BAB 9 - BHG 1

1K 69 1
                                    

Khadijah setia duduk di sisi kiri Sarah di atas pelamin
bertemakan putih gading itu. Datin Paduka Juwita Lawias pula duduk di sisi kanan Sarah. Zahra dan Puan Sakinah duduk di platform di hadapan Sarah.

Tema pernikahan Sarah dan Dr. Taufiq adalah berasaskan Garden Wedding. Satu pelamin yang menjadi pusat tumpuan gah didirikan di Kelab Golf Perkhidmatan Awam ( KGPA ), Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Karpet putih dihamparkan di hadapan pelamin. Karpet putih itu tempat letaknya satu meja kaca dan beberapa kerusi kaca. Meja dan kerusi kaca itu menempatkan Tok Kadi yang bakal menyampaikan khutbah nikah, Encik Halim yang bakal menjadi wali, bapa saudara Sarah dan Dato' Paduka Muhammad Talhah; ayah Dr. Taufiq sebagai saksi dan Dr. Muhammad Taufiq Wajdi selaku pengantin lelaki.

Bahagian selebihnya diisi dengan kerusi dan meja berhias bunga-bungaan untuk para tetamu. Kanopi transparent digunakan bagi menaikkan seri majlis dengan bersinarkan cahaya mentari yang tidak terlalu terik mahupun mendung.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW bagi mengharapkan keberkatan sepanjang majlis berlangsung. Khutbah nikah dimulakan oleh Tok Kadi dengan penuh tertib.

Pernikahan bukanlah sesuatu yang boleh dipermainkan. Pernikahan adalah sunnah Rasulullah SAW di mana satu ikatan suci yang terbina antara lelaki dan perempuan yang mengizinkan mereka untuk hidup bersama dan memilik zuriat. Perkahwinan akan hilang serinya jika pasangan menggugurkan nilai-nilai keluarga Islam dalam pembentukan keluarga mereka.

Sedar tidak sedar, khutbah nikah telahpun selesai disampaikan oleh Tok Kadi.

Bapa saudara Sarah menghampiri pelamin untuk menyerahkan borang yang perlu gadis itu tanda tangani. Tangan Sarah yang sedikit sejuk dan kejung itu menyebabkan tanda tangannya tidak secantik selalu. Khadijah yang tergelak kecil di sisi menerima pukulan kecil di paha.

"Sorrylah. Aku tak boleh betul. Herot merot tanda tangan jawi kau. Nervous ke kak?" Khadijah berbisik dan ketawa lagi. Sarah mencubit perlahan paha Khadijah. Kalau dia tahu Khadijah mahu lepas laku di sini, baik dia minta Zahra bertukar tempat dengan gadis itu sejak tadi.

"Aduh. Sorrylah. Tak payah cubit-cubit. Garanglah pengantin ni." Sarah tersenyum ke arah Datin Paduka Juwita Lawias yang memandang ke arah Khadijah. Sarah beliakkan mata ke arah Khadijah memberi amaran agar gadis itu menjaga tatatertib. Khadijah hanya tersengih.

Satu lembaran diserahkan kepada Encik Halim sebelum ijab dan qabul dimulakan.

"Adalah saya ayahnya, wali kepada pengantin perempuan. Dari saat ini menyerahkan tanggungjawab nafkah, pemeliharaan keselamatan, kasih sayang, cinta, pengorbanan, dan perjuangan, serta tanggungjawab agama Islam kepadamu sebagai suami yang sah. Semoga diberkati Allah SWT ke atas kamu dan orang di bawah tanggungan kamu serta zuriat keturunan kamu." Suara milik Encik Halim bergema melalui pembesar suara. Meskipun riak ayahnya terlihat tenang, Sarah dapat merasakan perasaan sebak mendengar penutup khutbah yang dibacakan oleh ayah kandungnya. Selepas ini, tiada lagi pelukan sang ayah yang melunturkan tangisan melainkan suami menjadi peneman setia dan penghapus air mata.

"Muhammad Taufiq Wajdi Bin Muhammad Talhah." Seruan yang dilontarkan oleh Encik Halim mematikan gurau senda Khadijah dan Sarah. Debar mula menyesakkan dada Sarah. Tangannya mula membeku kembali.

"Saya." Suara Dr. Taufiq kedengaran ke segenap ruang. Semua perhatian dipusatkan pada lelaki berusia 32 tahun itu yang sedang berjabat tangan dengan Encik Halim di tengah-tengah ruang.

"Aku nikah akan dikau dengan puteri kandungku, Siti Sarah Binti Muhammad Halim, dengan mas kahwinnya sembilan keping dinar emas dan senaskhah al-Quran tulisan tangan tunai." Sarah sedikit tersentak dengan nilai mas kahwin yang disebutkan oleh Encik Halim. Sarah sedia maklum dengan sembilan keping dinar emas yang ditawarkan oleh keluarga Dr. Taufiq menandakan sembilan tahun jarak umur mereka walaupun dia tidak mengharapkannya. Namun begitu, dia tidak pernah dimaklumkan dengan senaskhah al-Quran tulisan tangan yang disebutkan sebentar tadi.

TAKDIR | NOVEL [C]Where stories live. Discover now