KERESAHAN REIS semakin menimbun sejak kebelakangan ini. Sekadar di hadapan Della saja, dia menyorok rasa yang mencakup diri. Bila menghadiri latihan, hingar-bingar ruang kepala dipenuhi dengan pelbagai suara. Bersambungan suara-suara yang meledek.
Mencemuh dan mempertikaikan kelayakan dirinya.
Walau kenalan-kenalan yang terdekat ada yang menyuruhnya untuk mengeluarkan kenyataan bahawa khabar angin itu tidak benar, tidak dia dengari. Dia lebih memilih untuk berdiam diri dan menerima.
Reis enggan mengulas apa-apa mengenai khabar angin itu. Jika dinafikan atau dibetulkan, memang kesudahan cerita tetap sama.
Dia yang dipersalahkan. Dirinya yang dilihat sebagai pelaku. Dunia sekarang, bila sudah mempunyai bukti yang kukuh, masih dibangkit perkara yang telah lama berlalu. Suka menjatuhkan sesama manusia.
Sedar tidak sedar, musim perlawanan liga kebangsaan bola tampar bakal berlangsung pada hari esok. Dewan yang sedikit kelam tidak dipasangkan lampu kesemuanya. Hanya di bahagian hadapan yang menerangi.
Lincah pergerakan sebatang tubuh yang masih berlatih pada jam begini. Sembilan malam. Masa yang sepatutnya berada di rumah.
Berdentum-dentum bunyi bola yang menyentuh lantai gelanggang setiap kali servis dan pukulan dibuat. Bertebaran bola yang diguna. Tangan menarik hujung bajunya. Mengelap peluh yang merenik di kening.
"Damn it, Reis! Sial!" Jeritannya bergema di segenap dewan.
Reis tidak pasti apa yang kurang namun dia dapat merasai ada yang tidak kena dengan dirinya. Staminanya masih sama. Skil permainan tidak berubah dan diperbaik sebolehnya jadi apa yang belum cukup?
Keadaan mentalnya. Itu yang mengganggu konsentrasi dirinya. Bila berhadapan ahli-ahli yang lain, senyuman akan terukir di wajah tapi dalamannya jauh berbeza daripada apa yang dilihat oleh mata kasar.
Dia tidak baik-baik saja. Setiap kali bertaut mata dengan Della juga, dia rasa bersalah yang teramat kerana memendam apa yang terbuku.
"Kau dah main dari sekolah rendah. Kau dah biasa dengan semua ni. Tiga tahun kau dekat Itali, Reis. Diorang akan pandang rendah kalau kau bukan macam yang diorang cakap," sungutnya pada diri sendiri.
Menggelap sepasang mata Reis. Sedikit membongkok tubuhnya saat memandang gelanggang yang seakan-akan sudah sebati dengan jiwa. Kawasannya. Di sini tempatnya. Bukan di bangku pemain simpanan.
Bermain dan bukan memerhati dari tepi.
Menonjolkan diri dan bukan bersembunyi di belakang.
Tangan menyauk bola dari lantai. Dilunjurkan ke hadapan. Dia harus jadi lebih baik. Yang terbaik dari sebelumnya. Tidak henti-henti Reis mengingatkan dirinya.
Dia tidak sama dengan sesiapa. Dia bukan bayangan siapa-siapa.
Bola dilambungkan ke udara. Dikejarnya beberapa langkah dari belakang garisan putih. Kaki menolak dan mengapung tubuhnya. Tangan menghayun pantas. Pukulannya agak kuat dari kebiasaan hingga rasa yang mencucuk lengan sampai bahu kanannya terasa.
Tidak dipedulikan oleh Reis. Beberapa jam dihabiskannya di situ.
EKOR MATA Della mengerling ke arah pintu rumah. Sudah pukul satu pagi dan Reis masih belum pulang. Pandangannya dikalih pada telefon yang berada di pegangan. Telefon Reis. Bimbangnya. Jarang Reis tertinggal dan terlupa membawa telefonnya ke mana-mana saja.
Bukan Della tidak perasan yang sikap Reis lain dari selalunya.
Disedapkan saja hatinya. Jika dia di tempat Reis, dia turut akan berasa tidak senang bila musim perlawanan bakal bermula esok.
YOU ARE READING
THE LOVE SETS
RomanceSTAND-ALONE ⋆͛︎ Reis Drazen. Tenangnya dia bagaikan ombak. Setiap ujian hidup dihadapi dengan tenang. Dia merupakan seorang pemain bola tampar yang sedang mengukir nama di kalangan pemain. Mengejar impian sehabis boleh sudah pasti. Della Lenoir. Ke...