Perlahan-lahan kereta Tuan Mizan memasuki pekarangan rumah Salem. Kelihatan Hajar sedang menyiram pokok di halaman rumah. Kepalanya tertoleh memandang ke arah mereka. Mungkin terkejut dengan kemunculan anak menantunya petang itu.
Dengan rasa berat hati, Laila turun dari kereta. Di tangannya menjinjit beg plastik yang mengandungi pisang goreng.
Seperti Tiara, Hajar memandang Laila atas bawah. Betullah kata Tiara, Laila nampak lain. Dia sudah jauh berubah. Pakaiannya juga sudah berbeza. Muka pun sudah pandai dicolek dengan warna.
"Assalamualaikum, mak." Laila menghampiri Hajar lalu tunduk mencium tangan emaknya.
"Cepatnya kamu sampai. Mak call, bukannya suruh datang sini terus. Mak cakap bila kamu free, cari la masa datang sini." Lembut suara Hajar, tidak seperti waktu dia menghubungi Laila.
"Abang cakap boleh datang petang ni. Itu yang kami sampai."
"Kata sibuk." Hajar memandang Tuan Mizan yang berdiri di belakang Laila.
"Sibuk. Nasib baik ada Laila yang banyak tolong saya tadi. Jadi bolehlah balik awal sikit hari ni." balas Tuan Mizan.
Dahi Hajar sedikit berkerut tapi dia tidak berani bertanya lanjut. Masih tak percaya yang Laila boleh membuat kerja. Apa sangatlah budak yang lepasan SPM tu boleh buat?
"Ayah dah balik ke, mak?" tanya Laila sekadar mengubah topik perbualan.
"Belum lagi. Kejap lagi dia baliklah tu. Kamu berdua naiklah ke atas dulu. Mak nak habiskan siram pokok bunga ni dulu."
"Baik, mak. Laila naik atas dulu." Laila berlalu masuk ke dalam rumah diikuti oleh Tuan Mizan.
Sudah lama dia tidak menjejakkan kakinya ke rumah itu. Pada hal bukannya jauh sangat pun jarak antara rumah mereka.
"Aku nak mandi dulu," ujar Tuan Mizan.
"Nak Laila ambilkan baju abang?"
"Tak perlu. Baju dalam almari kan? Aku boleh ambil sendiri." Tuan Mizan menghilangkan diri ke dalam bilik tidur Laila.
Laila menapak ke ruang dapur. Matanya melilau memandang sekeliling. Ruang dapur itu kelihatan suram. Satu keluhan dilepaskan lagi. Plastik pisang goreng diletakkan di atas meja.
Teko dan pinggan di atas rak diambilnya. Bolehlah dia buatkan tea o panas untuk dihidangkan bersama pisang goreng buat makan petang.
Timbul perasaan pelik dalam diri Laila bila kelibat Tuan Mizan masih belum kelihatan. Katanya mahu mandi tapi kenapa belum keluar bilik? Tidurkah lakinya itu?
Laila melangkah memasuk biliknya. Matanya memandang susuk tubuh Tuan Mizan yang sedang memunggah pakaian di dalam almari bajunya.
"Laila, carikan aku satu plastik."
"Kecil ke besar?"
"Tak kisah. Tapi jangan kecil sangat."
Terkocoh-kocoh Laila berlalu ke dapur. Kalut dia mencari plastik yang Hajar selalu simpan di dalam laci. Dah kenapa pula tiba-tiba lakinya itu minta plastik?
Laila melangkah laju masuk ke dalam biliknya kembali. "Abang nak buat apa dengan plastik ni?" tanya Laila seraya menyerahkan plastik tersebut kepada Tuan Mizan.
"Aku nak buang semua baju-baju ni. Aku tak suka bini aku pakai baju buruk macam ni." Kedengaran suara Tuan Mizan keras.
Laila menelan air liurnya. Baju buruk? Buruk sangat ke baju yang dia pakai selama ni? Lidah Laila kelu. Hatinya tercuit mendengar kata-kata Tuan Mizan. Terasa dirinya hina sangat. Apa yang buruknya? Semua baju tu masih boleh dipakai.
YOU ARE READING
SUNTI UNTUK TUAN MIZAN (C)
RomanceBacaan Dewasa Laila bukanlah anak kesayangan keluarganya. Kelahirannya tidak dinanti dan diingini. Ibunya mengandungkannya saat kakaknya baru berusia tiga bulan. Kerana ingin memberi perhatian dan kasih sayang yang secukupnya kepada Tiara, Laila ser...