BAB 48

9.6K 529 30
                                    

Adakah dia mengandung? Laila termenung. Cuba diingat tarikh periodnya bulan lepas. Memang jadual kitaran haidnya tidak menentu tapi selalunya tak lari lebih dari seminggu. Tapi rasanya kali ni haidnya memang sudah lewat sangat. Kebetulan ke? Atau pun betul? Tapi dia belum ada rasa loya atau ingin muntah. Tapi macam mana kalau dia betul mengandung?

"Laila buat apa seorang diri kat dapur ni?" tegur Hajar.

Bahu Laila tersentak. "Laila minum air kosong. Tekak terasa nak minum air sejuk."

"Malam ni Laila makan dekat sini? Tidur sini ke?" Hajar menarik kerusi meja makan lalu dia duduk.

"Laila tak pasti, mak. Nanti nak kena tanya dengan abang dulu." Seingat Laila, tak ada pula Tuan Mizan cakap ingin bermalam di sini hari ni.

"Marilah duduk dekat sini dulu. Borak dengan mak.  Dah lama sangat kita tak berborak."

Laila tersenyum janggal lalu duduk bertentangan dengan Hajar. Bukan dia kekok untuk berbual dengan Hajar tapi dia risau jika Hajar mahukan sesuatu darinya.

"Betul ke kamu selalu ikut laki kamu pergi kerja sekarang ni?"

"Betullah. Kenapa, mak?"

"Tak adalah. Saja je mak nak tahu. Kamu buat kerja apa? Ikut masuk ladang sawit kotor-kotor tu ke?"

Sekali lagi Laila tersenyum kelat. "A'a. Ikut masuk ladang. Tengok budak-budak buat kerja. Lagi pun sekarang ni abang sibuk dengan penanaman pokok pisang. Banyak benda nak kena set up."

"Setiap hari?"

Laila menganggukkan kepalanya.

"Dia ada bayar gaji Laila ke?"

Zapp.. Laila tersentap. Itu sebenarnya niat Hajar untuk berborak dengannya. "Laila tak minta gaji pun. Laila saja je nak ikut abang."

"Eh, mana boleh macam tu. Tak kisah la isteri ke anak ke, kalau dah berkerja, kenalah bayar gaji."

Laila meneguk air sejuk bagi menyejukkan hati. "Laila bukannya buat kerja betul-betul pun. Hanya tolong sikit-sikit je. Lagi pun dari tak buat apa dekat rumah tu, apa salahnya Laila ikut abang."

"Kalau Laila bosan duduk rumah, baik datang sini."

Laila tersenyum kelat. Aduhai kenapalah susah sangat hatinya ingin bersangka baik? "Nanti Laila tanya abang." Itu saja ayat yang dia boleh berikan buat masa itu kerana dia tidak ingin berjanji apa-apa pun dengan Hajar.

"Lepas ni, Laila cubalah tanya Mizan tu. Takkanlah tak ada gaji langsung. Tak minta banyak pun. Kalau dapat seribu pun dah okey sangat dari tak dapat apa-apa."

Sumpah demi Allah, Laila tak pernah terfikir untuk minta gaji dari Tuan Mizan. Nasib baiklah Tuan Mizan tidak minta ganti rugi keretanya yang calar hari tu. Dan apa yang Tuan Mizan berikan sudah lebih dari cukup. Ah, Hajar tak tahu semua itu.

"Kenapa Laila diam? Salah ke apa yang mak cakap?" Hajar tidak puas hati dengan reaksi Laila.

"Betullah tu apa yang mak cakap. Nanti Laila cuba tanya dengan abang." Apa lagi ayat yang dia boleh berikan agar Hajar tidak bercakap mengenai topik ini lagi.

"Tapi duit nafkah, dia masih bagi kan?"

Laila cuba mengawal riak mukanya. "Bagi." Rimas dengan soalan Hajar, dia mengubah topik. "Kakak sekarang pun makin sibuk ke?"

"Tiara tu, memang sibuk dengan study dia." Hajar melepaskan keluhan. "Nak harap tolong mak buat kerja kat rumah ni? Hhmm... Berangan jelah."

Bukankah dulu Hajar juga yang melarang Tiara melakukan kerja rumah? Dia juga yang mahu Tiara focus pada pelajaran. Kenapa sekarang mahu merungut?

SUNTI UNTUK TUAN MIZAN (C)Where stories live. Discover now