Sarah membuka matanya perlahan. Tekaknya terasa perit dengan tiub pernafasan yang dipasangkan merentasi tekaknya. Cahaya putih menerobos masuk ke dalam matanya dan memanah-manah anak matanya mewujudkan keperitan kepada pancaindera lihatnya.
Sarah menggerakkan sedikit jari-jemarinya. Lelah. Sarah berasa seakan dia baru sahaja menghabiskan maraton yang panjang. Sedaya upaya dia cuba menggerakkan jari-jemarinya yang sedang berada di dalam pegangan seseorang. Dahi Sarah berkerut-kerut dek keperitan kepalanya yang berdenyut-denyut.
Pergerakan Sarah membangunkan Taufiq yang terlelap di sisi katil dengan kepalanya ditanggungkan di atas tangan kiri. Tangan kanan lelaki itu setia berada di atas katil menggenggam tangan kanan Sarah.
"Humaira?" Lelaki itu bingkas berdiri. Dia mengucap syukur berkali-kali apabila matanya bertentangan dengan anak mata Sarah. Sarah walau bagaimanapun masih gagal mengerti situasi. Apa yang terjadi?
Taufiq menekan butang berdekatan kepala katil tempat Sarah berbaring. Anak mata Sarah yang sudah mula bertoleransi terhadap cahaya yang tadinya menyakitkan kini meneliti segenap ruang. Dia tahu bilik ini. Ini adalah sebuah wad VIP yang terdapat di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi.
Seorang doktor bertanda nama Farahin mendekati Sarah. Taufiq menjauhi katil Sarah untuk memberi ruang kepada Dr. Farahin merawat isterinya. Beberapa pemeriksaan dilakukan oleh Dr. Farahin termasuklah menyuluh mata Sarah dengan lampu suluh kecil untuk memerhati tindak balas anak mata Sarah terhadap cahaya.
"Alhamdulillah, Dr. Sarah akhirnya sedar. Saya akan berikan rawatan susulan memandangkan Dr. Sarah masih dalam pantang. Saya kira dalam dua minggu baru Dr. Sarah dibenarkan berpantang di rumah." Sarah terpempan. Pantang? Dahinya berkerut lagi. Sejak bila dia mengandung dan melahirkan?
"Terima kasih Dr." Dr. Farahin tersenyum kepada Taufiq sebelum dia berpamitan bersama seorang jururawat yang setia di sisi doktor separuh baya itu. Sarah kenal doktor itu. Dr. Farahin Mikayla, doktor senior di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi yang banyak membantu Sarah sepanjang dia menjalani housemanship di jabatan tersebut dahulu.
Pasangan itu kini ditinggalkan berdua.
"Alhamdulillah, akhirnya Humaira sedar juga. Demi Allah Abang risaukan Humaira." Kepala Sarah yang berbalut selendang ironless berwarna coklat gelap, Taufiq usap perlahan. Sejak tadi lelaki itu tidak henti-henti mengucapkan hamdallah.
"Abang tahu banyak persoalan dalam minda Humaira. Tak apa. Humaira rehat dulu. Abang nak solat sunat dekat bawah sekejap." Kucupan hangat singgah di dahi licin Sarah sebelum Taufiq berpamitan untuk turun ke surau hospital.
Jujur, Sarah dihurung berjuta-juta soalan yang bergentayangan dalam mindanya. Apatah lagi apabila dia mendengar penerangan Dr. Farahin tadi. Kenapa dia dirawat di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi? Mengapa dia dipasangkan tiub pernafasan? Bagaimana dia boleh berakhir di atas katil hospital di wad VIP jabatan ini? Akhir sekali, apa maksud kepada istilah berpantang yang digunakan oleh Dr. Farahin tadi?
Kepala Sarah berdenyut hebat. Perlahan-lahan matanya memberat. Dia perlu berehat.
-
TAUFIQ berlama-lama dalam sujud terakhirnya. Air matanya yang turun berjejeran dia biarkan. Surau hospital hanya berpenghunikan dia memandangkan jam menunjukkan pukul 3.50 pagi. Taufiq menamatkan solat sunat mutlaknya dengan tertib. Usai melaksanakan solat sunat itu, dia sujud syukur pula.
Taufiq masih dalam posisi duduk tahiyat akhir. Tangannya diangkat menghala ke langit untuk memanjatkan doa.
"Ya Allah, terima kasih. Terima kasih atas segala nikmat dan kurniaan Engkau. Terima kasih kerana mengembalikan Siti Sarah ke sisiku selepas tiga hari dia koma."
YOU ARE READING
TAKDIR | NOVEL [C]
Romance"I am writing this letter for Sr. Siti Sarah to be my spouse until the end of my life" - DR. MUHAMMAD TAUFIQ WAJDI. "Seandainya nanti, Dr. didedahkan dengan versi saya yang saya sendiri ralat memilikinya. Saya sudi dilepaskan dengan cara baik." -SIT...