BUNYI deringan membingit gegendang telinga. Anan celikkan mata. Kekura tangan menggosok kelopak mata. Dia terpisat-pisat sebentar memandang nihil sekeliling. Otaknya kosong. Tubuh Anan berbungkus telekung mengerekot ketiduran umpama bayi di atas sejadah sejak subuh tadi. Saat dia cuba bangkit, segenap inci terasa sengal dan lenguh. Tidak sedar bahagian wajah kiri berbekas tertindih berjalur halus.
"Dah pukul berapa?" serak Anan menyoal. Mamai lagi. Terkebil-kebil sebelum telefon miliknya di meja solek menjerit nyaring.
Berkerdip mata bundar itu lantas bangun mencapai gajet komunikasi tersebut. Anan cepat-cepat matikan penggera nan indah menjamah halwa telinga sebelum mata membulat besar.
"Allah, Anan dah lambat." Refleks, Anan mendadak berdiri. Namun malang tidak berbau, Anan terlupa mahu buka kain mukenah yang disarung menyebabkan dia hampir tersungkur. Nasibnya baik kala tangan terus ditahan pada bucu meja.
"Astagfirullah." Jantungnya sedikit lagi mahu melompat keluar. Tapak tangan diletak pada dada sendiri. Masih bernafas. Risau selama ini telah menampung pelbagai ujian persepsi masyarakat tapi kalah akibat kecuaian yang dialami.
Dan-dan, Anan geleng dan koyak segaris senyuman. Tak mahu terus mempersoalkan aturan Ilahi. Dia rasa berdosa apabila seringkali menanya apakah dia sahaja diuji sebegini sedangkan ramai lagi menimpa dugaan lain.
Anan perlahan tanggalkan kain telekung. Dalam setiap perbuatannya, fikiran menerawang seketika. Teringat kejadian malam semalam, kepulangan ke rumah dengan emosi bercampur-baur. Dia bertindak membersihkan diri lantas menunaikan solat sunat dua rakaat.
Saat tiada bahu untuk bersandar, dia masih ada sejadah untuk bersujud. Jujur dia katakan, tenang dan nyaman diperolehi selepas itu. Menempiaskan beban memukul dada, melepaskan tangisan hiba kepada-Nya. Biar berat cabaran menanti di hadapan, harapan moga atma kekal jitu dan iman tidak pernah goyah pada Allah yang satu.
"Syukur, Ya Allah. Kau masih berikan aku nikmat khusyuk dan menghamparkan keresahan pada jiwa hamba-Mu yang kerdil lagikan hina ini," bisiknya perlahan. Kepala Anan terngadah. Birai matanya basah. Bibir masih mengulumkan senyuman. Ratna jernih akhirnya mengalir jua. Bukan kerana sedih ujian hidup membadai jasad, tetapi tanda dia bersyukur Allah masih berikan peluang kepadanya untuk memperbaiki diri penuh cela dan noda.
"Lagipun, Allah tak akan uji seseorang lebih daripada kemampuan hamba-Nya kan?" Anan menggumam pula. Hanya seketika kala kewarasan dia sepenuhnya diambil. Lamunan dimatikan. Sepantas kilat Anan menjuju ke bilik mandi. Kali ini, lebih berhati-hati.
Mempersiapkan diri.
Sejurus selesai, Anan tangkas mencapai blaus biru gelap dan seluar palazzo hitam. Ini merupakan pemberian Syaf kepadanya. Syaf membeli segala keperluan harian secukupnya membuatkan Anan serba-salah. Patutkah dia menanyakan Syaf untuk turut membanting tulang sekali. Sejujurnya, dia tidak selesa dimewahkan sebegitu. Mungkin sudah menjadi kebiasaan, dia harus berusaha sendiri dan bersusah-payah untuk mendapatkan sesuatu.
Bibir menguntumkan senyum tipis. Mengenangkan bertapa Syaf menjaga dia biarpun seketika telah mengubah persepsi dia terhadap Syaf. Ada kuntuman bunga mekar menyelinap tangkai hati. Indah.
Ekor mata mengerling jam di dinding. Anan besarkan mata, bungkam. Dia sudah lewat dan tekaannya tepat apabila deringan loceng rumah kedengaran.
"Umi abah dah sampai!" Anan kalut. Lekas-lekas dia sarungkan segalanya. Usah dihiraukan penampilan diri, dia tak sempat juga untuk bertatarias dengan elok. Semua pun dia tepek dan bantai, asal boleh aje.
Kaki panjang dibawa keluar bilik dan menuju ke pintu rumahnya. Terkocoh-kocoh Anan menyambut susuk tubuh umi di hadapan pintu. Kepala Anan juga terjenguk di celahan pintu mencari-cari fitur abah yang tidak kelihatan di matanya.
YOU ARE READING
Penawar Kasih Pawana | C
Romance𝐒𝐲𝐚𝐟 𝐈𝐧𝐚𝐬 | 𝐀𝐧𝐚𝐧 𝐍𝐮𝐫𝐟𝐢𝐳𝐚 𝐇𝐚𝐫𝐫𝐢𝐳 𝐔𝐦𝐚𝐢𝐫 | 𝐅𝐢𝐞𝐧𝐚 𝐀𝐫𝐢𝐬𝐲𝐚 Manis bicara sang perjaka. Tutur janji untuk menjaga belahan jiwa. Andai sahaja huluran disambut saujana. Luhur setia pernah ungkapkan tanpa curiga. Maka...