CHAPTER 49

3.2K 201 17
                                    

TIDUR YANG diharapkan lena dan tidak terganggu meleset lagi. Tersingkap kelopak mata Reis. Siling bilik yang gelap menyamah pandangan mata. Naik saja tangannya pada wajah, ditekan ibu jari pada alis keningnya.

Decitan yang halus terlepas percuma dari bibirnya.

Lain macam debaran yang memalu dadanya. Hampir Reis mengeluh, teringat nasihat mendiang Datuk Ichard yang mengeluh ialah perkara yang tidak elok. Penutup rezeki katanya.

Jam digital yang berada di atas meja kecil yang terletak bersebelahan katil dipandang sejenak. Pukul tiga pagi. Masa yang tidak ganjil bagi sesiapa untuk terbangun atau berjaga.

Terasa dada bidangnya yang tidak berlapikkan baju ditindih dengan kepala seseorang. Berpindah saja tumpuan Reis, tampak Della yang begitu lena berbaring di sebelahnya. Dengkuran lembut kedengaran. 

Tenang seraut wajah Della. Menghakiskan debaran yang memukul ruang dada Reis. Beberapa helaian rambut yang mengatup pipinya, Reis kalihkan ke sisi dengan sentuhan yang berhati-hati agar Della tidak terbangun dari tidur angkaranya.

Jadi masalah pula jika Della tidak cukup rehat pada hari esoknya.

"God..." Jeda Reis sebentar, bergerak-gerak bebola matanya. "How did I even live my life without you before?"

Entah mengapa perkara itu yang melintasi fikirannya. Bagaimana selama ini dia boleh bertahan tanpa adanya Della di dalam hidup?

Reis yang terpaksa berdiri atas kaki sendiri, berdikari dan mengajar dirinya menjadi seseorang yang penuh dengan kesabaran dan penuh ketenangan setelah kematian ibu kandungnya kini mendapat sesuatu yang paling bernilai.

Yang menggantikan segalanya dengan bahagia.

"Sayang aku paling cantik. Paling comel." Nada Reis berbisik kecil.

Rawak sungguh pemikirannya pada jam begini. Terhibur dia dalam senyap. Bila sudah dipanah cinta, beginilah jadinya. Angau sendiri.

Perlahan-lahan, Reis mengalihkan kepala Della yang beralaskan dadanya ke atas bantal yang empuk. Dipastikan juga kedudukan badan Della tidak terlalu ke tepi agar tidak terjatuh dari katil.

Dia tidak mampu melelapkan mata dalam keadaan seperti ini. Jadi, ada baiknya dia keluar untuk berjoging di taman yang berhampiran.

Bilik persalinan menjadi hala tuju Reis. Jaket sukannya dicapai di antara susunan baju yang tergantung. Tangannya disisip masuk ke dalam lengan jaket. Zip ditarik hingga atas seraya langkah dibawa keluar dari bilik persalinan.

Terhenti Reis tatkala pandangan matanya menangkap gerak-geri di atas katil. Juntaian rambutnya diselerakkan lalu dikuak ke belakang.

"Reis? Dah pukul berapa?" Terbangun Della dari lena. Tubuh ditolak dari pembaringan. Terkelip-kelip matanya yang masih tersisa dengan kantuk.

Ke mana suaminya hendak pergi sedangkan hari masih gelap di luar? Atau sudah pagi tapi cuaca yang mendung? Hampir jemari menyelak selimut, Reis melelar lembut pergelangan tangan Della. Menghalang.

"Pukul tiga pagi. Tidur balik, sayang. Masih awal ni," beritahu Reis.

"Tapi awak nak pergi mana? Esok awak ada match." Kerutan pada dahi Della menimbul. Sepatutnya Reis yang berehat dengan cukup.

"Aku tak dapat tidur jadi aku fikir nak jogging kejap. Tak lama. Aku jogging dekat dengan kawasan rumah kita. Sayang tidur balik. Nanti pagi ada pula yang marah-marah sebab tak cukup tidur."

"Jadi awak nak tinggalkan saya sorang-sorang? Saya nak ikut."

Dulu, Della tiada masalah bila ditinggalkan seorang diri. Sedangkan selepas bekerja dia memang tinggal berasingan dari keluarga namun jauh perbezaannya dengan hidupnya yang sekarang dari yang dulu.

THE LOVE SETSWhere stories live. Discover now