SAMBIL MENJAMU selera, Della mengelamun. Kotak fikirannya serabut memikirkan tentang Tessa dan Evan. Kek coklat lava yang terhidang di depan mata hanya dipandang sepi. Belum dijamah.
"Malam ni kamu tidur sini, Della? Mama dah kemas dan bersihkan bilik kamu dekat atas." Puan Brenda membuka perbualan. Sedikit bimbang dia dengan tingkah Della yang kelihatan tak bertenaga.
Wajah suaminya merangkap ayah kandung Della, Tuan Dutton dikerling. Memberi isyarat untuk berkata sesuatu tapi Tuan Dutton sibuk melahap. Sepinggan kecil kek coklat lava habis dimakan.
"Kenapa?"
Puan Brenda menjegil ke arah Tuan Dutton.
Hera panas punggung. Dicuit paha Della di bawah meja. Cubaannya sia-sia. Della statik bagaikan patung berisi kapas. Parah! Hera yakin Della dibelenggu kejadian tadi di mana Evan tak menghiraukannya dan terus keluar bersama Tessa. Langsung tak menjelaskan apa-apa.
Dasar Evan tak guna!
"Della?" Puan Brenda menyeru.
Serentak itu, jiwa Della ditarik ke alam nyata. Bebola mata naik dan jatuh pada wajah ibunya yang jelas sedang khuatir. Secalit senyuman diukir. Nipis. Menyelindungi masalah yang membuatkan dia dilema.
"Tak pasti tapi Della kena hantar Hera balik rumah."
"Tak apa, Della. Kalau kau nak bermalam dekat sini, tak payah risaukan aku. Aku ingat nak pinjam kereta kau. Esok aku boleh jemput kau dulu sebelum kita pergi kerja." Hera cepat memberi cadangan. Dia tak nak jadi penyebab Della terpaksa ulang-alik.
Sejenak, Della berfikir-fikir. Bagus juga. Dia sebenarnya tak larat hendak memandu malam-malam begini. Mereka datang ke sini tadi pun sejurus habis kerja. Tak sempat tukar baju dan bersihkan diri.
"Kau nak balik sekarang ke?"
Hera melirik pada skrin telefon. Jam menunjukkan pukul enam setengah petang. Dia tak perasan betapa cepat masa berlalu kerana seronok berborak dengan Puan Brenda setelah lama tak bertemu.
"Aku rasa aku patut balik sekarang. Dah lewat petang. Rumah aku pun jauh dari kawasan sini. Balik awal, taklah lambat aku sampai rumah. Mana kunci kereta kau? Bagi aku."
Tangan Della mencapai kunci kereta di dalam tas tangan kemudian dia serahkan kepada Hera. Hera sambut huluran kunci. Dia bingkas bangun. Didekatinya Puan Brenda. Mereka saling berlaga pipi.
"Thank you datang dengan anak aunty hari ni. Lain kali, Hera datanglah lagi dengan Della. Bagitau je. Aunty akan sediakan lauk sedap-sedap. Hati-hati bawa kereta." Puan Brenda senyum segaris. Rambut Hera diusap. Dia menganggap gadis itu seperti anaknya juga.
"Okay, aunty. Lain kali Hera datang lagi. Uncle, Hera balik dulu."
"Hati-hati." Wajah berusia Tuan Dutton turut dihiasi senyuman.
"Della hantar Hera keluar," ujar Della seraya bangkit dari duduknya.
Dia tinggalkan ruangan makan. Berjalan bersebelahan dengan Hera menuju ke pintu rumah. Sebaik mereka berada di luar, angin petang menyapa kulit tubuh. Langit cerah bertukar kuning kejinggaan.
"Kau tengah fikir pasal Evan."
Della melempar pandangan. Masakan Hera tidak perasan dari air mukanya yang tampak dilanda masalah sejak tadi. Semuanya jelas. Dia lebih mendiamkan diri di meja makan daripada ikut berbual.
"Dia rahsiakan sesuatu dari aku dan aku tak suka. Aku tak suka dia buat aku rasa tertanya-tanya. Aku hantar mesej dekat dia. Dia cuma baca. Dia buat aku rasa macam aku dah buat salah dekat dia."
YOU ARE READING
THE LOVE SETS
RomanceSTAND-ALONE ⋆͛︎ Reis Drazen. Tenangnya dia bagaikan ombak. Setiap ujian hidup dihadapi dengan tenang. Dia merupakan seorang pemain bola tampar yang sedang mengukir nama di kalangan pemain. Mengejar impian sehabis boleh sudah pasti. Della Lenoir. Ke...