Puan Sakinah duduk di sisi suaminya Encik Muhammad Halim usai menuangkan minuman kepada tetamu dan suaminya. Dia sempat tersenyum kepada Taufiq Wajdi yang duduk bertentangan dengannya. Sepinggan keropok lekor berserta sos terhidang di sebelah teko yang berisi kopi panas.
"Maaflah lambat Taufiq, Mak Cik gorengkan keropok lekor sikit ni. Makan ye." Puan Sakinah berbasa-basi.
"Tak apa Cikgu, saya tak rushing. Maaflah datang tiba-tiba je." Taufiq turut sama berbasa-basi. Minggu lepas dia menerima emel beserta alamat rumah Sarah yang dikirimkan sendiri oleh gadis itu kepadanya. Gadis itu jugalah yang memberi cadangan tarikh bertandangnya Taufiq ke Shah Alam, Selangor ini. Nombor kontak ayah dan ibu gadis itu turut dikepilkan sekali.
"Eh tak adalah, Sarah dah bagitahu kamu mungkin akan datang hari ini. Mak cik pun tak siapkan apa-apa. Cuma keropok lekor ni je yang ada. Lagipun tak perlulah kamu bercikgu-cikgi dengan Mak Cik. Karang Mak Cik panggil kamu Ustaz atau Doktor pula." Puan Siti Sakinah membalas mesra. Dia sudah mengenali anak muda itu. Manakan dia lupa ustaz muda yang pernah menjadi guru interim di sekolah tempat dia bertugas dahulu sebelum berpindah ke Selangor. Suaminya yang berwajah tegas itu dia senggol sedikit.
"Rumah kami ni biasa-biasa je Taufiq. Rumah teres memang sempit sikit. Maklumlah Pak Cik pun kerja attendant hospital je. Harap kamu selesa." Encik Halim berkata-kata akhirnya. Taufiq hanya tersenyum mesra. Dia tidak langsung meneliti segenap ruang dan inci rumah pasangan tersebut. Dia menjaga adabnya kerana tidak mahu tuan rumah berasa kurang selesa. Taufiq berpendapat rumah ini elok sahaja. Taufiq gemarkan kesederhanaan yang diterapkan di dalam rumah ini.
"Eh, apa pula Pak Cik. Pak Cik sudi bawa saya masuk ni saya bersyukur sangat. Takut kena hambat keluar je tadi." Taufiq berseloroh terhadap Encik Halim. Lelaki itu kelihatan garang sedikit daripada penelitian terhadap riak wajahnya. Mungkin kening yang tebal dan bersambung itu punca utama.
"Boleh Pak Cik tahu, macam mana kamu kenal dengan Sarah? Setahu Pak Cik, Sarah tak ada mana-mana kawan lelaki. Terkejut juga Pak Cik tiba-tiba saja pensyarahnya datang ke rumah. Hajat besar pula tu." Encik Halim menamatkan basabasi mereka. Mereka bukan ada sepanjang minggu untuk berbual mesra.
"Sejujurnya, saya bukanlah kawan rapat Sarah. Pertama kali saya jumpa Sarah adalah di SEMSAS waktu saya interim. 2017 seingat saya. Sarah bukan pelajar di situ, saya tahu. Kami berjumpa waktu Cikgu. Maaf, Mak Cik Sakinah bercakap dengan saya di bilik guru." Puan Sakinah kelihatan mengangguk. Waktu itu Sarah baru berusia 16 tahun. Sudah lima tahun sejak pertemuan tersebut.
"Kamu minat dengan Sarah sejak itu?" Encik Halim menyoal lagi. Masakan lelaki ini berkenan dengan Sarah hanya selepas sekali pertemuan mereka iaitu pada usia Sarah 16 tahun?
Taufiq meneguk sedikit kopi yang terhidang buatnya bagi menahan gemuruh. Bagaimana hendak dia terangkan ye?
"Bukan begitu. Bagaimana ya? Hmm... Saya sebenarnya tak pernah rasa apa-apa pada mana-mana wanita sampailah waktu saya bertemu dengan anak Pak Cik. Waktu itu, ada satu perasaan yang demi Allah saya tak tahu hendak ungkap bagaimana. Saya cuba abaikan kerana Sarah terlalu muda bagi saya. Sembilan tahun bukan jarak masa yang singkat."
"Namun begitu, Sarah kerap kali muncul dalam fikiran saya sepanjang saya menyambungkan pelajaran di peringkat Master dan PhD. Saya tak layankan sebab saya tahu ini semua permainan syaitan sampailah saya dipertemukan dengan Sarah secara tidak sengaja tahun lepas."
Waktu itu, dia berlanggaran dengan sahabat Sarah yang tiada dia kenal siapa di Centre for Foundation Studies, Gambang Pahang secara tidak sengaja. Sempat dia meneliti gerangan yang hanya menunduk di sebelah anak muda yang melanggarnya sedang gadis itu berkali-kali memohon maaf kepada Taufiq. Taufiq kenal wajah itu namun dia hendak mengabaikan sahaja dengan anggapan mungkin mereka mempunyai wajah yang sama. Namun begitu, anggapannya meleset apabila nama Sarah dipanggil oleh seseorang yang menghampiri mereka. Setelah dia risik, akhirnya dia mendapat tahu bahawa Sarah mengambil jurusan Perubatan dan akan melanjutkan pelajarannya di Kampus Kuantan tempat Taufiq bekerja. Taufiq hanya mampu berharap agar Sarah dapat dipertemukan dengannya di Kuantan nanti. Siapa sangka keputusannya untuk singgah ke Gambang bertemu rakan lamanya yang juga merupakan pensyarah senior di kampus itu membawa kepada keajaiban.
YOU ARE READING
TAKDIR | NOVEL [C]
Romance"I am writing this letter for Sr. Siti Sarah to be my spouse until the end of my life" - DR. MUHAMMAD TAUFIQ WAJDI. "Seandainya nanti, Dr. didedahkan dengan versi saya yang saya sendiri ralat memilikinya. Saya sudi dilepaskan dengan cara baik." -SIT...