BAB 49

13.8K 530 36
                                    

Sepanjang perjalanan pulang itu Tuan Mizan hanya diam seribu bahasa. Tidak ada sepatah perkataan pun yang keluar dari mulutnya. Wajah lelaki itu beku sehingga sukar untuk Laila menduga apa yang bermain di fikiran suaminya.

Laila cuba menenangkan hatinya sendiri walaupun degup jantungnya semakin laju. Jari jemarinya juga sudah sejuk. Tetapi disabarkan juga sehingga mereka tiba di rumah. Matanya memandang Tuan Mizan yang duduk di atas sofa.

"Abang, kenapa abang diam saja dari tadi? Abang tak suka ke?" Laila memberanikan diri untuk bertanya walaupun dia terlalu takut untuk mendengar jawapan dari Tuan Mizan.

"Bukan macam tu." Pendek balasan Tuan Mizan.

"Abang tak suka anak ni?" tanya Laila lagi. Suaranya sedikit bergetar.

"Aku tak cakap macam tu pun." Tuan Mizan melepaskan keluhan perlahan. Kotak rokok dicapainya lalu sebatang rokok dikeluarkan. Baru dia ingin mencucuh api, niatnya dimatikan. Rokok tersebut dicampakkan ke dalam bekas astray.

"Abang memang tak nak anak ni kan? Dari awal lagi abang macam tak suka je kalau Laila mengandung. Betul kan?" Kelopak mata Laila mula bergenang dengan air mata. Dadanya sesak menunggu jawapan dari Tuan Mizan. Di dalam hatinya tidak henti-henti berdoa agar Tuan Mizan menafikan kata-katanya.

"Laila...."

"Memang betul la abang tak nak anak ni kan? Abang tak suka anak ni. Sebab tu abang selalu marah-marah kalau isu ni timbul." Pandangan Laila kabur dengan air mata. Luluh hatinya. Tuan Mizan langsung tidak menafikan kata-katanya. Dugaan apakah yang bakal dia hadapi lagi selepas ini?

Tuan Mizan melepaskan keluhan lagi sekali. Rambutnya diraup ke belakang kasar.

"Laila tak peduli. Laila nak anak ni." Laila bersuara tegas. "Seumur hidup Laila, Laila tak pernah nak pertahankan diri Laila sendiri walau apa pun yang orang buat pada Laila. Tak pernah walaupun sekali." Air mata mula laju turun membasahi pipi Laila. "Tapi kali ni Laila akan pertahankan anak ni. Walaupun nyawa Laila jadi galang ganti."

"Laila...." Tuan Mizan memanggil nama Laila lembut. Dia bangun menghampiri Laila.

"Jangan dekat!"

"Benda boleh bincang baik-baik kan?" Tuan Mizan cuba mencapai tangan Laila.

"Tak, Laila takkan buang anak ni." Tangan Tuan Mizan ditempis kasar. Laila melangkah beberapa tapak ke belakang. Hatinya remuk beribu. "Laila takkan biarkan sesiapa pun sakitkan anak ni. Laila tetap dengan pendirian Laila, Laila akan pertahankan anak ni. Tak ada sesiapa yang boleh ambil anak ni dari Laila. Ini anak Laila!"

"Laila, dengarlah dulu apa yang aku nak cakap."

"Tak! Laila tak nak dengar kata-kata tu dari mulut abang. Kalau abang nak marah, abang marahlah Laila. Jangan marah anak ni. Dia tak bersalah. Laila yang bersalah. Anak ni tak minta untuk untuk dilahirkan macam ni. Laila yang bersalah sebab mengandung. Abang marahlah Laila, Laila sanggup terima walaupun sakit. Tapi Laila merayu, janganlah abang marah anak ni. Dia tak tahu apa-apa." Laila memegang perutnya yang masih rata. Air mata yang semakin lebat, diseka. Dia perlu kuat untuk pertahankan nyawa baru yang menghuni di dalam rahimnya kini.

"Laila, janganlah macam ni."

"Laila tak nak anak ni lalui apa yang Laila pernah lalui. Laila tak nak anak ni rasa apa yang Laila pernah rasa. Walaupun abang tak nak anak ni, Laila akan jaga anak ni. Laila janji Laila takkan menyusahkan abang." Laila mula terjelopok di atas lantai. Badannya terhenjut-henjut menahan rasa pedih di hati.

Tuan Mizan meluru memeluk tubuh Laila. "Aku minta maaf."

"Kalau abang nak Laila melutut merayu, cium tapak kaki abang pun, Laila sanggup."

"Laila, janganlah macam ni."

"Laila faham abang dah ada anak-anak. Tapi Laila nak minta abang untuk faham Laila juga. Laila perlukan anak ni. Laila dah biasa hidup macam ni. Laila dah biasa hidup untuk tidak menyusahkan semua orang. Laila janji yang anak ni takkan menyusahkan sesiapa pun. Laila janji. Laila cuma minta kali ni saja dengan abang. Tolonglah faham Laila. Laila perlukan anak ni." Suara Laila semakin lirih.

"Ya Laila, aku dengar." Tuan Mizan mengusap rambut Laila.

"Tolonglah jangan nafikan kehadiran anak ni. Rasanya terlalu sakit. Sakit."  Laila menumbuk dadanya berkali-kali. Dia tidak mahu sejarah berulang sekali lagi.

"Aku minta maaf. Aku tak bermaksud nak sakitkan Laila macam ni. Aku minta maaf." Berkali-kali Tuan Mizan mencium kepala Laila. Hatinya turut sebak melihat keadaan isterinya itu. Didakap tubuh itu erat.

"Abang ajar Laila untuk sayangkan abang dan Laila memang sayangkan abang. Sayang sangat. Tapi Laila sayang anak ni juga. Abang adalah lelaki pertama dalam hidup Laila, macam tu juga dengan anak ni.  Anak ni bukti kasih Laila untuk abang."

"Ya, Laila. Aku pun sayangkan Laila."

"Tolonglah jangan seksa Laila macam ni. Laila tak sanggup. Jangan paksa Laila untuk membuat pilihan antara abang dengan anak ni. Dua-dua penting dalam hidup Laila."

"Laila, tak ada mana-mana suami yang tak suka kalau isteri dia mengandung. Tak ada apa yang lebih membahagiakan seseorang suami itu bila dia dapat isteri yang baik dan isterinya pula mengandung, apatah lagi dari benihnya sendiri. Dan aku tak pernah suruh Laila buat pilihan." Tuan Mizan menarik nafasnya dalam-dalam sebelum dia kembali menyambung. "Aku cuma takut, Laila. Dalam otak aku ni macam-macam yang aku fikirkan. Aku ni dah tua. Aku takut kalau aku tak mampu nak jaga anak ni dengan baik. Aku takut kalau anak ni terabai, Laila terabai. Tapi aku lupa, Allah itu sebaik-baik Perancang."

Tuan Mizan meleraikan pelukan. Kedua-dua belah pipi Laila dipegang agar mata mereka bertentang. "Laila adalah anugerah terindah yang aku pernah dapat. Semua yang ada pada Laila, aku terima dan hargai. Laila tak ada cacat celanya. Aku rasa bahagia bila Laila hadir dalam hidup aku. Bersyukur dengan jodoh yang tak diduga. Dan terima kasih juga sebab pertahankan anak ni."

"Laila boleh jaga anak ni?" Laila bertanya dalam sebak.

"Kita akan jaga anak ni sama-sama." Tuan Mizan membetulkan ayat Laila seraya mengukirkan senyuman.

"Abang takkan benci anak ni?"

Tuan Mizan menggelengkan kepalanya. "Mustahil aku boleh benci anak kita.  Kita akan jaga dan besarkan anak ni sama-sama. Dan aku janji takkan buat Laila sedih macam ni lagi."

Laila memejamkan matanya. Air mata semakin laju, air mata kelegaan. Di dalam hatinya tidak berhenti-henti mengucapkan rasa syukur. Tubuh Tuan Mizan dipeluk erat. Dia akan pertahankan keluarga ni sehingga hujung nyawanya.

Harap diorang boleh hidup happy lepas ni 🤧
Dan korang pun boleh tido dengan aman.

Kiranya dah boleh tamat ke citer ni? 😝

SUNTI UNTUK TUAN MIZAN (C)Where stories live. Discover now