Plot twist di sini. Maaflah kalau format lari sbb saya copy dpd pdf huhu
Hari ini, rumah banglo berkembar tersebut sedikit meriah. Manakan tidak, kebetulan hari tersebut adalah hari cuti umum. Taufiq dan Sarah kedua-duanya mendapat pelepasan daripada kerja masing-masing. Masyitah pula tetap bekerja hari itu. Dia bekerja bagi menggantikan satu hari yang terpaksa dibatalkan kerjanya angkara demam yang tiba-tiba melanda dirinya. Namun begitu, kali ini, Ayden dibawa sekali. Itupun atas saranan Sarah dan disokong oleh Taufiq. Katanya daripada dihantar ke pusat asuhan, ada baiknya dibiarkan berada di rumah mereka berdua. Jelas mereka berdua, tak adalah Masyitah risaukan Ayden dan Ayden pula dapat luangkan masa dengan ibunya.
Masyitah hanya menurut.
Makanan tengah hari disiapkan tanpa banyak bunyi. Sepanjang Masyitah berada di dapur, Ayden meluangkan masa bersama Taufiq. Pelbagai permainan dimainkan oleh mereka berdua. Sesekali gelak tawa mereka berdua memecah keheningan waktu menjelang pukul dua belas tengah hari itu. Sarah mendekati Masyitah yang sedang menghidangkan makanan.
"Mesti best kan?" Masyitah sedikit terkejut namun dia cuba mengawal riaknya. Senyum manis dia koyakkan untuk majikannya yang kini mengambil pinggan berisi ikan siakap masak stim dari tangannya.
"Mesti best kalau dapat masak sama-sama macam ni. Kan best kalau setiap hari Masyitah dapat tolong Abang Taufiq pastikan dia tak tertinggal bekal. Kalau awak jadi isteri kedua Abang Taufiq, tak adalah Akak selalu risau dia lupa nak bawa bekal. Dia tu bukan boleh percaya. Banyak kali masa tarikh awak tak kerja, Akak dah sediakan makanan bekal dan gerak terus ke hospital; tup-tup Abang Taufiq lupa nak bawa ke office." Masyitah berjalan di sisi Sarah sambil tangannya menatang dulang berisi minuman dan gelas. Entah kenapa dia jadi berdebar mendengar bibit perbualan Sarah.
"Tak adalah Akak. Saya buat kerja je. Apa yang Akak pesan, saya cuba tunaikan sebaiknya." Masyitah menyusun kata sebaiknya.
"Kalau Akak lamar awak untuk Abang Taufiq, awak nak tak?" Kali ini Masyitah diam. Dia tidak terus menjawab. Sepi dibiarkan merayapi suasana untuk ke sekian kalinya.
Masyitah mengetap bibir. Sarah duduk di kerusi meja makan bersebelahan dengan Masyitah yang masih berdiri sebaik dulang dilabuhkan di atas meja makan.
Masyitah mengerling ke arah anak bujangnya yang elok didudukkan di atas riba Taufiq. Tangan kanan lelaki itu mengelus lembut kepala Ayden sambil tangan kirinya meneliti sesuatu pada paparan skrin telefon bimbitnya. Hati Masyitah sedikit tersentuh melihat layanan baik Taufiq kepada Ayden. Sejak beberapa bulan dia bekerja di sini, seringkali juga lelaki itu meminta izin untuk membawa Ayden keluar berjalan-jalan. Pasang matanya terpujuk bahawa mereka berdua kelihatan sangat serasi seperti anak dan ayah.
"Akak beri saya masa boleh?" Senyuman lebar terkoyak pada bibir Sarah. Bahu Masyitah disentuh lembut.
"Boleh..." Anak mata dua wanita itu saling bertaut. Membiarkan aksara sunyi saling bersenandung menyampaikan rasa antara dua manusia.
"Ibu!" Perbualan mereka dipatahkan kehadiran Ayden yang tiba-tiba memeluk kaki Masyitah. Taufiq datang lewat sedikit berbanding Ayden. Lelaki itu berdiri tidak jauh dari dua orang wanita itu sebelum mengajak setiap dari mereka untuk duduk dan makan tengah hari bersama-sama.
Usai makan tengah hari, mereka semua bergerak ke dapur untuk sama-sama mengemas dapur. Satu lagi hal yang mengagumkan tentang pasangan ini, walaupun tugas-tugas mengemas segala ruang adalah tugas hakiki Masyitah Haura sebagai seorang housekeeper, perihal dapur seringkali menjadi pengecualian. Selepas makan, setiap dari mereka akan melakukan kerja-kerja yang telah terbahagi secara langsung. Apabila ditanya kepada Sarah, wanita itu hanya menjawab, aktiviti mengemas selepas masak dan makan adalah satu praktikal yang baik untuk membiasakan seseorang dalam memelihara kebersihan diri dan tempat. Masyitah hanya menurut.
YOU ARE READING
TAKDIR | NOVEL [C]
Romance"I am writing this letter for Sr. Siti Sarah to be my spouse until the end of my life" - DR. MUHAMMAD TAUFIQ WAJDI. "Seandainya nanti, Dr. didedahkan dengan versi saya yang saya sendiri ralat memilikinya. Saya sudi dilepaskan dengan cara baik." -SIT...