LAMA TUBUH Reis membatu di hadapan bilik. Pintu bilik bacaan mendiang Datuk Ichard direnung. Sejurus habis latihan bola tampar, dia diminta untuk datang ke rumah agam bagi perbincangan wasiat.
Harta-harta yang diagihkan mengikut wasiat boleh dikatakan sama rata. Tiada sepupu dan saudara-maranya berasa tak puas hati. Cuma seorang. Bapa saudaranya yang dicerai oleh isteri sekaligus bergelar seorang duda. Perangai baran bukan main. Padanlah kena tinggal.
"Reis? Dah kenapa berdiri dekat situ?"
Suara Puan Zara yang menjengah lantas menyedut Reis kembali ke dunia nyata. Wajah dipaling ke sisi seraya bibir melakar senyuman. Dia sendiri tidak pasti asbab kenapa dia tercegat di situ.
Kunci bilik yang ada di genggaman tangan dilirik sekilas. Hati berbelah bagi.
"Reis rasa Reis patut bagi kunci ni dekat Zade." Reis akhirnya mengalihkan tubuh. Dia berjalan menjauhi bilik bacaan itu.
"Kenapa nak bagi Zade? Reis sendiri dengar dari peguam tadi. Tuk nak Reis yang pegang kunci bilik tu dan Tuk hanya benarkan Reis seorang yang keluar masuk bilik tu juga. Tak perlulah bagi Zade."
Wajah berusia Puan Zara berubah keruh. Dia penasaran dengan keputusan Reis yang mendadak sedangkan yang patut memegang kunci bilik bacaan Datuk Ichard ialah Reis. Bukan Zade. Anak lelakinya itu memang tak boleh diharap. Sudahlah kepala batu.
"Sebab mulai hari ni Reis jarang balik sini. Takut pembantu rumah nak bersihkan bilik bacaan Tuk tapi tak ada kunci. Zade selalu balik sini, kan? Reis kirimkan dekat dia." Reis berura-ura ingin pergi.
"Reis, kamu nak Tuk kecewa ke dengan kamu?"
Sontak langkah kaki Reis mati. Terpasung di tempatnya. Dia tidak terfikir soal itu. Tentang perasaan Datuk Ichard jikalau amanah yang diletak ke atas bahunya diberikan kepada orang lain dan bukan dia.
"Aunty, Reis tahu apa yang Reis buat."
Nada suara Reis sedikit bergetar. Emosinya kacau-bilau tatkala mendiang Datuk Ichard dikaitkan dalam perbualan. Dia enggan meneruskan hidup ditemani kenangan-kenangan orang yang tak wujud di muka bumi ini. Enggan dihempap perasaan rindu.
"Aunty tahu, Reis. Aunty faham sangat Reis tak nak datang sini lagi sebab Reis tak nak teringatkan Tuk tapi takkan sampai macam tu sekali? Mesti Tuk pun nak Reis sekali sekala datang sini."
Lelah Puan Zara menggali ayat untuk menyenangkan hati Reis. Setenang-tenang diri Reis, di dalamnya masih ada benteng yang sukar dirobohkan. Dinding yang telah lama terbina tak mudah goyah. Entah apa yang terlintas di fikiran anak muda itu.
Rela memendam daripada meluahkan.
Puan Zara datang merapati figura Reis yang tak berganjak. Belakang tubuh Reis digosok perlahan. Dia bahkan sudah menganggap Reis seperti darah dagingnya sendiri. Bagaimana naluri keibuan Puan Zara menyayangi Zade, begitulah yang dia rasa terhadap Reis.
"Jangan pernah lupa asal usul sebenar Reis. Rumah agam ni rumah Reis juga," pesan Puan Zara lembut sebelum meninggalkan Reis.
Pemergian ibu saudaranya sekadar dihantar menerusi pandangan mata yang memancar kosong. Reis diam menyepi. Jiwanya sendat. Terasa sesak pabila dia jejak kaki di rumah agam itu semula.
"Macam mana Reis nak anggap ni rumah Reis lagi kalau semua orang yang Reis sayang dah tinggalkan Reis?" Getus Reis kecil.
BEBERAPA SAMPEL minyak wangi disusun atas meja solek. Della melabuhkan duduk di birai katil. Hari ini agak memenatkan bagi dia. Ke hulur dan ke hilir dia menemani direktur ke makmal yang menghasilkan cecair minyak wangi milik syarikat mereka.
YOU ARE READING
THE LOVE SETS
RomanceSTAND-ALONE ⋆͛︎ Reis Drazen. Tenangnya dia bagaikan ombak. Setiap ujian hidup dihadapi dengan tenang. Dia merupakan seorang pemain bola tampar yang sedang mengukir nama di kalangan pemain. Mengejar impian sehabis boleh sudah pasti. Della Lenoir. Ke...