BAB 2- BHG 1

1.6K 84 2
                                        

Sarah berjalan sendirian ke bilik kuliah. Khadijah
mengambil kursus yang berbeza dengannya menjadikan mereka tidak sentiasa bersama. Bukan Sarah tidak mempunyai teman lain cuma dia lebih selesa berjalan sendirian begini agar dapat menikmati keindahan alam sebagai salah satu cara mengingati dan mengamati keesaan Allah.

Dia teringat pesan seorang ustaz yang dia dengar melalui ceramah baru-baru ini. Ustaz ada berpesan supaya sentiasa ingat Allah dalam apa jua keadaan sekalipun. Mengingati Allah ini haruslah ingat yang sebetul-betulnya kerana orang munafik sangat sedikit dalam mengingati Allah.

'Sesungguhnya orang munafik itu hendak menipu Allah, tetapi Allah-lah yang menipu mereka. Apabila mereka berdiri untuk solat, mereka lakukan dengan malas. Mereka bermaksud riak (ingin dipuji) di hadapan manusia. Dan mereka tidak mengingati Allah kecuali sedikit.'
(Surah An-Nisa': 142)

Awalnya, dia sendiri kurang jelas dengan butir bicara ustaz tersebut sehinggalah ustaz tersebut menerangkan lebih lanjut.

Mengingat Allah secara amnya adalah dengan memperbanyak Zikrullah. Dalam apa keadaan sekalipun, bibir harusnya kerap kali basah dengan nama Allah dan memuji Allah. Walau bagaimanapun, jangan mengehadkan perbuatan mengingati Allah semata-mata zikir sahaja. Konteks ini sangat luas. Sebagai contoh, apabila melihat sesuatu kejadian, sentiasalah bisik pada diri sendiri. Kejadian ini adalah di bawah kehendak dan kekuasaan Allah. Tiada hatta satupun makhluk boleh menghalang Allah daripada terjadinya sesuatu. Sentiasa muhasabah pada diri akan kecilnya manusia dan segala makhluk lain serta betapa besar dan agungnya Allah. Bahkan, gugurnya daun yang mengalami apoptosis itu pun dalam kekuasaan dan kehendak Allah. Jika Allah tidak berkehendak maka tidaklah gugur sehelai daun itu. Begitu juga dengan kehidupan kita. Segala kejadian sama ada baik mahupun buruk pada pandangan kita adalah berada di bawah kekuasaan dan perancangan Allah.

'Sesungguhnya Allah jualah yang menguasai kerajaan langit dan bumi. Dia menghidupkan dan mematikan serta tidak ada bagi kamu sesiapapun selain daripada Allah yang menjadi pelindung dan penolong.'
(Surah At-Taubah :116)

Allah yang Maha Baik, yang Maha Penyayang, Maha Mengasihani dan Maha Menjaga. Sekiranya kita yakin dengan segala sifat-sifat dan nama-nama Allah, maka tidaklah perlu kita risau akan apa yang akan berlaku dengan kehidupan kita. Masakan Allah yang Maha Baik dan Maha Segala-galanya, di mana padanya Segala Kekuasaan akan memberikan perkara yang tidak elok kepada hamba yang dikasihinya?

Takdir sudah ditentukan kepada kita oleh Allah. Namun begitu, ada takdir yang mampu diubah dengan doa. Allah yang Maha Baik, boleh saja mengubah takdir kita atas doa yang kita panjatkan dengan sepenuh pengharapan dan keyakinan padanya. Mudahlah bagi Allah untuk melakukan apa sahaja yang dikehendakiNya. Jika difikirkan, ilham yang muncul di dalam minda kita untuk memanjatkan doa kepada Allah adalah kurnia daripada Allah. Oleh itu, yakinlah Allah pasti tak akan mensia-siakan doa hambanya. Allah menjawab doa kita dalam tiga cara. Memakbulkan serta-merta, memakbulkannya pada waktu yang tepat mahupun memberi sesuatu yang lebih baik berbanding apa-apa yang kita minta. Sesungguhnya Allah yang paling tahu tentang apa yang baik mahupun buruk untuk kita.

'Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.'

(Al-Baqarah: 216)

Sewajarnya kita lebih gembira sekiranya Allah tidak memakbulkan doa kita kerana itu adalah perancangan dan pilihan Allah. Pilihan paling baik untuk hamba yang dikasihiNya.

Tanpa sedar, Sarah sudahpun tiba di bilik kuliahnya. Dia mengambil tempat yang tidak terlalu ke depan mahupun ke belakang. Dia lebih selesa duduk di tepi dinding di bahagian tengah.

TAKDIR | NOVEL [C]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang