Sarah menyalami tangan kedua ibu bapanya. Terik mentari tidak menghalang Puan Sakinah dan Encik Halim menghantar anak dan menantu mereka ke kereta.
"Kami pergi dulu, Ibu, Ayah. Jaga diri ya?" Taufiq menitipkan pesan seusai tangannya dan Encik Halim tidak lagi bersentuhan. Dia kemudian menyalami Puan Sakinah. Sarah berdiri di sisi ibunya sambil memeluk sisi kiri Puan Sakinah.
"Baik-baik memandunya. Kalau penat sangat berhenti mana-mana. Kalau takut sampai lambat, ganti dengan Sarah. Sarah ni pandai je bawa kereta cuma lane kiri la nanti." Encik Halim masih sempat berseloroh. Taufiq hanya ketawa. Mengerti sangat dengan ayat terakhir Encik Halim.
"Sarah, kamu jangan tidur saja kerjanya. Kesian suami kamu nanti drive sorang-sorang bosan." Puan Sakinah pula menitipkan pesan sambil menepuk bahu anak daranya.
"Kalau dia tidur tahulah saya nak mencubit budak bertuah ni Ibu." Sarah mencebik sedikit di balik purdah hitamnya. Amboi, tukang back up dah letak jawatan lepas seminggu?
"Nanti dah sampai sana telefon tau. Ibu kamu ni bukan boleh percaya. Karang dia buat report polis sebab korang tak bagitahu dah sampai." Encik Halim mengekek ketawa. Taufiq hanya tersenyum melihat Puan Sakinah mencubit sedikit lengan Encik Halim. Keluarga ini meriah dengan usikan walaupun anggotanya tidak ramai.
"Dah. Apa menempel dekat Ibu ni Sarah. Pergi ikut suami sana. Perasan macam budak-budak." Sarah ditolak perlahan oleh Puan Sakinah. Sarah mencebik geram. Tak nak balik Kuantan.
Taufiq sudah membuka pintu penumpang mengajak Sarah untuk masuk. Sarah masuk dan membiarkan pintu ditutup oleh Taufiq. Begitulah Taufiq selalunya. Kadangkala puas Sarah menegah dia daripada membukakan pintu untuknya setiap kali mereka mahu menaiki kereta ke mana-mana. Pensyarah muda itu mana pernah makan saman.
'Kereta saya, rules saya Humaira.' Dr. Taufiq tunggu Sarah beli kereta nanti. Sarah minta Dr. Taufiq masuk lalu sunroof baru padan muka.
Taufiq pula masuk ke perut kereta Porsche Cayenne putih miliknya. Enjin dia hidupkan. Sarah menurunkan tingkap pintu kereta untuk melambai ke arah kedua ibu bapanya. Hanya untuk beberapa ketika sebelum dinaikkan kembali.
Kenderaan milik Taufiq mula bergerak selepas Taufiq membacakan doa menaiki kenderaan untuknya dan Sarah.
"Lusa Humaira daftar jam berapa?" Taufiq memandang Sarah sekejap. Sarah tersenyum. Humaira. Semakin keraplah Sarah mendengar nama itu memandangkan selepas ini mereka banyak menghabiskan masa berdua.
"Kalau tak silap, mula daftar pukul 9.00 pagi. Sarah rancang nak datang pukul 11.00 pagi macam tu. Tunggu Khadijah dengan Zahra. Kami nak cop bilik sama-sama." Sarah memberikan butiran penuh pendaftarannya dua hari akan datang. Dia tidak suka memaklumkan apa-apa perkara di waktu-waktu akhir. Sarah anti last-minute-thing.
"Dr. okay ke dengan waktu tu? Kalau Dr ada kerja lain saya boleh je naik Maxim atau Grab masuk kampus." Sarah menggigit bibir. Seboleh-bolehnya dia tak mahu menyusahkan Taufiq. Pasti banyak perkara yang lelaki itu perlu uruskan berkaitan pemindahannya ke Gombak, Selangor.
"Humaira, saya kan tengah cuti lagi. Saya boleh je ikut manamana." Taufiq membalas dengan senyuman.
"Lagi satu Humaira, saya tak suka awak anggap awak menyusahkan saya. Saya suami awak tau. Bermula saja nama awak meniti di bibir saya sewaktu akad, saya galas tanggungjawab sepenuhnya ke atas awak. Sekiranya bukan awak yang susahkan saya, siapa lagi yang nak menyusahkan saya?" Taufiq memujuk Sarah. Dia dapat membaca hati Sarah yang setelus kaca itu. Masakan tidak, sepanjang mereka di Selangor, banyak kali Sarah mengelak meminta bantuan Taufiq atas alasan tidak mahu menyusahkan Taufiq.
Gelaran suami bukanlah gelaran yang membolehkan seseorang lelaki itu berlagak sebagai raja dalam sebuah rumah tangga. Isteri itu daripada tulang rusuk, letaknya dekat dengan jantung dan menjadi penguat bagi suami. Bukannya daripada tulang punggung untuk menampung. Bukan juga dari falanks jemari kaki untuk diinjak. Isteri itu letaknya di sisi, hadirnya sebagai penyeri hidup dan ibu kepada zuriat yang bakal lahir. Isteri bukannya orang gaji yang disuruh ke sana ke mari melakukan segala pekerjaan sambil si suami bermalas-malasan atas alasan bayaran mas kahwin dan hantaran yang mahal.

ANDA SEDANG MEMBACA
TAKDIR | NOVEL [C]
Romantik"I am writing this letter for Sr. Siti Sarah to be my spouse until the end of my life" - DR. MUHAMMAD TAUFIQ WAJDI. "Seandainya nanti, Dr. didedahkan dengan versi saya yang saya sendiri ralat memilikinya. Saya sudi dilepaskan dengan cara baik." -SIT...