Taufiq memandu sendirian ke arah IIUM kampus Kuantan.
Hari ini, dia perlu membawa Sarah bersamanya ke Gombak untuk urusan pemindahan. Barang-barang milik Sarah sudah dia masukkan ke dalam but kenderaannya sebelum bertolak ke tempat penginapan Sarah.
Deringan telefon bimbit mematikan konsentrasi Taufiq. Terpapar nama yang disimpan untuk nombor kontak isterinya itu di papan pemuka digital kenderaannya. Dia menekan tombol angkat panggilan yang terletak di stereng keretanya.
"Assalamualaikum, Selamat pagi Abang." Taufiq tersenyum. Dia bersyukur Sarah semakin selesa dengannya berbanding waktu awal perkenalan mereka dahulu. Syukur kerana Allah membuka hati isterinya untuk Taufiq. Alhamdulillah.
"Waalaikumussalam Humaira. Kenapa call? Macam tau-tau je Abang dah nak sampai." Taufiq menjawab sambil matanya tidak lepas memandang ke arah jalan. Dia membaca basmallah sebelum membelok masuk ke dalam kampus. Sesekali dia menundukkan kepalanya sedikit dan mengangkat tangan kanannya apabila berselisih dengan kenalannya sepanjang bertugas di universiti itu.
"Saja. Tiba-tiba Allah gerakkan hati Sarah untuk call Abang." Sarah menjawab ringkas. Taufiq merasakan hatinya sejuk mendengar tutur bicara si isteri. Berbanding menjawab 'Saya rasa nak call.', Sarah memilih melibatkan Allah walhal memang Allahlah yang menggerakkan hati dan jasad sesuatu makhluk. Maha Suci Allah yang menguasai segala sesuatu.
"Sekejap. Abang dah masuk ni. Nak dekat dah dengan MUK." Taufiq memaklumkan Sarah.
"Baik, sekejap Sarah turun." Sarah mematikan panggilan usai memberi salam.
Beberapa minit kemudian, Taufiq sampai di perkarangan parkir Mahallah Ummu Khalsum. Mahallah itu tidaklah terlalu jauh dengan pintu gerbang utama universiti. Taufiq mengangkat brek tangan dan menanti kedatangan isteri tercintanya. Dia memejamkan matanya sebentar. Penat angkara menguruskan saki-baki urusannya tadi malam masih tersisa. Bukan senang rupanya hendak bertukar cawangan walaupun masih bekerja di bawah universiti yang sama.
Tingkap kenderaannya diketuk. Taufiq membuka matanya dan memandang ke arah bunyi tersebut. Dia mengoyak senyum memandang wajah Sarah yang turut tersenyum padanya di sebalik topeng muka yang dipakai. Bagaikan magis, penat yang dirasakannya hilang serta-merta. Benarlah orang kata, isteri yang baik itu penyejuk hati suami. Penghilang rasa lelah dan penat. Itu baru tengok wajah belum dengar suaranya lagi.
Taufiq menurunkan tingkap kenderaannya.
"Assalamualaikum Encik. Boleh saya tengok ic dan lesen?" Sarah membuat muka acah-acah pegawai polis trafik. Tangan kanannya melindungi mukanya dari dipanah terik matahari.
Taufiq tergelak. Dia layankan sahaja Sarah. Sesekali bergurau senda dengan isteri apa salahnya. Gelisah hilang pahala pun dapat. Kadangkala isteri faham keadaan kita sebagai suami yang penat, maka mereka mengajak kita bergurau senda agar dapat melupakan segala kekusutan yang bersarang dalam fikiran kita. Apalah salahnya raikan usaha isteri dengan layanan yang baik?
"Ic dengan lesen tak adalah akak polis. Saya ada Mastercard je." Taufiq mengeluarkan kad bertanda Mastercard miliknya.
"Encik cuba merasuah saya? Ceh, jangan harap. Saya makan ikan la saya tak makan rasuah." Sarah memasang muka garang.
"Iyalah tu makan ikan. Macam lagi banyak ikan yang tak makan je daripada makan." Taufiq sambung menyakat. Sarah sudah cemberut. Dia memeluk tubuh. Sarah beredar dari kedudukan asalnya. Taufiq mula gelisah. Ah sudah, nak merajuk pula ke?
Pintu bahagian penumpang hadapan terbuka. Sarah masuk dengan basmallah.
"Sebab Encik cari pasal dengan saya. Saya hijack kereta mahal Encik. Saya akan ikut Encik ke destinasi." Sarah memandang tegak ke hadapan usai memakai tali pinggang keledar. Tawa Taufiq pecah.
![](https://img.wattpad.com/cover/321823533-288-k671179.jpg)
YOU ARE READING
TAKDIR | NOVEL [C]
Romance"I am writing this letter for Sr. Siti Sarah to be my spouse until the end of my life" - DR. MUHAMMAD TAUFIQ WAJDI. "Seandainya nanti, Dr. didedahkan dengan versi saya yang saya sendiri ralat memilikinya. Saya sudi dilepaskan dengan cara baik." -SIT...