BAB 12

25.3K 343 20
                                    

Laila memandang kelibat Tiara sehingga hilang dari pandangan matanya. Kemudian dia beralih kepada Tuan Mizan yang sedang menghirup teh o panas.

Walaupun dia bukan orang yang berpelajaran tinggi, tapi dia tidak terlalu bodoh untuk membaca situasi yang agak kekok sebentar tadi. Nak dikejar Tiara, nanti apa pula kata Tuan Mizan. Lagi pun Tiara bukannya pedulikan dia. Nak bercakap dengan Tuan Miza pula dia tiada idea. Akhirnya dia diam menyudahkan mee goreng yang masih bersisa di dalam pinggannya.

Termenung Laila seketika sehinggalah dia terasa seperti dirinya dipandang. Dia mencari milik sepasang mata itu dan akhirnya dia bertentang mata dengan Tuan Mizan. Terkebil-kebil Laila seketika bila tersedar dirinya diperhatikan. Pelik kenapa Tuan Mizan memandangnya.

Selang beberapa saat, Laila membuka matanya luas. Mulutnya sedikit terlopong. Baru dia tersedar yang dia perlu bersiap. "Sekejap, Laila mandi." Kalut Laila mengambil pinggan kotor di atas meja lalu dibawa ke sinki.

"Oh mak kau." Dalam dia kalut, kakinya tersepak kaki meja sehingga bergegar meja makan tersebut. Mukanya berkerut menahan sakit yang berdenyut-denyut di kaki. Nasib baik dia tidak tercampakkan pinggan-pinggan di tangan.

"Hati-hati bila berjalan tu. Tak perlulah tergesa-gesa. Aku boleh tunggu." Kedengaran suara Tuan Mizan yang sedikit keras.

Laila termalu sendiri. Sudah la kaki dapat sakit, diri pun dapat malu. Aduhai, sudah la dirinya sakit, bukannya Tuan Mizan nak ambil berat, kena marah lagi adalah.

Laila tak mampu nak membalas kata-kata Tuan Mizan. "Sekejap." Hanya sengihan kerang busuk sajalah yang dia boleh berikan.

Tuan Mizan kembali memandang telefonnya. Dibiarkan Laila menyiapkan kerja-kerja rumah. Nasib baiklah Laila tidak mengambil masa yang lama untuk bersiap.

Hampir tiga puluh minit Tuan Mizan menunggu Laila di dapur. Dia langsung tidak berganjak sejak dari sarapan tadi. Sesekali matanya memandang Laila yang ke hulu ke hilir sehinggalah gadis itu siap berpakaian untuk keluar.

Tuan Mizan memandang Laila yang menyarungkan sandal di kaki. "Pakailah kasut."

"Err... Laila tak ada kasut." Teragak-agak Laila menjawab. Matanya memandang hujung kakinya. Buruk sangatkah sandal yang dia pakai?

"Tak apalah. Masuk." Arah Tuan Mizan seraya melompat masuk ke dalam perut kereta.

Kelam kabut Laila memanjat pacuan empat roda itu. Tali pinggang keledar ditarik sebaik sahaja dia menutup pintu kereta. Keselamatan harus diutamakan.

"Hari ni aku bawak Laila pusing ladang. Boleh la tengok-tengok kelapa sawit."

Laila menganggukkan kepalanya seraya memandang ke luar tingkap. Bukannya dia tidak tahu yang Tuan Mizan ada banyak ladang kelapa sawit dan juga kebun pokok pisang. Tapi seluas mana tanah tersebut, dia tidak tahu.

"Hari ni aku tak ada urusan penting. Boleh la bawak Laila pusing ladang. Kalau nak bawak pergi dating tengok wayang, aku tak pandai."

"Tak apa. Laila pun tak biasa tengok wayang. Abang nak bawa Laila macam ni pun dah besar rahmat."

"Lepas ni kalau Laila nak cari aku, Laila tahulah aku selalu ada dekat mana."

Hampir dua jam Tuan Mizan membawa Laila berpusing dari ladang kelapa sawit, ke kilang penyimpanan dan pemprosesan buah kelapa sawit sehinggalah ke bangunan pejabat kecil lelaki tersebut.

Tetapi baru sahaja mereka ingin masuk ke dalam pejabat Tuan Mizan, lelaki itu mendapat panggilan penting.

Tuan Mizan kelihatan agak kalut lalu memandu keretanya ke kebun pisang.

SUNTI UNTUK TUAN MIZAN (C)Where stories live. Discover now