanpa sedar. Renyuh hati tak disangkal lagi. Hasya panggung kepala, melihat panorama indah dada langit di atas sana.
Awan.
Spontan, Hasya lorek senyum lebar. Cantik mega berambal hiasi semesta teja, Hasya teringatkan tentang mama.
"Mama awan Asya," getusnya suka. Tangan sebelah lurus diangkat, besar telapak mahu gapai sesuatu yang sememangnya jauh tak mampu dek manusia.
"Mesti mama Asya baik kan? Anan Nurfiza, cantik nama mama."
Betapa dia merindui, walaupun tidak pernah temui mahupun bersua walau sekali. Tapi kata nenek, dia pernah jumpa sewaktu bayi dahulu. Tidak adil, mengapa dia endak ingat malahan cemburu Hasya membara kenangkan yang lain punya keluarga kandung sendiri.
Perlahan-lahan, Hasya jatuhkan kepala dan tangan semula. Dia letakkan buku tersebut di riba sendiri. Teliti lama muka hadapan hitam pekat, seakan biasa tiada makna. Tetapi tahukah mereka, ini bekalan ribang saat gebu belenggu merantai jiwa?
Hasya jujut nafas dalam, mulai buka lembaran dan belek helaian pertama. Seketika, iris panah pada barisan kata pembuka. Bait khas nukilan mama, tentang cinta hati kenalkan erti penawar kasih yang sebenar-benarnya.
Penawar kasih pawana.
Sebaris lafaz cinta indah jadi dedangan melodi kita.
Kasih syurga hikayat titian dua jiwa saling bersama.
Satu ikatan suci eratkan kita berdua.
Namun sayangku, apakah engkau tahu hadir kamu mengubah aku?
Penawar kebaikan awan pawana, aku nukilkan untaian puisi tentang cereta kudus meladeni sepanjang perjalanan kita.
Hanyut. Badai arus menelan dia, Hasya tenggelam dalam ceritera sulaman kasih antara dua jiwa.
YOU ARE READING
Penawar Kasih Pawana | C
Romance𝐒𝐲𝐚𝐟 𝐈𝐧𝐚𝐬 | 𝐀𝐧𝐚𝐧 𝐍𝐮𝐫𝐟𝐢𝐳𝐚 𝐇𝐚𝐫𝐫𝐢𝐳 𝐔𝐦𝐚𝐢𝐫 | 𝐅𝐢𝐞𝐧𝐚 𝐀𝐫𝐢𝐬𝐲𝐚 Manis bicara sang perjaka. Tutur janji untuk menjaga belahan jiwa. Andai sahaja huluran disambut saujana. Luhur setia pernah ungkapkan tanpa curiga. Maka...