BAB 10

1.2K 68 2
                                        

"Ibu, kenapa tak panggil Sarah? Sarah ada dekat depan. Siram pokok-pokok bunga ibu. Sarah tak perasan pula taman mini Ibu makin berkembang." Sarah mengusik Puan Sakinah. Dia membantu menyusun pinggan dan cawan atas di meja. Dia sedikit terkilan ibunya tidak mengajak dia menyediakan sarapan pagi bersama.

"Tak apalah Sarah. Ibu masak mihun goreng je pun. Kamu tolong bancuh kopi dengan keluarkan susu dalam peti sejuk. Pasal bunga tu, yang dalam pasu-pasu baru tu semua Datin Juwita bagi masa meminang kamu haritu." Sarah mengangguk. Patutlah ada beberapa pokok bunga yang tertanam di dalam pasu yang tidak pernah dia nampak sebelum ini.

Sarah tangkas membancuh kopi untuk sarapan pagi hari ini. Teko berisi kopi hangat yang berasap nipis dia letakkan di dalam dulang di atas meja makan. Susu kotak berjenama HL diletakkan berdekatan tempat duduknya.

"Taufiq mana?" Sejak lelaki itu pulang dari solat subuh di masjid, tiada langsung kelibat menantu Puan Sakinah di rumahnya.

"Jogging Bu." Sarah menjawab ringkas. Beberapa minit kemudian kedengaran ucapan salam dari pintu yang terbuka. Taufiq masuk dengan botol Tupperware di tangan. Dia menghampiri dua anak beranak itu di dapur.

"Seronok ke jogging Taufiq?" Puan Sakinah menegur Taufiq yang sedang membasuh botol airnya.

"Bosan sikit sorang-sorang Ibu. Tapi Taufiq suka, damai sangat. Kalau kat kawasan rumah Taufiq sana banyak asap kereta." Taufiq membalas. Dia membiarkan Sarah mengambil botol airnya untuk diisikan dengan air putih yang baru dari mesin Coway milik Encik Halim.

"Lain kali ajak Sarah ni sekali. Bagi kurus sikit. Berapa lama dah agaknya dia pelihara lemak dia tu?" Puan Sakinah sempat menyakat anaknya. Taufiq tertawa melihat Sarah yang mencebik. Alahai, manja. Cubit karang bibir tu.

"Dr duduklah dulu sarapan. Nanti saya panggilkan Abah dekat atas." Sarah bersuara setelah sekian lama menjadi orang ketiga dalam suasana.

"Aip, Sarah. Apa pula panggil suami siap Dr. Dr. ni." Puan Sakinah menegur Sarah seperti yang dijangka.

"Tak apa Ibu. Asalkan Sarah selesa, saya okay saja. Lama-lama nanti ubahlah." Taufiq mempertahankan isterinya. Bukan dia tidak perasan wajah Sarah yang sedikit gugup itu.

"Ada-ada saja kamu ni. Sarah, jangan lama-lama panggil suami dengan protokol macam tu. Kesian dekat Taufiq." Puan Sakinah berpesan lagi.

"Ibu." Sarah memanggil dengan suara meleret. Puan Sakinah sekadar membuat muka tegas dengan anaknya. Taufiq hanya tersenyum dan menarik kerusi untuk duduk.

"Sudah, kamu duduk sini, teman Taufiq ni sarapan. Biar Ibu panggil Ayah dekat atas." Puan Sakinah meninggalkan anak dan menantunya untuk memanggil suaminya yang berada di tingkat atas.

"Humaira masak ke?" Taufiq memerhatikan Sarah yang sedang menyendukkan mihun goreng ke atas pinggan di hadapannya.

"Saya tak sempat nak tolong Ibu. Siram pokok dekat luar tadi." Taufiq hanya mengangguk.

"Dr. nak kopi atau susu?" Sarah mengangkat teko kopi. Bersedia untuk menuangnya ke atas cawan yang terletak di sisi kanan Taufiq.

"Kopi pun boleh." Kopi dituangkan oleh Sarah bersama basmalah.

Sarah duduk di sebelah Taufiq. Taufiq membaca doa makan. Dia yang baru mahu mengambil garfu mengangkat sebelah keningnya.

"Sarah tak minum dan makan sekali?" Sarah hanya menggeleng. Dia mencapai gelas yang berhampiran dengannya dan dituangkan susu ke dalam gelas tersebut.

"Saya selalu minum susu je pagi-pagi Dr." Sarah membalas. Meskipun malunya masih tersisa sejak semalam, dia cuba memberanikan diri untuk beramah mesra dengan Taufiq. Sarah masih merasakan jurang umur yang besar antara mereka menjadikan Sarah sukar bersikap lebih leisure.

TAKDIR | NOVEL [C]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang