BAB 25

18.6K 314 52
                                    

Sarapan Tuan Mizan terganggu bila tiba-tiba saja dia mendapat panggilan telefon. Nasi lemak yang masih tinggal separuh tak sempat dihabiskan. Tergesa-gesa dia membasuh tangan dan ingin berlalu pergi.

"Sikit sangat Mizan makan." Tegur Salem di meja makan.

"Tak sempat nak makan. Tiba-tiba ada hal pula." Terang Tuan Mizan pendek.

"Abang habiskanlah kopi ni dahulu." Tegur Laila.

Tanpa sepatah kata, Tuan Mizan menghirup kopi O panas sehingga habis sebelum terkocoh-kocoh ingin keluar.

"Betul abang tak nak Laila bungkus nasi untuk abang?" Tanya Laila seraya menghantar Tuan Mizan ke hadapan rumah.

"Tak perlu. Nanti aku makan dengan budak-budak. Aku pergi dulu." Ujar Tuan Mizan pendek bersama satu kucupan di ubun-ubun Laila.

Laila memandang sehingga kelibat kereta Tuan Mizan hilang dari padangan matanya. Entah apalah yang dikejar-kerjarkan oleh Tuan Mizan. Mungkin urusan penting.

*******

Usai mengemas dapur, Laila menuju ke bilik tidurnya ingin mengutip pakaian kotor untuk dibasuh.  Tetapi dia sedikit terkejut melihat kelibat yang berada di dalam biliknya.

"Akak buat apa dalam bilik Laila ni?" Tanya Laila pelik. Jarang dia lihat kakaknya di situ.

Tiara memandang ke arah Laila sekilas sebelum tangannya mencapai kotak baldu di dalam laci meja solek Laila. "Aku saja tengok-tengok bilik ni." Tanpa rasa bersalah, dia membuka kotak itu lalu dibelek-belek isi tersebut.

Perlahan-lahan Laila menghampiri Tiara.

"Besar betul gelang ni kan? Dulu aku tak sempat nak tengok betul-betul. Agak-agak berapa ribu ni? Ada lapan ribu?" Tanya Tiara sambil menggayakan gelang emas itu di lengannya.

"Err... Laila tak tahu. Kenapa akak tanya?" Laila mula rasa tidak sedap hati.

Tiara memandang wajah Laila yang sedikit berubah. "Kau jangan nak gelabah sangatlah. Bukannya aku nak jual gelang ni. Aku saja nak tengok-tengok." Dia ketawa kecil. "Sepatutnya gelang ni jadi milik aku. Tapi dah jadi rezeki kau. Hmmm.... cantik la pula. Aku nak pinjam, boleh?"

"Tapi kan akak dah dapat gelang langkah bendul hari tu."

"Kau jangan nak berkira sangat dengan aku. Kalau bukan sebab aku, kau takkan dapatlah gelang ni." Suara Tiara sedikit keras. "Lagi pun aku cuma nak pinjam, bukannya nak buat harta sendiri."

Laila mengertap bibir. Bukan dia tak nak bagi tapi kalau nanti Tuan Mizan tanya, apa dia nak jawab?

"Kau ni baru kahwin dah berlagak." Tiara menghempaskan gelang tersebut ke dalam kotaknya. "Kau dah lupa ke selama ni kau selalu ambil barang-barang aku? Baju? kasut? handbag? Aku tak ada pun nak berkira dengan kau. Ini aku baru minta sikit, kau dah berbunyi."

Laila tak mampu membalas kata-kata Tiara walaupun di dalam hati dia memberontak ingin menjawab. Semua barang yang dia dapat dari Tiara selama ini adalah barang-barang yang Tiara tidak mahu lagi. Bukannya barang-barang baru. Dia hanya mampu memiliki sesuatu yang Tiara tidak mahu lagi, termasuklah Tuan Mizan.

"Kau ada duit? Aku nak duit sikit. Takkanlah laki kau tak bagi duit kan?" Tiara mula menyelongkar beg tangan Laila. "Kau kena ingat, kalau bukan sebab aku, kau takkan mampu nak merasa senang macam ni. Sepatutnya duit-duit laki kau tu adalah duit aku, tapi well.... aku kan kakak yang baik." 

Berkerut dahi Tiara melihat dua keping lima puluh ringgit di dalam tangannya. "Seratus sahaja? Ish kau ni pun. Lain kali mintalah lebih sikit. Kalau bukan kau yang habiskan duit dia, siapa lagi yang nak habiskan duit dia yang banyak tu."

Laila sendiri tidak ingat dia ada duit di dalam beg. Rasanya duit itu pun adalah duit yang Tuan Mizan beri beberapa hari lepas. Dia tidak pernah peduli dan tak pernah kisah berapa pun yang Tuan Mizan berikan. Apatah lagi mahu meminta.

"Terima kasih untuk duit ni. Aku blah dulu." Ujar Tiara bersama senyuman sinis. "Ops, jangan lupa. Jaga laki kau baik-baik. Nanti dia kahwin lagi satu, kau yang rugi." Tiara berlalu keluar dari bilik tidur Laila.

Akhirnya air mata Laila berjurai jatuh. Dia sedar apa yang Tiara cakap semuanya adalah benar. Kalau bukan sebab Tiara, Tuan Mizan takkan pandang dia. Dan dia takkan menjadi isteri untuk lelaki yang sebaik Tuan Mizan. Tak ada siapa yang mahu perempuan kolot sepertinya. Lainlah Tiara, ada rupa dan pelajaran.

Dengan hati yang sayu, Laila menyimpan kembali gelang emas itu di dalam kotak. Gelang itu tidak pernah sekali pun dia pakai kerana dia tahu gelang itu bukan untuk dirinya dari awal lagi. Jika Tiara inginkan gelang itu, dia rela serahkan. Kerana dia tahu dia tidak layak untuk memakainya.

Cincin belah rotan di jari manisnya dibelek. Hanya itu satu-satunya barang kemas yang dipakainya sebagai tanda dia adalah isteri orang. Tidak pernah terbayang untuk dia hidup dikelilingi kemewahan apatah lagi barang kemas seluruh badan.

Laila mengertap bibir kuat. Sampai bila dia boleh hidup dalam dunia fantasi ini. Bila-bila masa saja Tuan Mizan boleh mencari isteri lain yang jauh lebih bagus darinya. Setahun? 4 bulan? Sebulan? Dia tidak tahu. Biarlah dia menikmati bahagia ini walaupun untuk seketika.

Laila cepat-cepat menyeka air matanya bila pintu biliknya sekali lagi dibuka. Apa lagi yang Tiara mahu darinya? Tidak cukup lagilah kakaknya itu ingin menyakitkan hatinya?

Kemunculan manusia itu di muka pintu menambah sesak di dada. Kolam air mata yang cuba dibendung hanya menunggu masa untuk pecah. Pandangannya kabur saat susuk tubuh itu mula menghampirinya. Di dalam hati dia berdoa agar Allah berikannya kekuatan. Dia tidak mahu menangis dan dia tidak mahu menunjukkan dirinya yang lemah.

Tanpa sepatah kata, tubuhnya dipeluk erat. Segala benteng kekuatan hancur bersama juraian air mata. Semakin cuba dikawal, semakin kuat esak tangisnya.


Entah apa yang sis mengarut kali ni pun tak tahulah.

so enjoy jela ye. 

SUNTI UNTUK TUAN MIZAN (C)Where stories live. Discover now