BAB 23

20.2K 313 65
                                    

Cuaca pagi ini cerah dan panas seperti mengerti Laila yang ingin menjemur baju di ampaian. Satu persatu pakaian dikibasnya bagi mengurangkan kedutan sebelum disidai. Senyuman Laila terukir bila tangannya memegang baju kecil kepunyaan anak-anak Faizal. Comel.

"Assalamualaikum."

Kerja Laila terhenti. Dia sedikit tersentak mendengar suara orang memberi salam. Kenapa sejak akhir-akhir ini ramai sangat orang yang datang ke rumah Tuan Mizan?

Laila memandang wanita yang lebih kurang sebaya Hajar melangkah memasuki halaman rumah. Wanita itu tersenyum lebar. Mak Cik Leha.

"Waalaikumussalam." Jawab Laila lambat. Pelik apa mimpi Mak Cik Leha itu datang ke situ. Dia memandang ke rumahnya kemudian kembali memandang Mak Cik Leha. Takkanlah Mak Cik Leha mencari emaknya sehingga ke rumah Tuan Mizan?

"Rajinnya Laila, awal pagi lagi dah sidai baju. Mak cik ni pun tak sempat nak sidai baju lagi. Laila apa khabar? Lamanya tak jumpa. Dulu kalau mak cik singgah rumah mak Laila, mesti Laila ada. Ni sejak dah kahwin ni lama betul tak jumpa." Ramah Mak Cik Leha menyapa Laila.

Laila mengukirkan senyuman. "Alhamdulillah, sihat. Mak Cik Leha ni dari mana?"

"Mak Cik ni dari rumah. Nak ke kedai runcit depan tu. Nak cari barang sikit nak buat masak tengahari. Dah alang-alang lalu sini, ternampak pula Laila kat luar ni, tu yang mak cik datang menyinggah sekejap. Rindu pula dekat Laila."

Laila tersengih kekok. Tangannya kembali menyambung kerja yang separuh jalan.

"Dua tiga hari lepas, mak cik ada pergi rumah Laila. Mak Laila cakap dia berkenan betul dengan periuk Noxxa yang dia tengok di rumah Mak Cik Bedah."

Dahi Laila sedikit berkerut. Dia seperti pernah terdengar nama periuk tu.

"Dia tak pandai nak cakap dengan Laila. Tu yang mak Laila suruh mak cik terangkan sendiri dekat Laila. Biar Laila faham. Zaman dah moden ni, barang-barang pun dah makin canggih. Itu yang ramai sangat orang berkenan dengan periuk noxxa ni. Macam-macam boleh masak dalam tu. Memang la harga dia mahal sikit tapi berbaloi untuk beli. Sekarang ni pula boleh buat bayaran ansuran, rugilah kalau tak beli."

"Mak cakap mak nak beli periuk tu ke, Mak Cik Leha?"

"A'a. Mak Laila tu dah berkenan sangat dengan periuk tu. Senang dia nak masak nanti. Dia asyik mengadu sekarang ni Laila dah jarang ada kat rumah tu untuk tolong dia masak. Sekurang-kurangnya ada periuk tu, ringanlah sikit kerja mak Laila."

"Berapa harga periuk tu?" Tanya Laila serba salah.

"Tak mahal pun. Padanlah dengan harga dia. Sembilan ratus. Tapi boleh buat ansuran enam bulan. Sebulan jadi seratus setengah je. Tak adalah terasa berat sangat nak bayar kan?"

Laila menelan air liur mendengar harga periuk itu. Mahalnya. Nekad betul Hajar ingin memiliki periuk itu sehingga sanggup menyuruh Mak Cik Leha datang ke rumah Tuan Mizan.

"Apa yang mahal sangat periuk tu?" Kedengaran suara Faizal yang sedikit lantang.

Laila dan Mak Cik Leha memandang ke muka pintu rumah melihat Faizal yang sedang memeluk tubuh sambil bersandar pada bungkai pintu.

"Eh kamu Faizal pun ada. Bila balik sini? Maaflah mak cik tak perasan pula kamu ada." Mak Cik Leha tersengih menayangkan giginya yang sudah kekuningan. "Mana ada mahal pun periuk ni. Semua orang berebut nak beli. Kamu pun belilah satu untuk bini kamu. Hadiahkan untuk dia. Senang sikit bini kamu nak masak nanti."

"Bini saya tak pakai periuk mahal-mahal macam ni. Yang biasa pun dah okey. Boleh je masak sedap bagi kami satu family makan." Balas Faizal.

Laila mula tak senang hati. Kenapalah Mak Cik Leha datang ke situ ketika Faizal ada? Tak bolehkah cari masa yang lebih baik? Apalah nasibnya.

"Dari dalam rumah boleh dengar suara. Apa yang meriah sangat ni?" Sapa Tuan Mizan dari dalam rumah. Matanya memandang wajah satu persatu yang berdiri di halaman rumahnya. "Leha, masa bila kau sampai? Kenapa tak masuk rumah?"

"Aku saja menyinggah. Kebetulan ternampak Laila ni kat luar, itu yang borak tanya khabar."

"Mak Cik Leha nak jual periuk, ayah." Adu Faizal.

"Periuk apa?" Tanya Tuan Mizan pelik.

"Aku jual periuk Noxxa. Bagus periuk ni, boleh masak macam-macam. Aku terlupa pula nak bawak pamphlet nak tunjuk dekat kau. Main cakap mulut jela. Ramai mak-mak kat kampung ni dah beli periuk ni."

"Hebat betul periuk kau ni boleh masak macam-macam. Berapa harga?" Tanya Tuan Mizan.

"Tak mahal pun. Sembilan ratus tapi boleh bayar ansur-ansur enam bulan. Sebulan jatuh seratus lima puluh je." Terang Mak Cik Leha.

"Ish, mahallah. Bini Along yang berkerja tu pun tak beli periuk mahal macam ni." Faizal menyuarakan rasa tidak puas hatinya.

Laila yang hanya berdiri mendengar perbualan mereka kaku tidak bergerak. Mulutnya seakan terkunci untuk menjawab apa-apa. Semuanya berpunca dari Hajar yang beria benar inginkan periuk Noxxa. Niat di hati, dia ingin abaikan saja permintaan maknya tapi tak sangka sehingga ke sini berlarutannya.

"Bini Along tu memanglah tak pakai periuk macam ni. Dia mana ada masa nak masak sangat kat rumah tu. Sibuk berkerja." Balas Tuan Mizan sedikit pedas membuatkan Faizal terdiam.

Jelas terpampang wajah tidak puas hati Faizal. Matanya menjeling ke arah Laila. Sakit hati dimalukan di hadapan mak tirinya.

"Kalau Laila nak, belilah." Ujar Tuan Mizan pendek.

Terkejut mendengar namanya disebut, pantas Laila mengangkat muka. "Bukan Laila. Mak yang nak."

Tuan Mizan terdiam seketika.

Kebisuan Tuan Mizan walaupun sesaat dua sudah cukup meresahkan Laila. Dadanya berdebar. Apalah yang difikirkan oleh Tuan Mizan. Mesti lelaki itu akan fikir yang dia mula berani mengambil kesempatan. Pastinya dia isteri yang teruk. Hanya tahu kikis duit lelaki.

"Leha, aku nak dua. Nanti kau hantar satu kat sana, sini satu. Duit nanti aku transfer."

"Alhamdulillah. Untung Laila ada suami pemurah. Memang langkah kanan aku ke sini. Baik. Minggu depan aku hantar. Terima kasih. Kalau macam tu aku balik dululah." Ujar Mak Cik Leha bersama senyuman lebar. Seronok dapat menjual dua buah periuk Noxxa. Tercapai sudah misinya, bolehlah dia pulang dengan senang hati.

Mata Laila terkebil-kebil seperti tidak percaya apa yang dia baru dengar. Bukan dia yang mahukan periuk itu tetapi kenapa Tuan Mizan bersetuju membeli sehingga dua buah periuk?

Faizal seperti cicak yang tertelan kapur. Kalau ayahnya sudah membuat keputusan, memang tak ada apa lagi yang boleh dibuatnya.

"Laila, yang berdiri lama-lama tengah panas tu kenapa? Orang jemur kain, bukan jemur diri." Tuan Mizan melambai tangannya kepada Laila.

Bagaikan baru tersedar dari lamunan, lambat-lambat Laila mengorak langkah. Matanya mengerling ke arah Faizal yang tidak puas hati. Menjegil mata lelaki itu memandangnya membuatkan isi perutnya kecut. Takut-takut dia ingin melintas di hadapan Faizal. Tetapi digagahi juga kakinya melangkah kerana Tuan Mizan masih berdiri di situ menghulurkan tangannya. Sedikit kekok, Laila mencapai huluran Tuan Mizan. Mukanya ditunduk seraya melangkah masuk ke dalam rumah.

Sorry lambat update.
Hope tak terlupa la dekat Tuan Mizan ni..
🥺🥺

SUNTI UNTUK TUAN MIZAN (C)Where stories live. Discover now