BAB 22 - BHG 1

766 43 0
                                        

Sudah lebih setahun sejak Sarah bertugas sebagai house officer di Hospital Orang Asli Gombak. Jujur Sarah katakan selama tempoh sepanjang setahun bertugas di tiga jabatan berasingan di hospital ini, pelbagai pengorbanan dan jerih lelahnya terpaksa dia lalui.

Namun begitu dia tahu, ini jihadnya. Dia bukan seorang pejuang di medan perang sebagai penjaga keamanan negara, dia bukan pejuang di dalam bilik darjah mahupun dewan kuliah mendidik anak bangsa seperti suaminya tetapi bangunan yang didominasikan dengan warna putih menghampiri warna krim ini adalah medan perjuangannya.

Jam sudah menunjukkan pukul empat pagi. Sarah meregangkan urat-urat sarafnya yang terasa lenguh menghadap komputer riba sejak tadi. Dia masih mempunyai satu laporan kesihatan pesakit yang perlu dia kemas kini untuk diserahkan kepada Dr. Khalid esok.

Pintu bilik kerja yang menempatkan empat meja house officer terkuak dari luar.

"Sarah, you tak siap lagi ke? Berapa jam dah I tengok you menghadap laptop tu? Sejam lebih dah shift you habis kan?" Cindy menegur Sarah. Susuk itu membawa secawan kopi yang barangkali dibelinya di mesin automatik berhampiran wad kardiotoraks. Baru dua minggu dia melapor diri di jabatan yang menempatkan pesakit-pesakit yang mengalami masalah jantung dan paru-paru ini. Dia masih bersama Cindy. Perbezaannya adalah, penyelia mereka; Dr. Khalid merupakan ketua di jabatan ini menjadikan Sarah agak gementar. Apatah lagi, Sarah berniat hendak menyambung latihannya nanti dalam bidang yang sama untuk menjadi pakar bedah kardiotoraks.

"Saya siapkan sikit laporan Dr. Khalid bagi minggu lepas. Baru siap lagi dua. Ada lagi satu." Sarah berhenti menaip seketika. Dia membuang pandang ke arah Cindy yang duduk di meja hadapannya, mereka hanya dipisahkan oleh jarak. Sarah dapat melihat dengan jelas perlakuan Cindy yang sedang menyisip kopi sambil menelaah senaskhah buku yang entah apa isinya pun tiada Sarah tahu.

"You balik je la dulu. Esokkan Dr. Khalid nak report tu before pukul 12 tengah hari. Kesian I tengok you. You baru habis assist Dr. Farhan kan pukul tiga setengah tadi?" Cindy meletakkan kopinya yang masih panas itu di atas alas kopi. Cermin mata berbingkai hitam yang dipakainya dikemaskan. Cindy hanya memakai cermin matanya di saat dia menatap komputer riba ataupun membaca buku.

"Sekejap lagi saya balik. Jangan risau. Terima kasih Cindy." Sarah menghadiahkan senyum kepada Cindy. Jujur dia memang penat. Sejak jam enam petang semalam, kerjanya semakin banyak sehingga tidak habis-habis. Dia perlu melakukan round di sekitar wad untuk memeriksa keadaan pesakit-pesakit yang ditugaskan kepadanya. Sekiranya ada kes yang memerlukan pembedahan, dia perlu membantu manamana medical officer yang inginkan khidmatnya. Manakan tidak, hanya dia dan Cindy sahaja house officer yang berbaki. House officer sebelum mereka sudah pun ditugaskan ke jabatan masing-masing kerana mereka telah menamatkan tempoh dua tahun sebagai house officer.

Selang beberapa minit, Sarah menoktahkan perkataan terakhir di atas skrin yang memaparkan laporan pesakit. Lehernya dia regang-regangkan sedikit. Komputer riba itu dimatikan dan dikemas.

"Cindy, saya balik dulu ye?" Sarah meminta diri sambil menggalas beg berisi komputer ribanya kerana dia berhasrat menyiapkan baki laporan di rumah. Dia melambai ke arah Cindy sebelum bergerak ke ruang rehat. Barangan peribadi dan baju yang dipakainya sepanjang dua hari di sini perlu dia ambil untuk dikemaskan di rumah. Esok petang dia bakal kembali lagi ke sini memandangkan seminggu ini dia hanya bertugas untuk night shift sahaja.

"Hati-hati drive balik." Sarah hanya mengangguk sebelum keluar. Dia mendail nombor telefon suaminya. Sarah berasa sangat letih sehingga dia tidak larat hendak memandu. Sudah dua hari dia berkampung di hospital bagi menyelesaikan segala tugas yang maha banyak.

Panggilannya tidak berjawab. Sarah mendail lagi dengan penuh sabar. Jarang Taufiq tidak mengendahkan panggilannya. Adakah lelaki itu masih tidur?

Sarah bergerak menuju ke lobi hospital. Dia mengeluh perlahan apabila panggilan keduanya pun tergantung sepi. Nampaknya dia perlu gagahkan diri memandu sendiri ke rumah.

TAKDIR | NOVEL [C]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang