Sarah memandu dengan kelajuan sederhana dari Shah Alam ke Gombak, Selangor. Esok dia perlu kembali bertugas di Hospital Orang Asli, Gombak, Selangor jadi dia tak punya pilihan. Bezanya kali ini dia menuju ke rumahnya dan Taufiq.
Sarah mengerling ke arah telefonnya. Sebelum dia meninggalkan rumah Puan Sakinah tadi, dia ada menghantar kiriman pesanan ringkas melalui Whatsapp kepada untuk Taufiq memaklumkan yang dia akan pulang hari ini. Sarah mengeluh apabila tiada satu pun notifikasi atas nama suaminya menjengah skrin telefonnya. Sarah sempat menekan butang do not disturb pada paparan skrin telefonnya.
Setelah sudah bertahun-tahun dia memandu berulang-alik dari Shah Alam ke Gombak, perjalanannya kini hanya mengambil masa yang singkat. Sarah membelok ke arah rumahnya di lot 47, Villa Bestari, Villa Universiti Sungai Pusu, UIA Gombak.
Tempat parkir yang terisi Porsche Cayenne putih milik Taufiq jelas menandakan lelaki itu sudah pun bertolak ke Semporna untuk membantu Dato' Talhah menguruskan syarikat.
Sarah membuka pintu yang sudah lama tidak bersapa dengan jari-jemarinya itu bersulam basmalah dan doa untuk masuk ke dalam rumah. Kesunyian menyapa segenap pancaindera Sarah.
Sarah duduk sebentar di ruang tamu. Dia meregang-regangkan lehernya yang sedikit lenguh memandu dari Shah Alam pagi tadi. Suis televisyen dihidupkan dan alat kawalan jauh dia tekan. Paparan berita tengah hari daripada saluran Awani menyapa padang pandangannya.
Sarah membuka telefonnya. Dia mengangkat kening apabila dikejutkan oleh berpuluh-puluh panggilan tidak terjawab daripada nombor ibu dan bapa mertuanya.
"Sebuah helikopter peribadi dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan sewaktu dalam perjalanan ke Semporna, Sabah. Pesawat ringan kepunyaan ahli perniagaan terkemuka di Malaysia yang membawa anak lelaki ahli korporat itu bersama seorang juruterbang; dipercayai hilang setelah meninggalkan jejak terakhirnya di sekitar Sandakan, Sabah." Sarah tersentak. Suara penyampai berita menerobos masuk ke dalam pancaindera dengarnya tanpa sedikit pun cacat-cela.
Dada Sarah kini berdebar dengan debaran yang sangat hebat. Serentak telefonnya berdering menandakan ada panggilan masuk. Sarah mengangkat dalam keadaan fokusnya masih terpasung pada berita yang kini sudah beralih ke laporan lain.
"Sarah..." Suara milik Datin Juwita kedengaran. Nada itu bukan nada bergurau senda atau bertanya khabar seperti kebiasaannya.
"Mama..." Hanya itu yang mampu Sarah katakan waktu ini. Tangannya menggigil.
"Sarah ada tengok berita?" Suara Datin Juwita sudah bergetar.
"Berita Awani tadi?" Sarah bertanya. Liurnya ditelan kesat. Dadanya sudah turun naik mencuri nafas.
Datin Juwita tidak membalas. Hanya esakan kecil kedengaran dari corong telefon. Sepi menghuni suasana sebelum Dato' Talhah bersuara.
"Taufiq hilang Sarah... Helikopter yang Taufiq naik terputus hubungan..." Suara Dato' Talhah juga bergetar hebat. Telefon yang berada dalam pegangan Sarah lolos dari tangannya.
Air mata turun setitis demi setitis dari pelupuk mata Sarah. Pandangannya kabur.
"Abang..." Sarah mencengkam dadanya yang mula sesak.
"Tak... Tak mungkin..." Sarah mula hanyut dalam tangisan. Seisi rumah yang sepi sejak tadi mula terisi dengan tangisan Sarah.
"Abang..." Sarah menangis lagi.
Dia membuka ruangan sembang Taufiq dan dirinya. Satu tick menandakan kiriman mesej Sarah tidak sampai ke telefon suaminya.
"Allah... Allah..." Sarah cuba berdiri. Keperitan yang menyesakkan dada bagai melumpuhkan segala sarafnya saat ini. Sarah perlahan-lahan mendaki tangga untuk naik ke biliknya. Dia lemah saat ini. Dia perlukan kekuatan. Kekuatan itu ada pada Penciptanya. Sarah mahu solat sunat dua rakaat meminta kekuatan daripada yang Maha Esa sementara masih belum masuk waktu haram bagi menunaikan sembahyang.

ANDA SEDANG MEMBACA
TAKDIR | NOVEL [C]
Romance"I am writing this letter for Sr. Siti Sarah to be my spouse until the end of my life" - DR. MUHAMMAD TAUFIQ WAJDI. "Seandainya nanti, Dr. didedahkan dengan versi saya yang saya sendiri ralat memilikinya. Saya sudi dilepaskan dengan cara baik." -SIT...