USAI MENGELUARKAN bagasi dari bonet kereta, Reis meraih jaketnya yang tersadai di belakang tempat duduk. Reis menyarung jaket pada tubuhnya. Pintu kereta ditutup. Pabila berpaling, wajah Alanna yang bereaksi cemberut di sebelah Zade menjadi tumpuan.
"Lanna marah dengan uncle, eh? Merajuk sebab uncle pergi empat hari?" Reis mengusik. Bertolak dari rumah agam tadi, Alanna tidak berkepit dengannya seperti selalu.
Bila ditanya, membentak kerjanya. Bila Reis tidak melayan, mulalah Alanna merengek yang Reis tidak sayang dia lagi. Terjadilah adegan pujuk-memujuk selepas itu. Sejam juga Reis cuba memujuk Alanna.
"Uncle tak payah balik pun tak apa! Lanna ada abang Zade." Alanna mencengkam baju Zade.
Kening Zade terangkat sebelah. Tadi cakap nak Reis balik cepat-cepat. Dah sampai lapangan terbang, lain pula. Pandai berdrama.
"Lah, uncle baru je terfikir nak belikan Lanna plushie yang Lanna suka sangat tu. Tak apalah. Uncle belikan untuk diri sendiri." Reis mengacah-acah ingin beredar tapi terhenti sebaik Alanna memeluk kakinya.
Reis menundukkan pandangan. Ditahan tawanya dari pecah.
"Nak apa?"
"Uncle Reis belilah untuk Lanna." Kecil suara Alanna. Tidak jadi hendak merajuk lama-lama bila soal anak patung diungkit. Alanna mahukan anak patung Lotso. Sejenis beruang yang berwarna ungu.
"Tapi Lanna tak nak uncle balik. Macam mana uncle nak belikan? Baik uncle duduk sana lama-lama, kan. Lanna tak sudi nak jumpa uncle dah bila uncle balik sini nanti." Reis menyakat lanjut.
"Uncle Reis belikanlah! Lanna pernah minta abang Zade belikan tapi abang Zade tak nak. Dia kedekut!" Alanna mulai merengek. Kakinya dihentak-hentak kecil. Jari-jemari Alanna mengepal erat seluar Reis.
"Siapa kedekut?" Sengaja Reis bertanya meski dia tahu siapa yang dimaksudkan. Suka mengapi-apikan pertelingkahan di antara adik-beradik itu.
"Abang Zade!" Seraya itu, jari telunjuk Alanna menuding ke arah Zade tanpa rasa bersalah. Riak tidak puas hati terpancar di wajah.
"Yang kedekut nilah tolong kau buat kerja sekolah," gumam Zade.
Sedap mulut Alanna mengutuk dia begitu. Lupakah Zade ini yang mendukung dan menyusukan dia ketika masih bayi bila Puan Zara penat? Nasib uban rambutnya belum tumbuh disebabkan perangai Alanna yang perlu dia hadap setiap hari. Sayang adik punya pasal.
"Lanna nak Lotso! Lotso!" Alanna mengulang apa yang dimahukan dengan suara yang agak kuat.
Terpejam mata Zade. Disedut kesabaran dalam dirinya. Inilah yang dia dengar setiap kali Alanna mengejutnya bangun. Bergegar rumah. Dengan Reis, perangai Alanna boleh tahan manja. Mungkin layanan Reis yang sentiasa menangkan Alanna itulah merupakan puncanya.
"Okay, okay. Balik nanti, uncle belikan untuk Lanna. Lanna nak banyak-banyak pun tak apa." Reis cuba memujuk. Jadi masalah kalau Alanna menjerit di sini.
"Tak payah. Biar aku belikan untuk dia. Lebih baik kau check-in bagasi kau. Dah sampai sana nanti, kau mesej bubu aku. Lanna, jangan buat perangai." Zade mencelah. Tangan Alanna ditarik.
"Nak Lotso!" Alanna membentak tak sudah. Kakinya mengikut langkah Zade yang menuju ke kereta. Zade hanya memekakkan telinga.
Reis menggeleng kepala sambil menahan tawa. Bagasinya ditarik sembari mengatur langkah ke pintu masuk lapangan terbang. Reis melemparkan pandangan. Sepasang matanya berjaya menemukan figura Della yang berdiri tidak jauh daripada kaunter tiket.
YOU ARE READING
THE LOVE SETS
RomanceSTAND-ALONE ⋆͛︎ Reis Drazen. Tenangnya dia bagaikan ombak. Setiap ujian hidup dihadapi dengan tenang. Dia merupakan seorang pemain bola tampar yang sedang mengukir nama di kalangan pemain. Mengejar impian sehabis boleh sudah pasti. Della Lenoir. Ke...