Sarah dan Taufiq berjalan beriringan menuju balai ketibaan Lapangan Terbang Tawau, Sabah. Sedar tidak sedar, usia perkahwinan mereka sudah mencecah tiga tahun. Sarah kini berada di semester terakhirnya sebagai seorang pelajar kursus perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Sepanjang tiga tahun mereka bergelar suami isteri, mereka hanya berjumpa sekali-sekala. Manakan tidak, Taufiq dan Sarah masing-masing sibuk bekerja dan belajar. Taufiq dinaikkan pangkat sebagai seorang ketua jabatan di Gombak yang akan menyebabkan lelaki itu bekerja secara tetap di sana selepas ini.
Sarah memandang tangannya yang berada dalam genggaman tangan kanan Taufiq. Lelaki itu berjalan di sampingnya sambil menolak troli yang menempatkan bagasi-bagasi kepunyaan mereka. Dia sempat meneliti wajah Taufiq diam-diam.
Taufiq mempunyai raut wajah Borneo yang sangat jelas sekiranya jambangnya itu dicukur habis. Jawline milik Taufiq jelas bersudut cakah menambahkan ketampanan lelaki itu. Tiga tahun bagaikan tiga bulan sahaja gayanya. Taufiq langsung tak kelihatan seperti berusia 35 tahun.
"Puas dah tilik Abang?" Pipi Sarah memerah. Rupanya Taufiq sedar dia sedang ditenung cuma lelaki itu tidak membalas tenungan yang dikirimkan oleh Sarah.
"Tak puas pandang." Sarah menjawab telus. Memang pun begitu. Baru sahaja semalam dia dijemput dari universitinya untuk bercuti selepas peperiksaan. Kebetulan pula, Jelita Widelia, adik perempuan Taufiq akan bernikah hujung minggu ini bersama pilihan hatinya.
"Dah-dah, nanti balik rumah Mama, pandanglah puas-puas. Nak peluk cium pun tak apa. Sepupu Abang dah tunggu dekat kereta tu." Taufiq melambai kepada seorang lelaki yang bersandar pada sebuah kenderaan sedan berjenama Mercedes. Mereka menghampiri lelaki itu.
"Apa khabar Habibi dan Habibti kepada Habibi." Muhammad Fayruz menyapa Taufiq dan Sarah. Sarah pernah berjumpa dengan sepupu Taufiq yang berasal dari Semporna, Sabah ini sewaktu majlis walimatulurusnya di Semporna dahulu. Lelaki ini baru bertunang dengan seorang doktor tentera beberapa bulan lepas. Fayruz memang terkenal sebagai seorang yang sangat gemar bergurau dalam kalangan sepupu Taufiq. Sarah hanya menunduk tanda hormat dan tersenyum di sebalik purdahnya.
"Nda payahlah kau tenung kama-lama isteri aku ni, aku tumbuk mukamu nanti." Taufiq menegur dengan telo Sabahannya. Sarah hanya berdiam diri.
"Lokek pulak kau. Tunangku di Semenanjung sana cantik juga. Ndadanya aku mau rampas isterimu." Fayruz membalas sambil mencebik. Cemburu betul Dr. Muhammad Taufiq ni.
"Sudah. Lambat sudah kita ini. Kamu dua masuk dulu. Beg sini kasi aku." Fayrus mengambil bagasi milik pasangan suami isteri di hadapan matanya itu dan meletakkan kedua-duanya di dalam bonet kereta. Sarah duduk di belakang manakala Taufiq duduk di tempat penumpang hadapan.
"Lamakah kau cuti?" Soal Taufiq pada Fayruz. Sarah faham sikit-sikit loghat Sabah. Adakalanya berkerut juga mendengar Taufiq berbual dengan saudara-maranya menggunakan dialek Sabah.
"Nda lama pun, bulan depan balik sudah aku. Kerja di semenanjung dengan tunangku." Fayruz bekerja tentera. Dia jarang berada di Semporna kerana dia menyertai Kem Sri Iskandar di Mersing Johor. Tunangnya turut bekerja di kem yang sama.
Keadaan kembali senyap. Mereka dibawa oleh Fayruz ke rumah agam milik Dato' Paduka Muhammad Talhah dan Datin Paduka Juwita Lawias.
"Menantu sayang Mama dah balik!" Datin Juwita cepat-cepat menarik Sarah ke dalam pelukannya apabila Sarah mendekati wanita itu di muka pintu untuk bersalaman. Dato' Muhammad Talhah hanya tersenyum dan menggeleng.
"Assalamualaikum Papa." Taufiq mencium tangan Dato' Talhah dan memeluk tubuh tua itu. Salamnya disahut oleh Dato' Talhah. Dia beralih pula pada Datin Juwita selepas Sarah usai bersalaman dengan Mamanya itu.

ANDA SEDANG MEMBACA
TAKDIR | NOVEL [C]
Romance"I am writing this letter for Sr. Siti Sarah to be my spouse until the end of my life" - DR. MUHAMMAD TAUFIQ WAJDI. "Seandainya nanti, Dr. didedahkan dengan versi saya yang saya sendiri ralat memilikinya. Saya sudi dilepaskan dengan cara baik." -SIT...